Kepimpinan Ulama' sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini menimbulkan pelbagai pandangan dan ulasan .
Saya setuju pandangan sahabat pembaca agar ianya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama' untuk memutuskan bagaimana mahu menterjemah Konsep Kepimpinan Ulama' dalam PAS . Bagaimana definisinya dan bagaimana pula perlaksanaannya .
Ianya sesuai dengan kuasa yang ada pada Majlis Syura Ulama' sebagaimana yang sedia termaktub di dalam perlembagaan parti Fasal ke 7 perkara 3 (a) iaitu :Menghurai , menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana - mana peruntukan di dalam perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya .
Saya sangat bersetuju dengan kaedah yang pernah dibawa oleh al marhum Tuan Guru Hj. Fadhil Mohd Noor suatu ketika dahulu iaitu : memprofesionalkan ulama' dan mengulamakan profesional .
Saya kira kaedah ini boleh mengendurkan ketegangan dalam membahaskan isu Konsep kepimpinan Ulama' .
Sebahagian tidak yakin kepada ulama' kerana kononnya kelemahan mereka yang sangat ketara dalam pengurusan dan pentadbiran . Jika ulama' ini boleh diprofesionalkan , insyaallah selesailah masaalah .
Sebahagian pula melihat profesional tidak boleh memimpin di kerusi tertinggi parti kerana kononnya tahap penguasaan ilmu agama mereka lemah . Jika profesional ini boleh diulamakan , insyaallah selesailah masaalah .
Sebab kepimpinan bukan milik sesiapa tetapi milik mereka yang layak . Nabi saw kata , jika diserah urusan kepada mereka yang tidak berkelayakan , maka tunggulah kehancurannya . :
إذا وسد الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة
Apabila diserahkan urusan kepada mereka yang bukan ahlinya [ bidangnya ] maka tunggulah saat ketikanya [ kegagalannya ]
Persoalannya , siapakah mereka yang layak ? Allah swt. sebut di dalam al quran , sebaik - sebaik orang yang engkau mahu memberi upah [ atau elaun ] untuk menjalankan tugas ialah orang kuat dan amanah .
خير من استأجرت القوي الأمين
Sementara dalam hadis Nabi saw. Baginda pernah bersabda : Siapa yang dikehendaki oleh Allah swt akan kebaikan nescaya akan diberikan kefahaman mendalam tentang Islam .
من يريد الله به خيرا يفقهه في الدين
Menambah kuat faktor " kefahaman Islam yang mendalam ini " ialah penegasan yang pernah dibuat oleh Saidina Omar al Khattab Rha . : fahami olehmu [ akan agama ] terlebih dahulu sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin .
تفقهوا قبل أن تسودوا
Walau ada ulama' menafsirkan perkataan Saidina Omar Rha itu sebagai mendalami ilmu kepimpinan bukan ilmu agama tetapi kebanyakkan ulama' menjelaskan kalimah tafaqquh itu dengan maksud mendalami ilmu agama kerana merujuk kepada kalimah yang serupa digunakan oleh nabi saw dan juga di dalam Ayat al quran berikut :
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ
وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Ringkasnya , kelayakan memimpin mestilah berilmu , bertaqwa , beriman , amanah , kuat atau mampu melaksanakan tugas dengan baik .
Bertolak dari ringkasan itu , jelas ini adalah kriteria ulama' . Sebenarnya , siapa pun boleh menjadi ulama' jika mereka bersungguh - sungguh menuntut ilmu dan mendalami agama . Sekalipun asalnya mereka adalah seorang engineer , arkitek , doktor perubatan atau lainnya [ profesional ] kemudian ia mempelajari ilmu Islam dengan tekun dan baik seperti menyertai program ILHAM dan memperolehi diploma syariah anjuran PAS atau lainnya , saya percaya kelak mereka juga layak menjadi ulama' .
Tapi tidak semesti berilmu itu mesti ada sijil . Jika dia alim atau berilmu maka layaklah ia memimpin walau tiada sijil .
Inilah profesional yang ulamak [ berilmu ] atau mereka telah menjadi ulamak yang profesional dan mereka layak menjadi pemimpin dimana pun posisinya .
Ada juga pendapat mengatakan ulamak juga profesional jika perkataan profesional itu merujuk kepada kemahiran atau penguasaan bidang dan ilmu . Seperti ada orang profesional dalam bidang tafsir dan hadis .
Akhir zaman ini sukar kita nak cari orang mahir dalam semua perkara , justeru itu ia memerlukan kepimpinan yang kolektif . Tinggal lagi untuk menerajui kolektif tersebut mestilah mereka yang menguasai ilmu al quran dan hadis lantaran perjuangan ini bersumberkan Al quran dan sunnah . Sementara yang lain menjadi pembantu dan pelengkap .
Namun saya sungguh tidak bersetuju pemimpin terdiri dari kalangan mereka yang tidak berilmu . Kerana faham itu mesti berilmu . Dari ilmu hadhirnya taqwa walaupun ada yang berilmu tetapi jahat . Kita mahu yang berilmu dan soleh . Macam mana setuju tak ?
Ustaz Nasarudin bin Hassan
0 comments:
Post a Comment