Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Rohingya: Prihatinkah kita?




Latar Belakang Tragedi

Secara ringkasnya, etnik Rohingya sudah lama teraniaya dan hidup dalam penderitaan. Cuma tahun ini, telah berlaku suatu krisis yang membawa kesengsaraan mereka ini ke pentas dunia di zaman yang penuh dengan kemajuan maklumat dan teknologi. Sebenarnya tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya berlaku sejak 1938 lagi apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Muslim telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968 dan 1992.

Manakala tragedi yang bermula pada awal Jun tahun 2012 ini tercetus apabila seorang wanita etnik Rakhine dirogol dan dibunuh, dan perbuatan itu didakwa dilakukan oleh beberapa lelaki daripada etnik Rohingya. Sebagai tindak balas dendam, puak Rakhine ini telah mengepung dan menyerang sebuah bas dan membelasah lantas membunuh sepuluh orang lelaki Rohingya, kerana menyangkakan mereka yang bertanggungjawab membunuh dan merogol wanita etnik Rakhine itu. Inilah taktik lazim penjahat mahu mencipta isu, iaitu isu untuk menghalalkan perbuatan haram mereka. Sama seperti Amerika yang membedil Afghanistan, kerana mendakwa Osama ben Laden berada di negara tersebut.

Selepas kejadian itu, segala kekejaman puak Rakhine bermaharajalela. Krisis ini menjadi semakin parah dan berlarutan apabila ia bertukar menjadi lebih ganas dan brutal dengan pembunuhan etnik Rohingya secara berkumpulan oleh puak Rakhine. Etnik Rakhine mengambil kesempatan ini untuk melunaskan dendam mereka terhadap bangsa Rohingya ini yang telah disimpan sejak sekian lama. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila diberitakan bagaimana pihak tentera dan polis yang rata-ratanya juga beragama Buddha turut bekerjasama dalam pembersihan etnik Rohingya ini.

Laporan daripada Amnesty International menyatakan bahawa kemungkinan ribuan umat Islam Rohingya telah disembelih oleh puak pelampau Rakhine. Pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa bagaimana pihak polis, tentera dan etnik Rakhine menembak penduduk kampung dengan begitu bersahaja tanpa rasa bersalah. Tambah menyedihkan ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malahan masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan.

Ada Apa Dengan Rohingya?

Menurut sejarah, etnik Rohingya sudah lama menetap di Burma (nama lama bagi Myanmar) yang berjiran dengan tanah Bengal ketika itu (Bangladesh belum lagi tertubuh). Mereka ini sudah lama menetap di Arakan, sehinggalah penaklukan oleh orang-orang Burma yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Chittagong, daerah di bawah kekuasaan British yang berjiran dengan Arakan. Arakan adalah wilayah yang sedang bergolak sekarang ini. Dan secara mudahnya, etnik Rohingya merujuk kepada golongan Muslim yang pernah menetap di Arakan, dan kemudian berhijrah ke Chittagong sebelum kembali semula ke Arakan.

Semasa penjajahan British di India, pihak British telah menggalakkan orang-orang Bengal, terutamanya dari Chittagong untuk berhijrah ke Arakan untuk menguruskan dan bercucuk-tanam di sana. Disebabkan British memerlukan tenaga buruh murah untuk menguruskan tanaman padi di Burma, kemasukan imigran dari Bengal ke Burma meningkat dengan mendadaknya. Untuk rekod, penghijrahan yang berlaku ini melibatkan seluruh wilayah di Burma dan tidak hanya terhad di Arakan sahaja. Akibat penghijrahan secara berjemaah ini, orang Bengal menguasai ekonomi dan sosio-politik di Burma. Hal ini telah menyemai rasa inferior dan rasisme di kalangan penduduk peribumi Burma.

Kebencian orang Burma terhadap orang-orang Rohingya bertambah parah ketika penaklukan Jepun di Asia. Orang-orang Rohingya majoritinya menyokong pakatan yang antara lainnya terdiri daripada pihak British, manakala etnik Rakhine menyokong penuh penjajahan Jepun ke atas Burma. Akibat daripada perbezaan ideologi ini, ribuan etnik Rohingya dibunuh dengan kejamnya oleh kedua-dua pihak Rakhine dan tentera Jepun. Ramai orang-orang Rohingya melarikan diri ke Chittagong.

Semasa pemerintahan junta tentera pula, nasib orang-orang Rohingya bertambah buruk. Di bawah pemerintahan kuku besi Jeneral Ne-Win, operasi tentera dilakukan berskala besar dan bersistematik terhadap golongan minoriti di Burma. Antara operasi yang paling ganas adalah Operasi Raja Naga. Untuk rekod, bukan orang-orang Rohingya di Burma sahaja yang menjadi mangsa diskriminasi ini, tetapi golongan minoriti yang lain juga seperti orang Kokang dan Cina Muslim.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, etnik Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak punya negara atau pemerintahan sendiri. Tiada negara yang mahukan mereka. Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta izin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka! Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedhaifan, penderitaan dan kesengsaraan.

Isu yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya lebih kepada proses penghapusan etnik oleh Rakhine, sama seperti mana di Bosnia dan Chechnya satu ketika dulu.

Dunia Yang Bisu, Tuli Dan Buta

Seperti yang boleh diduga, apabila sesuatu tragedi atau krisis yang melibatkan umat Islam, pastilah reaksi yang diberikan masyarakat antarabangsa lembab dan berkelajuan kura-kura Pulau Galapagos lagaknya. Yang lebih menyedihkan, reaksi dan tindak-balas daripada masyarakat Islam di seluruh dunia juga di tahap itik pulang petang. Lazimnya pemimpin Islam di setiap negara akan mengeluarkan kecaman itu dan ini, amaran itu dan ini. Ada juga beberapa pemimpin Islam yang lantang mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Jeneral Thein Sein yang seakan-akannya redha dengan tindakan ganas etnik Rakhine terhadap umat Islam Rohingya.


Tambah memalukan Bangladesh selaku jiran yang terdekat menolak dengan tegas pelarian Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di negara mereka. Malah, mereka tidak mengaku yang etnik Rohingya ini ada apa-apa pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh Al-Jazeera berkaitan isu pelarian Rohingya ini dengan bersahaja menyatakan bahawa membantu atau menyelesaikan krisis pelarian Rohingya bukan tanggungjawabnya. Sedangkan sehingga kini, Bangladesh sudah pun menampung lebih 300,000 pelarian Rohingya sedia ada.

Sudah, apa alasan yang mahu kita berikan nanti kepada Tuhan ketika menghadap-Nya di mahkamah agung Mahsyar nanti?

Entah mengapa, seolah-olahnya seluruh rakyat Myanmar yang beragama Buddha merestui upacara pembersihan etnik ini. Hal ini adalah antara kesan dendam kesumat puak Rakhine terhadap Rohingya sejak sekian lama, rentetan dasar dan polisi pihak British yang melebihkan kaum pendatang. Juga pendekatan yang diambil oleh pihak junta tentera yang menjadikan Buddha dan perkauman sebagai senjata untuk mereka terus berkuasa.

Kenyataan Jeneral Then Sein dalam menjelaskan pendirian kerajaan Myanmar terhadap isu Rohingya ini sedikit sebanyak merumuskan persepsi masyarakat awam di Myanmar terhadap umat Islam Rohingya. Ujarnya, "Kita mahu menghantar semua orang Rohingya ke mana-mana negara yang sudi mengambil mereka."

Lebih mengejutkan dan menyedihkan adalah bagaimana Aung San Suu Kyii, yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan pencinta keamanan turut diam membisu dalam isu ini. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan, apabila diasak tentang isu Rohingya dan ditanya apakah wajar mereka ini diberi taraf kerakyatan, hanya mampu untuk menyatakan, "Saya tidak bertanggungjawab." 

Pilihanraya tahun 2015 dilihat sebagai punca utama kepada kebisuan, kebutaan dan ketulian ini. Parti yang dianggotai oleh Suu Kyii amat bergantung kepada sokongan orang-orang Buddha untuk memenangi pada pilihanraya kali ini. Kemudian di sebalik kelam-kelibut wilayah Arakan yang sedang bergolak dan reaksi dunia Islam yang amat mengaibkan, tiba-tiba muncul Turki sebagai wira membela umat Islam Rohingya. Turki secara konsisten dan keras sekali mengecam kerajaan Myanmar atas layanan buruk mereka terhadap umat Islam Rohingya.

Terbaru, isteri kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan, Emine Erdoğan, bersama-sama dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoğlu, telah mengadakan lawatan kemanusiaan ke Myanmar, bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk umat Islam Rohingya. Walaupun dari segi geografinya, kedudukan Turki di Eropah seolah-olahnya tiada kena-mengena dengan umat Islam di Myanmar, hal ini jelas telah membuktikan betapa persaudaraan sesama Islam itu merentasi sempadan dan negara.

Tindakan kerajaan Turki ini dilihat amat bijak, signifikan dan menyebelahi kerajaan pimpinan Erdogan, bukan sahaja di mata umat Islam malah di mata dunia. Semenjak misi Flotilla ke Gaza dua tahun lepas, Turki sudah mula menunjukkan taringnya di pentas politik antarabangsa. Turki kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah negara lemah yang terkinja-kinja mahu menjadi ahli Kesatuan Eropah. Tetapi kini ia dilihat sebagai sebuah negara yang berotot tegap dan boleh diharap dalam membela nasib umat Islam. Dunia kini sedang memerhatikan Turki dengan begitu berhati-hati sekali.

Ya, negara-negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia malah Malaysia sendiri telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya ini. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan juga dilancarkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan. Namun tiada satu pon yang dapat menandingi aura dan kesan jangka panjang seperti yang telah dilakukan oleh Turki. Syabas Turki!

Saya kongsikan di sini beberapa tindakan yang boleh kita ambil Insya-Allah. Semuanya saya kira praktikal dan berada di dalam ruang lingkup kemampuan kita.
  • Pastikan anda sentiasa update dengan isu-isu dan perkembangan terkini. Luaskan pembacaan dan sumber rujukan anda, bukan sekadar maklumat yang dapat dibaca dari sumber tempatan. Lakukan sedikit anjakan paradigma. Lakukan carian di internet untuk mengetahui perkembangan yang terkini. Antara laman sesawang yang menyediakan hapdet terkini tentang nasib umat Islam Rohingya adalah www.rohingya.org. Percayalah, masih ramai sahabat-handai, pakcik-makcik kita di luar sana yang tidak tahu-menahu tentang nasib umat Islam Rohingya ini. Tetapi pastikan maklumat yang bakal anda kongsikan dan sebarkan adalah maklumat yang boleh dipercayai dan disokong oleh fakta dan realiti. Jangan semborono tekan butang 'Like' dan 'Share' di laman Facebook anda tanpa mengesahkan dulu fakta dan berita yang dipaparkan. Kerana ada di antara maklumat bersifat prejudis, meruntuhkan bukan membina.
  • Sumbangan ikhlas untuk umat Islam Rohingya. Pasti sudah banyak tabung-tabung khas dilancarkan untuk tujuan ini. Tetapi, di pihak anda, pastikan anda lakukan sedikit kajian tentang badan-badan kebajikan yang ingin anda salurkan sumbangan itu. Pastikan mereka adalah badan yang terpercaya dan berkredibiliti. Anda tidak mahu sumbangan anda itu digunakan untuk tujuan atau kepentingan yang lain.
  • Ramai orang Islam etnik Rohingya yang sudah menetap dan bekerja di Malaysia. Sekiranya anda berpeluang berjumpa dengan mereka, santunilah mereka. Berborak mesra dengan mereka dan tunjukkan kepada mereka, sebagai saudara seaqidah sedarah agama dengan mereka ini, anda sebenarnya cakna dan peduli dengan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang menderita. Mungkin anda boleh juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka dengan cara ini, untuk disampaikan kepada keluarga mereka di Myanmar, itupun sekiranya ada asas untuk anda benar-benar percaya kepada mereka ini.
  • Sertai protes atau demonstrasi aman yang ada bagi membantah polisi kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Then Sein.
  • Berdoa. Jangan sombong dan malas untuk titipkan doa bukan sahaja untuk umat Islam Rohingya, tetapi juga saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Somalia, Sudan, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Libya, Bahrain dan seluruh dunia. Doa adalah senjata orang-orang Mukmin. Yakinlah padaNya, Insya-Allah suatu hari nanti pasti nasib umat Islam seantero dunia akan terbela juga.
  • Dakwah dan tarbiyah. Tiada cara lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam kepada tempatnya yang hak, melainkan dengan kita sendiri bersungguh-sungguh mahu menyebarkan kebenaran dan mahu menegakkan keadilan di muka bumi ini. Hanya dengan tarbiyah sahaja kita dapat menyedarkan dan mendidik masyarakat tentang peri pentingnya pemerintahan Islam yang selayaknya.
  • Jangan sesekali tinggalkan Usrah, kerana di dalam Usrah-lah individu-individu Muslim yang akan mengembalikan semula Ustaziyatul Alam dibentuk. Hanya apabila Islam sudah tertegak di muka bumi ini penderitaan umat Islam akan berakhir!
Saya kira tujuh langkah ini sudah cukup untuk cuba kita praktikkan, bagi menunjukkan solidariti kita terhadap umat Islam Rohingya. Bukan sahaja untuk mereka, tetapi juga untuk kita umat Islam seluruh dunia. Sekurang-kurangnya kita punya hujah dan alasan di Mahsyar nanti, apabila ditanya apa yang telah kita lakukan demi meringankan penderitaan dan kesengsaraan saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik seperti kita ini.

Akademi Tarbiyah DPPM

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates