Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Part 2 : Oley 2


Sebuah filem terbitan DPPM arahan Adam Hamid yang menerangkan tentang hudud dan mengambarkan keadaan seperti selepas Pakatan Rakyat memerintah negara.

Amanat Tuan Guru Haji Hadi : Penjelasan


Tiba-tiba sahaja isu PAS kafirkan UMNO melalui 'Amanat Haji Hadi' timbul. Sekian lama ia tidak pernah dibicarakan, tiba-tiba menjadi perbualan hangat di media seolah-olah ada perancangan rapi dan tujuan tertentu ia dibangkitkan.
Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sedang mencari isu untuk menyediakan suasana kondusif untuk mengadakan pilihanraya. Untuk menang, UMNO perlu mencari isu-isu yang menyerang PAS dan Pakatan Rakyat iaitu isu-isu yang boleh menjadi 'kambing hitam' untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan UMNO dan Barisan Nasional.
Pengakuan Deepak melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pembunuhan Altantuya dan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap campurtangan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam urusan polis sangat merimaskan UMNO untuk menghadapi pilihanraya. Amat sukar untuk UMNO dan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya jika mereka dalam keadaan bertahan, tidak menyerang.
Justeru, peluru 'zaman Jepun' perlu digunakan untuk menyerang balas Pakatan Rakyat. 'Amanat Haji Hadi' dilihat isu yang terbaik untuk menyerang walaupun ia adalah isu lapuk. UMNO silap jika menyangka bahawa peluru tersebut boleh mematikan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat telah pun memahami bahawa isu ini ditimbulkan hanyalah kerana pilihanraya makin hampir.
 
'Amanat Haji Hadi' bukan ucapan menghukum orang UMNO sebagai kafir. Ia adalah ucapan untuk menerangkan kepada seluruh umat Islam tentang batas iman dan kufur. Tugas menerang adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua para pendakwah agar umat Islam tidak tergelincir daripada aqidah yang sebenar.
Perhatikan kata-kata 'amanat' tersebut: "Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku." Jelas, ia adalah amaran agar umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mengamalkan politik suku, agama suku kerana ia boleh merosakkan aqidah.
Begitu juga perkataan: "Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam." Perkataan ini bukan bermaksud orang UMNO itu kafir, jika mati berlawan dengan mereka maka ia mati syahid. Tetapi maksud mati syahid di sini ialah mati dalam keadaan memperjuangkan Islam dan menegakkannya. Perjuangan PAS adalah jihad yang mendapat balasan pahala daripada Allah s.w.t. Jihad itu sendiri mempunyai makna yang luas yang tidak terhad pada peperangan dan pembunuhan. Ia melingkupi semua usaha dan pengorbanan sama ada masa dan harta untuk menegakkan agama Allah.
Kenyataan bahawa "Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah" menguatkan lagi bahawa 'amanat' tersebut ditujukan kepada semua orang Islam. Ia bermaksud sesiapa sahaja sama ada UMNO atau pun tidak yang mengekalkan perlembagaan sekular penjajah akan ditentang.
UMNO perlu membezakan di antara 'menerang' dan 'menghukum'. 'Menerang' adalah menyebut secara umum tanpa disebut nama individu yang terlibat sebagaimana yang terdapat dalam 'amanat' tersebut. Ada pun menghukum, ia adalah dakwaan terhadap individu tertentu. Ia bukan kerja para pendakwah tetapi ialah adalah tugas para hakim. Hakim perlu mendapatkan bukti bahawa fulan bin fulan telah mengatakan sesuatu yang menjejaskan aqidah tanpa dipaksa dan dalam keadaan jahil. Jika cukup keterangan maka hakim boleh menjatuhkan hukuman kafir terhadap individu tersebut.
UMNO umpama orang yang memakan cili dan merasai pedasnya. Adakah orang UMNO merasai bahawa mereka telah memisahkan antara politik dengan agama? Oleh kerana itu mereka merasakan bahawa 'amanat' tersebut hanya ditujukan kepada mereka sedangkan ia ditujukan kepada semua orang Islam hatta kepada orang PAS sendiri. Hakikatnya, UMNO tidak dapat membezakan di antara 'menerang' dan menghukum'. Mereka tidak perlu terasa jika mereka tidak pernah menganggap politik tiada kena mengena dengan agama. Mereka sepatutnya menyedari pentingnya agama dalam memandu politik.

A Must Watch : oley 2 ~ episod 1


Sebuah filem terbitan DPPM arahan Adam Hamid yang menerangkan tentang hudud dan mengambarkan keadaan seperti selepas Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bingkisan buat Sang Daie


Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.
Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.
Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie.
Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah Baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya
Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan dirii. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” – Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim

Sumber : Laman Tarbawi

Ucapan Dasar Presiden - Muktamar PAS ke-58


NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN

الحمد لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين ,وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي
لجلال وجهك وعظيم سلطانك . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شيء
قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير . اللهم وصل وسلم وبارك على محمد
أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه إلى يوم الدين

1. Yang Dihormati Pengerusi Tetap, YAB Tuan Guru Dato‟ Mursyidul „Am, Sohibul Fadhilah Dato‟ Timbalan Mursyidul „Am, Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Dato‟ Setiausaha Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan-Dewan, Ketua dan Ahli Jawatakuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, pengamal media cetak dan elektronik, seluruh para perwakilan dan pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

2. Saya ucapkan selamat datang ( )أهلا وسهلا ومرحبا بكم kepada semua para perwakilan dan tetamu yang datang dari seluruh pelusuk tanahair tercinta dan luar negeri. Saya juga mengalu-alukan kehadiran kali pertama ahli-ahli baru PAS ke muktamar ini, dari kalangan rakyat, artis dan karyawan, ahli sukan, tokoh akademik, mantan pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat dan masyarakat, dan semua kalangan yang ingin bersama PAS membawa mesej Islam ke dalam negara kita ini. Sesungguhnya kehadiran tuan-puan sekelian, akan memeriahkan muktamar kita, menyuntik semangat dan merapatkan saf angkatan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam, ketika seluruh dunia merayu kepada penyelamat, kerana dilambung gelombang krisis kemanusiaan dalam segala lapangan.



3. Negara kita juga tidak terkecuali dalam keadaan yang sama. Cukuplah rakyat menjadi saksinya, apabila UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional, culas dalam melaksanakan amanah, tidak menepati janji – dengan jelasnya tidak menghormati perjanjian hasil petroleum di negeri-negeri sehingga tergamak menindas majoriti rakyat beragama Islam di negeri Kelantan dan Terengganu khususnya, dengan menafikan hasil minyak yang dikurniakan oleh Allah SWT.

4. Pertumbuhan ekonomi negara pula dijana dengan bebanan hutang RM502 billion, iaitu menghampiri siling 55 peratus nisbahnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara manakala defisit fiskal telah melepasi 15 tahun berturut-turut. Ini memberi makna, bahawa kerajaan UMNO-BN telah berbelanja besar dari pendapatan sejak sekian lama. Sedangkan, Bank Dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara antara yang paling kaya dari segi jumlah sumber per kapitanya. Inikah contoh perbelanjaan cemerlang kerajaan Barisan Nasional ? Inilah hakikat yang kita saksikan di depan mata kita sendiri pada hari ini. Semuanya ini dilakukan tanpa memikirkan kesannya kepada kesejahteraan hidup generasi yang akan datang.
sambungan di sini

PAS Dulu, Kini dan Selamanya




Sejarah Parti Islam Semalaysia (PAS)

Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.
Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.
Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.
Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
------------------------------------
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.

 sumber hak cipta terpelihara : www.pas.org.my

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates