Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

VOLUNTARISME VS MEMINTA JAWATAN

Seperkara yang tidak dapat dinafikan ialah nilai kesukarelawanan (voluntarisme) dalam jiwa pendokong dan aktivis gerakan Islam teramat tinggi berdasarkan pandangan dunia (worldview) dan juga aspirasi  Islam dalam jiwa mereka. Malah, hal-hal kesukarelawanan terutamanya berkaitan kebajikan seakan menjadi mercu tanda kepada gerakan-gerakan Islam yang demokratik di masa kini. (Bayat, 2007 ; Harrigan dan El-Said, 2009)

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ لِيْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ 
وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ وَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Dari Abdurrahman bin Samurah dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda kepadaku, “Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah kamu meminta jabatan! Kerana sesungguhnya jika diberikan jabatan itu kepadamu dengan sebab permintaan, pasti jabatan itu (sepenuhnya) akan diserahkan kepadamu (tanpa pertolongan dari Allah). Dan jika jabatan itu diberikan kepadamu bukan dengan permintaan, pasti kamu akan ditolong (oleh Allah Azza wa Jalla) dalam melaksanakan jabatan itu. Dan apabila kamu bersumpah dengan satu sumpah kemudian kamu melihat selainnya lebih baik darinya (dan kamu ingin membatalkan sumpahmu), maka bayarlah kaffarah (tebusan) dari sumpahmu itu dan kerjakanlah yang lebih baik (darinya)”.
(Hadis Sahih riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Aduh, keliru dibuatnya. Berdasarkan kenyataan fakta di atas, apakah yang membezakan antara voluntarisme dan meminta jawatan? Kenyataan pertama jelas membuktikan faedah yang diperoleh susulan dari kegiatan voluntarisme manakala hadis yang datang pula terang menyatakan larangan meminta jawatan.

Terus adakah amalan hari ini yang memandang peri pentingnya pejuang-pejuang mengambil inisiatif untuk mengisi segenap ruang dakwah dan jalan juang dikira sebagai voluntarisme atau meminta jawatan?


Nah, jangan risau, ada perbezaannya. Ikuti beberapa kupasan dan contoh dibawah.



MEMINTA JAWATAN

Meminta jawatan adalah satu tindakan yang dilarang keras oleh Rasulullah SAW sebagai satu amal yang tidak benar lebih-lebih lagi melibatkan pentadbiran dalam sesebuah negara.
Ada beberapa sebab mengapa amalan meminta jawatan ini dilarang. Antaranya:

1) Jauh dari pertolongan Allah sepertimana yang dinyatakan di atas oleh Abdurrahman bin Samurah.

2) Niat mudah terpesong.

Asy-Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata, “Seseorang yang meminta jabatan seringnya bertujuan untuk meninggikan dirinya di hadapan manusia, menguasai mereka, memerintah dan melarangnya. Tentunya tujuan yang demikian ini buruk adanya. Maka sebagai balasannya, ia tidak akan mendapatkan bahagiannya di akhirat. Oleh kerana itu, seseorang dilarang untuk meminta jabatan.” (Syarah Riyadhush Shalihin, 2/469)


Realitinya hari ini, ramai antara pemimpin duniawi yang berebut-rebut memegang jawatan tertinggi dalam negara. Pelbagai janji manis ditabur saat berkempen. Itu dan ini pasti akan dilaksanakan buat rakyat tercinta katanya. Akhirnya, ibarat menanam tebu di tepi bibir, hanya manis di mulut tetapi janji hanya tinggal janji. Hakikatnya mereka inginkan jawatan sekadar untuk manfaat sendiri dan konco-konconya.

3) Orang yang meminta jabatan mudah menjadi rakus sepertimana sabda baginda:

ا ذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلَ فِي غَنَمٍ بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ الْمَرْءِ عَلَى الْمَالِ وَالشَّرَفِ لِدِيْنِهِ
“Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dilepas di tengah gerombolan kambing lebih merosak daripada merosaknya seseorang terhadap agamanya kerana cita-citanya untuk mendapatkan harta dan kedudukan yang tinggi.” 
(HR. at-Tirmidzi no. 2482, disahihkan asy-Syaikh Muqbil dalam ash-Shahihul Musnad, 2/178)

Orang yang meminta jawatan tidak akan puas dengan sekadar mendapatkannya. Kebiasaannya mereka akan terus menindas dan pecah amanah untuk memuaskan kemahuan sendiri walaupun terpaksa menyusahkan orang bawahan.

4) Mereka yang meminta jawatan seolah-olah mengaku bahawa keistimewaan ada pada mereka. 

Sedangkan jelas larangan Allah dalam surah an-Najm ayat 32. Maksudnya: “Jangan kamu menyatakan diri kamu suci”

Antara kisah popular meminta jawatan ketika dua sahabat yang meminta mereka diangkat menjadi pemimpin, lantas tidak dipersetujui oleh Rasulullah SAW. Kisah ini disebut dalam hadis

Maksud: Daripada Abu Musa ra (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah! Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.”

Jawatan adalah amanah dan tanggungjawab. Tidak sepatutnya diminta-minta malah sekiranya diberikan jawatan itu, haruslah diterima dengan penuh hati-hati dan takut akan Allah.



VOLUNTARISME

Lain pula kisahnya perihal kesukarelawanan. Banyak kisah-kisah menarik yang pernah dilakar dalam sejarah seperti kisah Nabi Yusuf as, Nabi Sulaiman as, Abu Dzar, Raja’ bin Haiwah, Khalifah Harun al-Rasyid dan lain-lain lagi.

Voluntarisme boleh dikelaskan samada seseorang memberi tawaran atau menerima tawaran. Contoh kisah memberi tawaran adalah ketika Nabi Yusuf menawarkan diri menjadi bendahara.

Yusuf as berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir, ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat demikian.

Tindakan Nabi Yusuf as tidak dikira sebagai meminta jawatan kerana keadaan semasa yang sangat mendesak untuk mengelakkan daripada dikuasai golongan zalim dan melampaui batas.

Kata al-Qurtubi: “Sesungguhnya Yusuf as hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada seiapa yang setanding dengannya, yang demikian dapat melaksanakan keadilan islah dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu ain bagi dirinya kerana tiada siapa lagi selain dia. Demikian juga hukumnya pada hari ini. sekiranya sesorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifatnya yang melayakkan memperolehi jawatan tersebut iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain.”



Kesimpulannya, voluntarisme dan meminta jawatan mempunyai persamaan iaitu kedua-duanya mementingkan diri bagi mendapatkan jawatan namun tetap ada perbezaan. Voluntarisme dilakukan kerana memikirkan kepentingan akhirat dan keperluan dalam menjaga syariat agama manakala meminta jawatan sekadar menguntungkan duniawi. Sama-samalah kita meningkatkan nilai voluntarisme dalam diri serta menjauhkan sejauh mungkin sikap ego yang boleh menjerumus ke lembah meminta-minta jawatan. 


“Volunteering is the lifeblood of any community. It is because of volunteers that communities are able to run organizations, social services, conferences, playgroups, drop-in centers, feed the hungry, shelter the homeless, open libraries, run schools, set up blood banks, and the list goes on. Paid employees only make up a small part of the social services network; without volunteers such endeavors would come to a standstill.
As Muslims, our role isn't just to make our salat and fast and pay zakat. We are encouraged to take on a broader role by working to improve the communities we live in; we should be visiting the sick, feeding the hungry, teaching people to read, helping people who have no one to turn to. It is by translating our love of Allah into good actions that we strengthen our imaan. Islam is a faith of action and we need to demonstrate our faith by working to make the world a better place.”
(Volunteerism in Islam by Dr Ahmad Hussein Sakr)



Qiroah Manhaju Hayah - Pembacaan Satu Manhaj kepada Kehidupan


Karangan Dr. Raghib Sarjani



 Antara metod menuntut ilmu pada zaman ulamak silam terdiri daripada talaqqi dan musyafahah. Namun kini adalah zaman di mana ilmu telah dibukukan, jadi antara metod untuk mendapatkan ilmu adalah melalui pembacaan. Jadi Dr. Raghib El-Sarjani melalui kitabnya ini, mengajar
bagaimana untuk kita mengambil intipati daripada kitab melalui pembacaan kita.

Membaca adalah satu keperluan dalam kehidupan sepertimana manusia memerlukan makan dan minum. Maka, menjadi satu kewajipan ke atas kita untuk menjadikan pembacaan sebagai manhaj kepada kehidupan.

Terdapat pelbagai wasilah dalam mendapatkan ilmu seperti talaqqi dan musyafahah dan membaca kitab. Namun perlu untuk kita fahami bahawa membaca untuk mendalami ilmu khusus memerlukan kepada guru, sepertimana seorang ustaz memerlukan dia berguru dengan orang yang faqih dalam bidang yang dituntutnya dan seorang doktor memerlukan dia berguru dengan pensyarah dalam bidang perubatan untuk membolehkan masing-masing beramal dalam bidang masing-masing.

Kepentingan membaca dibuktikan dengan penurunan wahyu pertama ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W dengan ayat perintah untuk membaca:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Al-‘Alaq, Ayat 1-5)

Dua dhawabit penting dari ayat ini ialah:

Yang pertama, untuk membaca dengan nama Allah dan membaca untuk mendapatkan keredhaan Allah. Yakni pembacaan yang bermanfaat kepada manusia dan alam, dan memberi kebaikan kepada dunia dan akhirat.  

Yang kedua, perlu untuk kita menuntut ilmu dengan penuh tawadhuk. Penting untuk kita capai tahap tertinggi dalam menuntut ilmu, namun ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Firman Allah:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".(Al-Isra’:85)


Bagaimana untuk cinta membaca?



1) Menghadirkan niat
-sebagai ketaatan kepada Allah
-tetapkan matlamat dan tujuan
-manfaat ke atas diri dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Siapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu.Siapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan siapa yang menghendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu"
[Hadis Riwayat at-Tirmidzi ]

2) Meletakkan perancangan yang jelas untuk membaca
-susun waktu, kitab yang ingin dibaca, waktu membaca
-barangsiapa yang menjaga wasilah, maka akan terlaksanalah apa yang tujuannya.

3) Meletakkan waktu yang tetap untuk membaca dan menggunakan sebaiknya waktu senggang.
-Antara waktu yang baik untuk membaca adalah: (tambahan)
1. Waktu satu pertiga malam
2. Selepas Subuh
3. Selepas Maghrib
4. Selepas Isyak

4) Berperingkat
-setelah memahami kepentingan membaca, kadang-kadang kita akan bersemangat namun perlu untuk kita menyusun waktu membaca agar tidak menggunakan kebanyakan masa kita sehingga mengabaikan amal lain yang lebih dituntut.
5) Bersungguh-sungguh (Itqan)
- membaca berhajatkan kepada pemikiran, waktu, harta, usaha dan pengorbanan untuk kita mengambil manfaat atas apa yang dibaca.

-Nasihatku (penulis kitab):
1. Selalunya kita bila membaca kitab akan bersemangat membacanya namun bila kita membaca dan menghafal untuk ujian, ketahuilah ia juga bukan lah sia-sia. Jadi, sentiasalah pupuk semangat dalam membaca bacaan yang kita minat atau pelajaran yang kita ambil, kerana ia bukanlah perkara yang sia-sia.
2. Buat nota untuk perkara yang kamu tidak faham, tanyakan pada sahabat, orang yang dalam bidangnya.
3. Catat isi penting agar biasa membacanya pada waktu senggang.

6) Menyusun maklumat dan bersistematik dalam setiap perkara.
7) Membuat maktabah di dalam rumah.
8) Menaqalkan apa yang dibaca kepada orang lain
- Mengajarkan apa yang dipelajari kepada orang lain.
9) Saling membantu dan bertukar fikiran dengan sahabat dan saudaramu yang lain.
10) Mengambil ilmu daripada ulamak
- mengambil ilmu dari ulamak yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya
- Bertanya buku apa yang perlu dibaca dan boleh dibaca
-Ulamak pada zaman lampau, mengambil ilmu dan faedah sesama mereka dan bersikap tawadhuk kepada siapa yang lebih alim.



Apa yang perlu dibaca?



1. Al-Quranul Karim
- membaca, tadabbur dan mengamalkan setiap isi kandungan al-Quran
2. Hadis
-baca, belajar dan kalua boleh hafal
3. Ilmu Syariat
4. Bidang khusus yang kita ambil.
5. Sejarah.
-sejarah Islam(zaman khalifah, pemerintahan Islam), sejarah dunia
6. Bacaan semasa
-contohnya: pemimpin perlu pembacaan berkenaan kepimpinan, pengurusan dan sebagainya, ahli haraki perlu tambah ilmu haraki.
7. Membaca pemikiran dan pandangan orang lain.
8. Perkara syubahat sekitar Islam dan cara menolaknya.
9. Bacaan berkaitan kanak-kanak
-tarbiyatul awlad.
10. Bacaan santai.
- boleh baca tentang perkara yang kita minat contohnya sukan dan komik dengan mengambil kira perkara berikut:
*tidak boleh sekiranya wujud perkara yang terkeluar dari manhaj Islam.
* Jangan sampai melampaui waktu bacaan perkara yang lebih penting.



“Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”
-Imam Syafie-

UKHUWAH KITA SAMPAI KE SYURGA



“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfaal, ayat 63)

Ukhuwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan satu ikatan atau jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani di mana ikatan ini adalah  ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah. Dan di antara ikatan yang paling kukuh adalah ikatan ukhuwah bertunjangkan keimanan.


Ukhuwah dalam Jemaah - Keimanan dan Ukhuwah

Ukhuwah merupakan rukun ke-9 dalam  Rukun Baiah. Imam Hassan al-Banna menegaskan bahawa prinsip ukhuwah merupakan salah satu bentuk realisasi dari keimanan. Iman dan ukhuwah ibarat sekeping mata wang syiling. Di mana ada keimanan, maka di sebaliknya ada ukhuwah.

Ikatan inilah  yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah SWT.

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Unsur dalam Ukhuwah

Di antara unsur-unsur yang penting dalam ukhuwah di antaranya:

1. Saling mengingatkan dalam kebenaran dan kesabaran.
2. Saling tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan.
3. Saling berkasih sayang dan merendah diri sesama mereka.
4. Saling mengutamakan saudaranya.

Dan sesungguhnya hanya Allah yang mampu mengikat dan menyatukan hati-hati yang dikehendakiNya.

Gerakan Islam sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, di mana satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Buat Anak-Anak Gerakan

Ukhuwah dalam jemaah ini akan lahir bila mana setiap dari kita saling menghormati kepada pimpinan mahupun kepada sesama sahabat seperjuangan. Tiada rasa iri hati, tiada rasa prasangka bahkan sentiasa berlapang dada dan saling berakhlak mulia sesama kita. Bahkan ukhuwah ini bebas dari sebarang elemen kepentingan dan kepuasan diri semata-mata.


Alangkah Indahnya ukhuwah bilamana ia dibina berlandaskan keihklasan kerana Allah SWT dan disertai dasar keimanan dan ketaqwaan. Tetap utuh walau badai melanda. Bahkan semakin kuat kerana kita saling berpaut dan memberi kekuatan sesama kita. Jauh perasaan ingin berjauhan dan tidak sesekali terlintas perasaan untuk menjatuhkan dan melemahkan sesama kita.


Alangkah indahnya andai semua mampu memberi kepercayaan dan saling berakhlak mulia. Andai bertemu, terasa gembira dan andai berpisah terasa rindu yang amat kerana ukhuwah itu terasa dan terkesan di dalam hati.


Tiada yang indah melainkan yang datang dari hati-hati yang suci berkumpul dan saling mengingati Allah SWT. 
Tidak mungkin perjuangan ini indah andai ia dicemari dengan dosa dan nista. Perjuangan ini menjadi kotor hina dan punah andai dicalit dengan kata fitnah dan cemuhan sesama jemaah.


Wahai Sahabat

Sayangilah sahabat - sahabat ini, sesungguhnya kita telah lama bersama dan berjanji setia untuk menegakkan syiar Islam dengan segala keringat dan penat lelah serta air mata. Andai bukan kemenangan bukan pada masa kita, akan tiba kemenangan itu dengan izin Allah SWT pada masa yang telah dijanjikan.


Sesungguhnya yang DIBIMBANGI KEMENANGAN itu belum tiba kerana hati-hati kita masih belum bersatu. Berusahalah menjaga perjuangan ini dengan dibajai kemanisan ukhuwah dan dijauhkan segala anasir perpecahan.

Kuatkan hati, teguhkan jiwa, lapangkan dada, rapatkan saf, jauhi segala perpecahan, kuatkan segala ikatan, hanya kerana Allah SWT.

Bersamalah kita melangkah ke syurga dengan ikatan ukhuwah ini. Biiznillah.


“Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa.” (Surah ad-Zukhruf: 67)


Ya Allah,
sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa sesungguhnya hati-hati kami ini,
telah berkumpul kerana cinta-Mu, dan berjumpa dalam ketaatan pada-Mu,

dan bersatu dalam dakwah-Mu,
dan berpadu dalam membela syariat-Mu.
Maka ya Allah, kuatkanlah ikatannya,
dan kekalkanlah cintanya,
dan tunjukkanlah jalannya,
dan penuhilah ia dengan cahaya yang tiada redup,
dan lapangkanlah dada-dada dengan iman yang berlimpah kepada-Mu,
dan indahnya takwa kepada-Mu,
dan hidupkan ia dengan ma'rifat-Mu,
dan matikan ia dalam syahid di jalan-Mu.
Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

ISLAM & JAHILIYAH



PERHUBUNGAN ANTARA PENDIRIAN & TINGKAH LAKU

      Sebagai manusia, kita sering menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan, dan kita tidak akan dapat menguasai masalah-masalah ini melainkan setelah membuat satu pendirian terhadap tabiat / keadaan sebenar masalah, dan apa hubungan tabiat / keadaan itu kepada masalah. Selagi pendirian tidak terhasil, maka tiada keputusan & tindakan yang boleh dibuat.

      Tindakan kita pula akan dinilai sesuai atau tidak berdasarkan benarnya / salahnya pendirian kita tadi. Dan kebenarannya pula dinilai bergantung kepada dasar yang kita gunakan, sama ada pengetahuan, tekaan, sangkaan mahupun tinjauan pancaindera. Kita ambil contoh mudah, suatu makhluk yang bernama api.

i) Budak kecil + Tinjauan pancaindera (api) = Mainan yang cantik & berkilauan, ingin dipegang.

ii) Manusia lelaki + Tekaan / sangkaan mudah (api) = Punya sifat ketuhanan / sebagai simbol ketuhanan.

iii) Manusia lelaki + Ilmu pengetahuan & kajian (api) = Sesuatu yang banyak kegunaan apabila keperluan timbul.

      Maka, tindakan yang terhasil daripada budak kecil & lelaki pertama di atas kita boleh katakan terhasil di atas kejahilan yang ada, kerana tidak berpandukan apa-apa bukti yang jelas dan ilmu pengetahuan yang sebenar.  

MASALAH-MASALAH POKOK DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

      Dalam kehidupan duniawi, seorang manusia mendapati dirinya hidup di atas muka bumi ini, dikurniakan tubuh badan yang punya pelbagai potensi. Di hadapannya terhampar indah bumi & langit, isi-isi dunia & segala khazanah-khazanah di dalamnya (tumbuhan, haiwan, bahan galian, dll).

      Semua ini berkait rapat dengan kehidupannya. Mustahil bagi seorang manusia untuk mengambil suatu bentuk perhubungan dengan benda-benda tadi tanpa menetapkan pendiriannya terhadap dirinya sendiri, tabiat benda-benda di sekelilingnya & kedudukan perhubungannya dengan benda-benda tersebut, sebagai contoh:     

·         Siapakah dirinya?
·         Apakah kedudukan dirinya di dunia?
·         Apakah perlu keatasnya tanggungjawab? Jika perlu, apakah tanggungjawab itu dan kepada siapa tanggungjawab itu?
·         Adakah dirinya bebas atau tunduk kepada pihak lain? Jika dirinya tertakluk, maka siapakah         penakluknya.

      Manakala dalam menggunakan tenaga & kekuasaan yang ada untuk menghasilkan tindakan pula, persoalan-persoalan berikut perlu diselesaikan:

·         Adakah kekuasaan itu miliknya atau dikurniakan pihak lain?
·         Adakah dia akan dipertanggungjawabkan atas kekuasaaannya?
·         Adakah penggunaan kekuasaan tersebut ditentukan dirinya atau pihak lain?
·         Adakah kekuasaannya terhadap sesuatu penuh atau terbatas?   

      Dalam soal perhubungan sesama manusia pula, perlu diputuskan penyelesaian terhadap soalan-soalan berikut:

·         Apakah ideal-ideal manusia secara keseluruhannya?
·         Apakah asas ketinggian & perbezaan sesama manusia?
·         Apakah daya pendorong kepada persahabatan & permusuhan, ikatan & perselisihan, tolong       menolong & tidak bekerjasama?   

      Justeru, setiap daripada manusia pasti akan membuat keputusan & mengambil pendirian terhadap persoalan-persoalan ini sebelum bertindak di alam semesta ini. Tidak semestinya setiap manusia akan berfikir secara falsafah terhadap jawapan-jawapan mereka setelah membuat kajian yang mendalam. Bahkan kebanyakan manusia tidak merenung & menghiraukan langsung persoalan-persoalan tersebut.

      Apapun setiap orang pasti akan ada membuat suatu pendirian sama ada positif / negatif terhadap setiap perkara, dan sikap mereka tidak akan dapat lari daripada pendirian yang mereka tentukan itu.  

ASAS-ASAS AKHLAK INDIVIDU & MASYARAKAT ADALAH SAMA

      Hasil daripada pendirian & penyelesaian yang dirumuskan, maka akhlak seseorang individu akan sentiasa terpengaruh pada rumusan mereka tadi. Tindak-tanduk yang terhasil tidak dapat lari dari hakikat pendirian yang mereka yakini itu.

      Dalam penelitian lain, jika setiap individu memerlukan kepada pendirian & penyelesaian sebelum bertindak, maka sesebuah masyarakat juga perlu kepada pendirian & penyelesaian terlebih dahulu sebelum membentuk perkumpulan yang mampu membangunkan suatu kebudayaan & tamadun.  

      Maka dalam erti kata lain, tatacara akhlak sesebuah individu / masyarakat itu mencerminkan rumusan-rumusan yang mereka ambil terhadap persoalan-persoalan penting di atas. Setiap institusi kehidupan, rangka masyarakat, bahkan masa depan mereka akan dimodelkan & dibentuk atas rumusan-rumusan yang sama.

      Hal ini tidaklah merisaukan sebenarnya, kerana sememangnya ia adalah ‘nature’ semulajadi dalam aturan kefahaman & tindakan manusia. Yang merisaukan adalah asas apa yang manusia ambil untuk menetapkan pendirian mereka? Kesudahannya penyelesaian apa yang terhasil?


PENYELESAIAN PERTAMA: JAHILIYYAH TULEN (AL-MAHDHAH)

      Penyelesaian ini mengambil dasar dan asas bahawa:

·         Penilaian manusia sepatutnya bergantung pada pancaindera semata.
·         Bahawasanya alam ini terjadi dan berjalan secara automatik & manusia pula merupakan sebahagian daripada haiwan lain.
·         Penggunaan khazanah dunia perlu mengikut logik akal (hanya memuaskan diri & barangkali nafsu).
·         Dunia ini dan segala khazanah & kejayaan yang ada padanya pula adalah seperti harta rampasan perang (booty), setiap orang bebas merebut apa sahaja, setiap bila peluang itu wujud.
·         Tidak wujud kuasa tertinggi, punca ilmu pengetahuan dan sumber hidayah.
·         Kehidupan semasa dunia adalah satu-satunya kehidupan & dasar pertimbangan kebenaran hanya atas apa yang pernah berlaku di dunia sahaja.

      Hasilnya, jika tiada kawalan luar terhadap akhlak & tindakan mereka, penyelesaian ini akan membawa kepada kecenderungan tabi’e terhadap beberapa ciri-ciri berikut dalam tindakan mereka:

·         Ruang lingkup akhlak manusia perlu bebas daripada rasa tanggungjawab.
·         Setiap orang menyangka dirinya berkuasa penuh atas diri & khazanah dunia 'miliknya'.
·         Kekuasaan individu pula hanya terbatas pada undang-undang & had-had yang ditetapkan oleh kehidupan kolektif.
·         Tabiat keras manusia (zalim, tamak, ganas) akan terserlah (apabila lemah sifat baik mereka).
·         Hanya perkara yang bermanfaat pada pandangannya akan jadi matlamat hariannya.
      
      Namun tidak dinafikan ada juga pemegang & pelopor penyelesaian ini yang punya kawalan, kuat sifat baiknya (empati, rela berkorban).  Mereka turut mengimpikan kebaikan masa hadapan (untuk kemajuan, negara, bangsa). Tetapi jika diteliti secara dalam, hujungnya pasti ia didasari lanjutan motif-motif kebaikan yang mesti kembali kepada dirinya dan segalanya dilihat dari kacamata akal manusia semata

      Pada sudut masyarakat yang memegang penyelesaian ini tanpa kawalan pula, mereka akan cenderung berpendirian bahawa:

·         Hak penentuan (sovereignity) politik hanya diberi kepada sesetengah individu, keluarga, kumpulan kecil, atau orang awam.
·         Sistem kolektif yang paling luhur hanyalah sehingga tahap komanwel/persetujuan antara negara.
·         Undang-undang digubal hanya berdasarkan pengalaman-pengalaman manusia (lebih teruk jika didasari nafsu), polisi-polisi pula jika diubah akan mengikut kepentingan peribadi/suatu pihak.
·         Hanya yang 'kuat' akan menjuarai, bahkan ambil jalan yang zalim (tipu, fitnah, khianat) untuk jadi 'kuat', akhirnya tampuk kekuasaan akan jatuh pada mereka yang sebegini.
·         Budaya dan peradaban akan terbentuk mengikut kepentingan individu, akan ada pengizinan dalam ukuran moral untuk memenuhi nafsu (pornografi, LGBT).
·         Sistem pendidikan pula dirangka berdasarkan penyelesaian ini, membentuk generasi yang berpandangan yang sama terhadap dunia & teori-teori kehidupan yang sama seperti yang diterangkan di atas.
·         Apabila telah menjadi norma, memaksa semuanya berfikir mengikut laras yang sama, lari daripada Al-Haq. 

PENYELESAIAN KEDUA: SYIRIK, AR-RUHBANIYAH & AL-WUJUDIAH

SYIRIK 

      Penyelesaian ini mempercayai bahawa alam ini sudah tentu tertakluk di bawah kuasa Tuhan, namun bukan hanya Tuhan yang Esa tapi banyak lagi Tuhan lain. Kemakmuran & kegagalan manusia juga bergantung pada keredhaan & kemurkaan Tuhan-Tuhan tadi.

      Manakala cubaan mengenalpasti Tuhan-Tuhan ini membuat manusia mengambil perkara yang menarik hati mereka sahaja sebagai Tuhan (simbol-simbol, keajaiban alam, dll). Kesannya, pendirian ini akan menghasilkan akhlak & tindakan yang dipengaruhi & menghasilkan ciri-ciri berikut:

·         Kehidupan yang dipengaruhi kepercayaan karut-marut & tahyul dan banyak lagi benda lain mempengaruhi nasib baik & buruk seseorang.
·         Kehabisan tenaga melayani harapan palsu tentang untung nasib.
·         Campur aduk yang tiada kesudahan dalam upacara ibadat & penyembahan mengakibatkan mereka terjerat dalam golongan yang sia-sia sebahagian besar usaha-usaha & aktiviti-aktiviti mereka.
·         Mudah ditipu oleh para penipu, dengan ramai pihak yang ingin mengaku sebagai wakil Tuhan, dll.
·         Akhirnya keturunan kepada para penipu inilah yang memegang sebahagian hak-hak keistimewaan yang berakar umbi mengikut peredaran masa.
·         Dengan tiada garis panduan yang elok, maka hidup mereka penuh dengan kesilapan, dibiarkan kepada mereka sendiri untuk menggubal tatacara seharian mereka.

AR-RUHBANIYAH

      Penyelesaian ini pula lebih berkait rapat dengan cara hidup para rahib. Ia merupakan gabungan pancaindera, andaian & spekulasi yang menetapkan bahawa dunia adalah tempat penyiksaan. Kewujudan fizikal juga sering dikenakan dengan kesakitan & kesengsaraan.

      Pada masa yang sama segala keseronokan, keinginan & keperluan fizikal di dunia adalah rantai pengikat yang membelenggu manusia. Ini bermakna kejayaan & keselamatan seseorang bergantung kepada keupayaannya meninggalkan urusan duniawi. Tubuh badan pula perlu menjalani penyiksaan untuk menyucikan diri sehingga roh menjadi ringan & murni untuk ke tempat lebih tinggi, sehingga ke puncak kejayaan yang menguntungkan (Nirwana).

      Hal ini membawa kepada beberapa akibat & ciri-ciri lain pula:

·         Kecenderungan manusia ditukarkan daripada hidup secara kolektif kepada individualisma & daripada hidup berbudaya kepada hidup dalam kekeliruan.
·         Manusia memalingkan diri daripada kehidupan dunia dan segala tanggungjawab berkaitan, tidak mahu bekerjasama & memutuskan segala hubungan peribadi.
·         Mendorong manusia-manusia baik untuk meninggalkan urusan dunia yang penting, akibatnya manusia-manusia zalim mengambil alih urusan-urusan ini.
·         Masyarakat mula ambil nilai moral yang negatif, cenderung untuk tidak sosial akhirnya menjadi kurang siuman, menyebabkan daya kreatif & kritis juga menjadi lemah.
·         Mereka juga akan menjadi makanan-makanan lembut kepada para penzalim & memudahkan para penzalim memaksa mereka memberikan ketaatan.

      Sejarah telah membuktikan, pertentangan jelas falsafah ini dengan tabiat manusia menyebabkan ia banyak menerima halangan, lalu berselindung di sebalik kepura-puraan (penebusan dosa – penance, cinta kiasan – allegorical love, menidakkan sesuatu – renunciation).

AL-WUJUDIAH

      Penyelesaian ini menganggap manusia dan alam ini tidak benar & tidak punya kewujudan secara tersendiri. Tetapi hanya ada satu Zat yang menciptakan kesemuanya dan satu Zat tersebutlah yang terdapat & bekerja dalam diri mereka. Ini mengakibatkan manusia menyangka diri mereka adalah patung, hanya dikawal oleh pihak lain.

       Dengan pendirian sebegini, manusia akan menghasilkan ciri-ciri berikut:

·         Lupa akan dirinya sendiri, hidup tak berkemudi & selalu mabuk dengan khayalan.
·         Natijah-natijah praktikalnya adalah sama dengan apa yang diterangkan dalam doktrin Ruhbaniyah (hilang tanggungjawab & empati pada pihak lain).
·         Sikap para penganut pula lebih kurang sama dengan mereka yg memegang penyelesaian Jahiliyah – percaya tidak punya kuasa diri (willpower) lalu memberi hawa nafsunya kebebasan untuk bertindak sendiri.

KESIMPULAN

      Tidak ada satupun penyelesaian-penyelesaian di atas yang dikuatkan dengan bukti ilmiah yang sebenar. Bahkan banyak konsepnya dihasilkan daripada andaian & khayalan semata. Sejarah & pengalaman telah menidakkan penyelesaian-penyelesaian ini dan sekiranya salah satu daripada mereka adalah benar, maka sudah tentu ia tidak menghasilkan natijah-natijah buruk yang kita lihat zaman berzaman (diskriminasi, penindasan, peperangan, obsesi, pencemaran, penyalahgunaan).

      Ia diumpamakan sepertimana suatu makanan jika dimakan banyak kalipun tetap menghasilkan sakit perut, maka kita buat kesimpulan bahawa kandungan makanan tersebut tidak baik untuk fisiologi badan. Dalam kes yang sama, sekiranya suatu doktrin itu didapati banyak menyebabkan kerosakan pada manusia keseluruhannya, maka isi-isi doktrin itu juga diklasifikasikan sebagai tidak sah.


PENYELESAIAN KETIGA: AL-ISLAM

      Jalan ini sering diletakkan sebagai jalan terakhir. Kerana tiada jalan yang lebih benar melainkan jalan ini. Bagaimana? Dengan meletakkan keyakinan kita kepada penyelesaian yang telah dibawa oleh Rasul-Rasul Allah.

      Didatangkan satu perumpamaan, seorang lelaki mendapati dirinya berada di tempat yang asing. Tiadalah padanya satu ilmu pun berkenaan tempat tersebut, lalu ia mencari seorang yang mendakwa ia tahu jalan selanjutnya. Setelah berjumpa, lelaki itu menaruhkan kepercayaannya terhadap kebolehan si penunjuk jalan tersebut berdasarkan bukti-bukti yang ada.

      Sejurus mengambil keterangan daripada penunjuk jalan tadi, dia memulakan perjalanan. Apabila sudah terbukti melalui pengalaman perjalanannya bahawa keterangan yang diberikan tidak menyesatkan, maka lelaki tersebut yakin bahawa keterangan yang diberi penunjuk jalan tadi adalah benar.

      Metod sebegini adalah suatu metod yang saintifik, dakwaan disertai dengan bukti & pengalaman. Jika seseorang lelaki menundukkan kedegilan & kesombongannya kepada ilmu pengetahuan yang sebenar, dan jika dia mengehadkan tindakan-tindakan dalam sempadan yang ditetapkan oleh ilmu tadi, maka inilah yang dinamakan Tariqul Islami (Metod Islam).
      
      Dalam kes yang sama, dunia ini merupakan asalnya tempat yang asing bagi manusia. Kita dilahirkan dengan tiada ilmu tentang hakikat peraturan dunia ini, sikap apa yang perlu kita ambil terhadap dunia ini, ke mana arah tuju kita, dll.

      Kadangkala persoalan-persoalan itu kita jawab dengan pandangan & andaian kita. Tetapi setelah bertindak, hasil yang kita alami sentiasa negatif. Selepas berkali-kali akhirnya jalan terakhir yang tinggal untuk mendapat petunjuk sebenar adalah mengalihkan perhatian kita kepada Rasul-Rasul Allah.

      Para Rasul mendakwa mereka punyai ilmu yang sahih. Setelah kita meneliti cara kehidupan mereka, ternyata akhlak & tindakan yang terpancar daripada mereka sungguh positif & memberi hasil yang baik. Ternyata di sana wujud asas yang kuat untuk mempercayai kebenaran dakwaan mereka. 

      Boleh jadi kita dipersoal akan kebenaran keterangan mereka berhubung dunia ini & kedudukan manusia di dalamnya. Boleh juga kita dipersoal akan ketiadaan apa-apa bukti praktikal yang boleh menidakkan dakwaan mereka (para Rasul) & keberjayaan keterangan mereka dalam kehidupan seharian.

      Jika kita mendapati selepas pemeriksaan teliti dengan ilmu yang benar, bahawa natijahnya cenderung untuk membenarkan pada kebenaran para Rasul, maka letakkanlah kepercayaan penuh kepada petunjuk mereka & ambillah jalan hidup yang selaras dengan ajaran-ajaran mereka sahaja.

PENDIRIAN PARA RASUL TENTANG MANUSIA & ALAM INI
                        
HAK MUTLAK KEKUASAAN TERLETAK DI TANGAN ALLAH.

      Seluruh alam yang manusia merupakan sebahagian darinya ini bukanlah terjadi secara kebetulan. Ia merupakan suatu wilayah yang tersusun dan terurus dengan baik. Allah SWT adalah penciptanya, dan dia sahajalah (tanpa ada yang lain) Tuan empunya & Pemerintahnya.
     
      Alam ini adalah nidzam muhaimin (totalitarian system), yang terletak di bawah satu sultah markaziah (central authority). Tiada sebarang perkongsian kuasa dengan yang lain, tiada suatu pun yang menyalahi aturannya dan tiada sebahagian pun dari alam ini yang dapat mencapai autonomi sendiri di luar kekuasaan Allah.

PENGABDIAN MANUSIA

      Manusia adalah hamba bagi mamlakah rabbaniyyah ini. Ia tidaklah diangkat, tetapi dilahirkan sebegitu. Tiada padanya sebarang kekuasaan lain, selain menjadi seorang hamba. Oleh itu, manusia tiada hak menentukan tanggungjawab, cara hidupnya dengan sendiri & menggunakan khazanah isi dunia (yang bukan miliknya) ini dengan cara sendiri. Hak itu hanya terletak pada Allah SWT, manusia sewajibnya menggunakan pemberian Allah menurut kehendak-Nya.
              
      Bagi setiap manusia yang menduduki bumi ini yang kehidupan mereka terikat di antara satu sama lain, adalah hamba-hamba Allah juga. Maka mereka tidak berhak untuk membentuk undang-undang dan peraturan-peraturan untuk mengatur hubungan sesama sendiri. Setiap perhubungan mestilah diperintah oleh undang-undang & peraturan-peraturan yang ditetapan Allah SWT.
              
      Apakah pula undang-undang Tuhan itu? Segala keterangan yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada para Rasul-Nya a.s itulah undang-undangnya. Allah SWT sendiri yang mengangkat mereka sebagai utusan untuk menyampaikan kebenaran ini kepada manusia.

 BATAS-BATAS AMAL & TINDAKAN
              
      Para Rasul a.s. selanjutnya menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT telah memberkati kita dengan aqal, kebebasan memilih, serta sedikit autonomi dan membiarkan kita bertindak menurut kemahuan kita. Dia juga mengurniakan kebijaksanaan, keupayaan membuat rumusan dan kebolehan untuk memilih di antara yang benar atau salah.

      Oleh sebab itu, Tuan kita telah mencampakkan hijab di antara ZatNya, sistem kerajaanNya dari mata kita. Manusia telah diberi seumur hidup untuk membuktikan nilai dan harga dirinya. Dia mahu kita menjalani suatu ujian dan melihat bagaimana kita menggunakan kekuasaan yang dikurnianya kepada kita.

      Jika kita sedar akan kedudukan kita selaku hamba dan mengambil jalan ini dengan hati yang terbuka tanpa paksaan, kita akan keluar dengan kejayaan dari ujian-Nya. Jika kita gagal mengenali kedudukan kita selaku hamba Allah & mengikut jalan pemberontakan, kita akan gagal di dalam ujian ini.

DUNIA ADALAH TEMPAT UJIAN

      Dunia ini bukanlah tempat balasan baik ataupun hukuman, tetapi ia adalah ‘Tempat Ujian’. Natijah-natijah amalan yang timbul / musibah-musibah yang melanda di dunia ini tidak boleh diambil sebagai asas untuk menentukan sama ada sesuatu metod atau ‘amal itu ‘adil, kejam, baik atau buruk dan sama ada haram atau halal.
               
      Natijah amalan duniawi yang akan ditetapkan kedudukannya di akhirat kelak akan menjadi asas sebenar sesuatu penilaian. Apabila tempoh tangguhan (kehidupan dunia ini) berakhir, kehidupan yang kedua akan bermula di mana segala amalan manusia akan dinilai dan keputusan akan diberi sama ada kita menghabiskan masa dengan baik atau dengan cara yang keji dan hina ketika hidup di dunia ini. Satu-satunya asas yang dengannya manusia diputuskan sama ada bersalah atau tidak di akhirat kelak, adalah:

·         Sama ada kita telah menggunakan pemberian-pemberian Allah SWT ke arah jalan yang benar dan mengakui Uluhiyyah-Nya dan kesucian-kesucian perintah-Nya.
·         Sama ada kita memilih untuk tunduk kepada kebenaran Allah SWT dalam keadaan kita punyai kebebasan memilih tanpa sebarang paksaan, di atas kehendak sendiri.


KESAN CARA HIDUP ISLAM

INDIVIDU

      Islam membentuk individu yang bertanggungjawab terhadap dirinya, segala pemberian Allah kepadanya dan juga terhadap orang lain. Kerana tiada suatu pun yang menjadi hak milik mutlak dirinya, segalanya perlu dikembalikan kepada Allah SWT. Penggunaan pemberian-pemberian tersebut pula selaras dengan apa yang Allah impikan, sedaya upaya bebas dari cacat cela.
              
      Islam juga menghasilkan individu yang amanah & mampu taat kepada suatu sistem peraturan rabbaniyyah dalam apa keadaan sekalipun. Tidak sekali akan ia biarkan nafsunya mengamuk, lantas menjadikan dirinya bukan penzalim atau seorang yang rosak dirinya.
               
      Pandangan hidup ini melahirkan individu-individu yang sangat baik dan versatile sehingga sukar untuk kita meyakini bahawa ada penyelesaian lain yang mampu menanamkan nilai-nilai ini di kalangan penganutnya.

KEHIDUPAN IJTIMAIE

      Setiap orang adalah hamba Allah SWT dan setiap isi khazanah dunia ini adalah milik Allah SWT. Maka tiada sebarang penguasaan oleh seseorang / sekumpulan orang kepada manusia lainnya dalam apa keadaan sekalipun.

      Islam menghapuskan segala kejahatan yang timbul dari sistem Monarki, Feudalisma, Aristokrasi, Brahmanisma, pemerintahan Pope dan pemerintahan diktator. Segala bentuk prejudis juga dilarang oleh Islam. Hanya ketinggian darjat yang berasaskan taqwa & amal soleh yang akan dikurniakan Allah SWT kepada hamba-hambanya.

      Islam juga menyelesaikan masalah keterbatasan asas ikatan sosial dalam kalangan manusia. Bangsa, negara, kewarganegaraan dan warna kulit antara perkara yang telah membataskan manusia kerana tidak mungkin sama sekali berlakunya perpindahan sosial. Namun Islam hanya meletakkan keyakinan mendalam kepada Allah & ketaatan kepada perintah-Nya sebagai penentu.
                
      Islam mengeluarkan manusia dari pergantungan sesama makhluk kepada ketaatan hanya kepada Yang Maha Esa. Segala perbezaan sesama manusia dapat dihapuskan melainkan satu, iaitu keimanan kepada Allah SWT. Maka hanya Islamlah yang mampu menyatupadukan manusia atas nama persaudaraan dengan izin-Nya.

ULUHIYYAH ALLAH SWT

      Daripada individu dan masyarakat yang terhasil tadi, maka setiap posisi dalam sebuah daulah itu pastinya akan dipenuhi oleh insan-insan yang amanah dan diredhai Allah SWT. Ini akan menghasilkan perubahan pada sikap, roh & struktur sosial masyarakat secara menyeluruh. Segalanya ditumpukan pada mendapatkan redha Allah SWT.
                
      Dalam keadaan ini, hanya mereka yang melebihi rakyat lain dari sudut kebaikan moralnya yang akan diangkat memegang tampuk kekuasaan & pemerintahan. Kebudayaan masyarakatnya akan diserap masuk oleh roh ketaqwaan & kesucian moral yang sama. Pokok perbincangan tamadun ini adalah berkhidmat kepada Allah, bukan pengabdian terhadap hawa nafsu.
                
      Oleh kerana Pemberi undang-undangnya adalah Yang Maha Suci, Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, maka hukum-hukumnya akan melenyapkan segala kemungkinan timbulnya kejahatan atau kezaliman dalam masyarakat. Telitilah sirah-sirah para anbiya’, para sahabat & para tabi’in untuk melihat suatu masyarakat & negara yang berperikemanusiaan yang tidak dapat ditandingi mana-mana tamadun dunia dalam sejarah. 



 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates