Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

NEGARA KEBAJIKAN VS NEGARA BERKEBAJIKAN


“PAS menerima hakikat masyarakat majmuk dan menjadikannya peluang keemasan bagi memperkenalkan NEGARA BERKEBAJIKAN yang berkonsepkan ADIL UNTUK SEMUA dengan Kepimpinan Islam yang menekankan perpaduan kaum berasaskan persaudaraan kemanusiaan yang diwajibkan oleh ISLAM”




DEFINISI

           Perkara pertama yang perlu difahami terlebih dahulu adalah definisi tajuk yang akan dibincangkan iaitu ‘negara berkebajikan’ dan satu lagi frasa yang sering dikaitkan dengannya iaitu ‘negara kebajikan’. Menurut Kamus Dewan Bahasa Pustaka ‘kebajikan’ bermaksud perbuatan yang mendatangkan kebaikan manakala negara kebajikan adalah negara yg meng­utamakan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyatnya dengan memberikan berbagai-bagai perlindungan sosial. Bagaimana pula jika ditambah imbuhan ‘ber’, ia membawa kepada maksud ada perbuatan dan memiliki sifat.

               Firman Allah dalam al-Quran juga akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap pengertian kebajikan seterusnya menjadi sumber kepada penubuhan negara berkebajikan. Dalam bahasa arab kebajikan disebut sebagai ‘al birru’ atau ‘al khairat’ yang merupakan takrifan terbaik kepada kebajikan kerana merujuk terus kepada al-Quran.

               “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

NEGARA KEBAJIKAN vs NEGARA BERKEBAJIKAN

          Negara berkebajikan pada hakikatnya nyata berbeza dengan negara kebajikan terutamanya dari aspek rohani yang diterapkan oleh ajaran Islam. Berdasarkan huraian definisi di atas, negara berkebajikan bukan hanya tertumpu kepada perbuatan memberi kebaikan kepada rakyat tetapi ditekankan juga penerapan sifat kebajikan ke atas setiap individu dalam sesebuah negara samada rakyat atau pemimpin.
Konsep negara kebajikan (welfare state) mula diketengahkan oleh barat di negara-negara maju seperti Sweden,Britain dan Amerika Syarikat selepas Perang Dunia ke-2. Pengamalan ini menjurus kepada aspek ekonomi, perlindungan sosial dan kesejahteraan rakyat mengikut fahaman mereka sendiri. Kerajaan hanya terus memberi kepada rakyat tanpa ada konsep kebajikan secara dua hala.

                Berlainan pula dengan konsep Negara berkebajikan bila mana kedua-dua pihak akan saling melengkapi antara satu sama lain. Segala kebajikan yang dilakukan daripada kerajaan adalah mempunyai tujuan berdasarkan apa yang dituntut oleh Islam dalam pembinaan sesebuah negara. Ia bukan hanya memberi dalam bentuk fizikal bahkan membentuk rohani rakyat seterusnya membina peribadi seorang muslim yang taat  dalam perkara yang baik.

IKTIBAR AL QURAN

                  Contoh pelaksanaan negara berkebajikan mengikut acuan Islam yang sebenar dapat kita lihat sendiri daripada kisah-kisah yang difirmankan Allah di dalam al-Quran. Kisah seperti kerajaan Mesir dari sirah Nabi Yusuf a.s yang mempuyai kemahiran mengurus dan mentadbir ekonomi negara di saat berlaku krisis ekonomi terutama makanan. Nabi Sulaiman a.s yang berkata “Allah beri kepada aku lebih baik dari hadiah kamu” selepas menerima hadiah dari Ratu Balqis menunjukkan seorang pemimpin yang langsung tidak terpedaya dengan harta dunia. Kerajaan berkebajikan Zulqarnain  yang membina tembok untuk mengawal rakyatnya dari musuh. Kisah-kisah yang diceritakan di dalam al Quran ini semestinya bertujuan memberi pengajaran dan patut dijadikan panduan untuk kita pada masa sekarang bermula daripada pemerintahan Rasulullah saw sehingga pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.



PENUTUP

                     Sesebuah negara harus mempunyai wawasan menuju ke dunia dan akhirat serta diperintah untuk  mendapat keredaan Allah Taala. Pemimpinnya mestilah mempunyai ciri-ciri seperti mempunyai keimanan yang sebenar, beramal soleh, berakhlak mulia dan berkemahiran. Tidak lupa juga kepada rakyatnya wajib menyahut seruan pemimpin untuk menjaga solat, menunaikan zakat dan mangamalkan amar makruf nahi mungkar. Penubuhan negara berkebajikan ini mestilah difahami dengan jelas akan konsepnya kerana ia melibatkan hubungan manusia sesama manusia yang adil dan manusia dengan tuhannya mengikut pegangan agama kita, Islam.

Apa yang penting adalah pelaksanaan Negara Berkebajikan oleh PAS. Jika letak jenama saja tanpa pelaksanaan, maka tiada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan berdasarkan apa termaktub di dalam Al-Quran yang tidak menyebut negara Islam, tetapi disebut Negara Berkebajikan yang menunjukkan ianya diiktiraf dalam Islam,”

Malaysia dan Christchurch


Assalamualaikum…
Hai bro..
Kau sihat..?

Aku kat tempat baru ni, Alhamdulillah..
So far, so good.

By the way,
Sorry la bro…
Hampir sebulan dah aku kat Christchurch, baru sekarang aku roger-roger kau..

Christchurch


Kau tahu bro..?
Aku sebenarnya syok sangat kat sini. Rasa macam tak nak balik Malaysia pun ada. Huhu..
Selama aku hidup kat tanah air tercinta kita tu, tak terbayang kat aku, yang kat luar Malaysia,  ada satu negara macam bumi Maorinie..

Haha..
Mesti kau bengang dengan aku kan…?
Daripada tadi mamat ni nak bercerita, tapi point ceritanya tak kunjung tiba.

Sabar bro..Sabar.. =)

Well,
Masa aku kat sini, bumi Lord of The Ring ni tengah musim luruh. Jadi, cuaca tak adalah begitu sejuk lagi.

Tapi kau tahu tak?
Kerajaan New Zealand ni hantar agensi kebajikannya menemui aku di masjid untuk hulurkan bantuan persiapan musim sejuk.

Aku, apalagi bro.
Alang-alang ada yang nak menolong kitakan.
Aku beritahu la yang aku ni baru sahaja sampai dan rumah aku ni kosong lagi.

Selang tiga hari kemudian,
Cuba kau teka apa jadi?

Satu set sofa ruang tamu, dua unit TV 24’, tiga unit pemanas rumah, empat katil dan tilam lengkap dengan cadar, bantal dan selimut, peti ais, micro-wave oven, pinggan, mangkuk, sudu, pisau dan macam macam lagi dihantarkan ke rumah aku. Percuma, bro percuma. Mereka membantu manusia tanpa mengira bangsa atau  agama.

Huuuh,
Lumayankan..?

Berlainan terus dengan sistem negara kita.
Kerajaan New Zealand berkebajikan dengan rakyat.
Tapi, kita di Malaysia, kerajaan berniaga dengan rakyat.

Contoh senangnya,
Isu‘parking’kereta.
Hatta dekat kawasan perumahan pun ada yang kena bayar ‘parking’.
Kerajaan keluarkan kontrak ‘parking’ kepada kontraktor untuk pungut bayaran dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) keluarkan saman untuk mereka yang tidak membayar ‘parking’.
Kerajaan semakin kaya dengan sewaan kawasan ‘parking’ dan pendapatan kompaun yang dibayar rakyat.

Kelakar,
Kerajaan semakin kaya.Negara semakin kaya.Tapi, rakyat lagu tu jugak. Malah lagi miskin dengan pelbagai bayaran (cukai, tol, parking) yang nak kena bayar. Tambah pula dengan harga minyak dan barang yang makin naik.

Yang kelakarnya lagi,
Nak berurusan dengan kerajaan sendiri pun kena bayar. Parking kereta dekat Putrajaya, tinggi kot. Hish..hish…cekik darah namanya..=)

Tapi, berlainan di sini, bro.
Polisi ‘parking’ kereta di Christchurch adalah percuma. Semua pusat membeli-belah menyediakan tempat parking percuma untuk tempoh tertentu. Begitu juga dengan tempat ‘parking’ di semua pejabat kerajaan dan PBT.

Barulah menampakkan kasih sayang pimpinan kepada rakyat mereka, ye tak?
Seboleh-bolehnya, pemimpin memudahkan dan meringankan urusan rakyatnya, bukan mengambil kesempatan dan menyulitkan keadaan.

Bro,
Hampir sebulan aku menetap di Christchurch, terbit rasa kagum aku pada pimpinannya. Bagaimana mungkin mereka yang bukan muslim, mampu merealisasikan konsep negara berkebajikan yang digarap dalam Islam. Ya, walau bukan sepenuhnya, tapi usaha dan natijah itu ada dan boleh dibanggakan.

Hmmmmm,
Mengapa tidak Malaysia..?  Mengapa tidak ‘negara Islam contoh’ Malaysia yang disebut-sebut tu..?

By the way,
You know, there was one time that even fox can be friend with 'kharouf'..?

Yup..
Itulah dia zaman kekhalifahan Saidina Umar Abdul Aziz..
Zaman yang mana tidak ada satu pun daripada rakyatnya yang menerima zakat. Dan keadilannya menyebabkan hatta haiwan pun patuh padanya. Yang mana serigala boleh menjadi sahabat sang kambing.

Berkata  Malik bin Dinar,
Ketika Umar bin Abdul Aziz diangkat menjadi khalifah, para penggembala kambing di puncak gunung berkata: 'Siapakah khalifah yang soleh yang sedang memerintah manusia sekarang ini ?'
Lalu orang-orang yang berasal dari kota bertanya kepada mereka: 'Mengapa kalian mengetahui semua itu?'
Para penggembala menjawab: 'Sesungguhnya pemerintahan apabila dipegang oleh seorang khalifah yang soleh, serigala dan singa tidak akan mengganggu kambing-kambing kami !'

Yahya ibn Sa’id pula pernah meriwayatkan,
‘Umar ibn `Abdil Aziz telah mengutusku ke Afrika Utara untuk membahagi-bahagikan zakat penduduk di sana. Aku pun melaksanakan perintah tersebut. Aku mencari golongan fakir miskin untuk kuberikan zakat itu kepada mereka. Akan tetapi ,kami tidak menemui seorang pun dan tiada pula orang yang mahu menerimanya. ‘Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya. Akhirnya, kubeli beberapa orang hamba dengan harta zakat itu lalu kumerdekakan.”

Well said,
Itulah dia keadilan seorang pimpinan.
Seorang pemimpin  yang adil, yang soleh, bisa menjaga kebajikan dan keluhuran rakyatnya.

Dan sekarang,
Alhamdulillah,
Aku nampak usaha murni itu di Malaysia.
Semestinya agenda negara Islam, negara berkebajikan yang dibawakan PAS.

Menjelang PRU 13 ini,
PAS bersama agenda negara berkebajikannya menawarkan:
  1. Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi (penghapusan semua yuran  pengajian)
  2. Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional bagi setiap rakyat yang tidak mempunyai perlindungan kesihatan majikan
  3. Mengembalikan semula pemberian biasiswa seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan
  4. Menurunkan harga petrol dan gas.
  5. Merapatkan jurang agihan kekayaan antara golongan kaya-miskin
  6. Melaksanakan akta gaji minima


Tidak salah andai kukatakan,
Inilah hak rakyat yang sejak dahulu dinafikan,
Dan sekarang,
PAS berusaha untuk menyerahkannya kepada rakyat.

Namun Bro,
Terkadang, aku pun hairan dan mengundang ketawaku akan sikap segolongan rakyat kita.
Segolongan mereka yang menolak mentah-mentah tawaran negara berkebajikan PAS.

Apakah mereka merasa lumayan dengan keadaan mereka yang sedia ada sekarang?
Entah, Wallahu’alam.

Setakat dapat wang ehsan, duit hari raya, bonus dan sagu hati persekolahan anak-anak,
yang mana imbuhan lumayannya hanya di musim pilihanraya.
Apalah sangat, berbanding pendidikan percuma, skim pembiayaan kesihatan dan lain-lain tawaran yang dijanjikan PAS.

=)
Paling aku nak gelak,
Ada rakyat yang undinya boleh dibeli hanya dengan sehelai kain pelikat.

Lawak.Lawak.

By the way, bro.
Aku harap tahun baru 2013 ni memberi harapan baru kepada negara kita, Malaysia.
Besar harapanku untuk agenda negara berkebajikan PAS ini berjaya dilaksanakan.

Dan untuk itu,
Haruslah untuk kau mengundi. =)
Pangkah PAS tau.

Aku?
Jangan risau.
Aku dekat sini pun, akan tetap tunaikan tanggunjawab aku untuk mengundi.
Undi PAS..!!
Undi untuk negara berkebajikan..!!

Hahaha..
Sorry la bro, panjang la pulak aku berleter kat kau ni.
Daripada cerita Christchurch hingga bab mengundi segala.
Orang mesti hairan, bagaimana aku boleh menulis sepanjang ini untuk 'buddy' aku..
Kalau untuk makwe, lain la kan. =)

'Ala kulli hal,
Moga kau tetap intim dengan ilmu dan tetap rancak dengan amal.
Kirim salam aku kat mama papa kau, dah lama tak jumpa diorang. Dan doakan aku. Selalu.
Wallahua'lam. 
Assalamualaikum..



SUMBER

Amanat TG Haji Hadi : iLMU kenapa baru sekarang?


Isu kafir mengkafir menerusi ”Amanat Haji Hadi” dihangatkan lagi diambang PRU ke 13. Isu yang berlegar pada tahun 1981 cuba dihangatkan kembali oleh media dan akhbar tertentu. Bayangkan, sudah 31 tahun, ia kembali dihebohkan seolah-olah berlaku baru setahun dua. Memang ia merupakan isu yang menjadi petanda kepada paluan kompang pilihanraya.

Antara yang terlibat menimbulkannya adalah seorang ustaz muda, Fathul Bari, yang ketika isu ini bermula, baru berusia setahun dua.Dalam tulisannya dalam akhbar Sinar, beliau menekankan soal tabayyun (memastikan kedudukan sebenar) dalam menangani isu ini. Dengan membawakan contoh kisah Ammar dan keluarganya, soal takfir perlu disiasat sebelum hukuman dijatuhkan.
Kita bersetuju bahawa soal takfir bukan soal yang boleh dipermudah-mudahkan lantaran ia melibatkan soal batas iman dan kufur. Oleh sebab itulah, umat Islam perlu sentiasa diingatkan tentang batas-batas akidah. Pada masa yg sama, hukum kafir juga tidak boleh dijatuhkan sewenang-wenangnya. Justeru, para ulama hanya menekankan soal kaedah dalam batas iman tanpa menentukan secara khusus kepada siapa individu yang telah melanggar batas itu. Bahkan menjadi kewajipan ulama untuk sentiasa memperingatkan umat supaya batas iman itu sentiasa dipelihara. Adapun yg berhak menjatuhkan hukum kafir atau murtad adalah bidang kuasa qadhi atau hakim di mahkamah.
Ketika sahabat Nabi, Ammar Bin Yasir melafazkan kata kufur, kita tidak ada di sana dan tidak ada pada waktu itu. Sama seperti isu takfir ini bermula 31 tahun dulu, penulis ruang Nasihah pun belum dapat mengikutinya. Kalau Rasulullah Saw pun bertanya kepada Ammar tentang keadaan dirinya ketika melafazkan kata kufur itu, mengapa kita tidak bertanya kepada ulamak yang didakwa mengeluarkan fatwa takfir tentang keadaan masyarakat ketika itu agar kita memahami situasinya?
Penulis Nasihah boleh bertanya kepada ulama itu kalau dia mahu, atau merujuk kepada beberapa kitab seperta Mustika Hadith terbitan Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan sekitar tahun-tahun isu itu bermula. Kalau Ammar mengucapkan lafaz kufur kerana terpaksa dan diancam bunuh, ketahuilah bahawa ketika fatwa takfir itu dikeluarkan pelbagai tuduhan terhadap Islam dilemparkan oleh tokoh tertentu. Ada yang mengatakan Islam sudah ketinggalan. Ada pula yg mengatakan Al Quran sudah lapuk, hukum potong tangan zalim & sebagainya. Justeru menjadi tanggungjawab seorang ulama, teguran disampaikan melalui ceramah dgn memberikan kaedah tanpa menentukan siapakah orangnya.
Mengapakah masih ada orang yang mahu mempertahankan konsep politik suku, agama suku? Mengapa pula perlu disediakan dalih politik fitnah dan tuduh menuduh? Sedangkan nasihat yg diberi adalah bersifat umum, tanpa menyebut sebarang nama individu. Mengapa selepas 31 tahun nasihat itu diberi, baru pihak tertentu meminta penjelasan? Jemputannya terbuka, tetapi sesinya tertutup? Berikanlah ruang terbuka kepada ulama tersebut untuk memberi penjelasan setelah isunya dihangatkan secara terbuka juga. Ketahuilah bahawa Rasulullah Saw telah mendengar & menerima penjelasan Ammar terlebih dahulu, tanpa menghangatkan ucapannya secara terbuka. Bukan seperti dilakukan oleh rakan-rakan Penulis An Nasihah Sinar, sejak 31 tahun dahulu. Hari ini baru meminta penjelasannya.

Sumber : Dewan Ulama PAS Pusat

Part 2 : Oley 2


Sebuah filem terbitan DPPM arahan Adam Hamid yang menerangkan tentang hudud dan mengambarkan keadaan seperti selepas Pakatan Rakyat memerintah negara.

Amanat Tuan Guru Haji Hadi : Penjelasan


Tiba-tiba sahaja isu PAS kafirkan UMNO melalui 'Amanat Haji Hadi' timbul. Sekian lama ia tidak pernah dibicarakan, tiba-tiba menjadi perbualan hangat di media seolah-olah ada perancangan rapi dan tujuan tertentu ia dibangkitkan.
Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sedang mencari isu untuk menyediakan suasana kondusif untuk mengadakan pilihanraya. Untuk menang, UMNO perlu mencari isu-isu yang menyerang PAS dan Pakatan Rakyat iaitu isu-isu yang boleh menjadi 'kambing hitam' untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan UMNO dan Barisan Nasional.
Pengakuan Deepak melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pembunuhan Altantuya dan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap campurtangan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam urusan polis sangat merimaskan UMNO untuk menghadapi pilihanraya. Amat sukar untuk UMNO dan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya jika mereka dalam keadaan bertahan, tidak menyerang.
Justeru, peluru 'zaman Jepun' perlu digunakan untuk menyerang balas Pakatan Rakyat. 'Amanat Haji Hadi' dilihat isu yang terbaik untuk menyerang walaupun ia adalah isu lapuk. UMNO silap jika menyangka bahawa peluru tersebut boleh mematikan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat telah pun memahami bahawa isu ini ditimbulkan hanyalah kerana pilihanraya makin hampir.
 
'Amanat Haji Hadi' bukan ucapan menghukum orang UMNO sebagai kafir. Ia adalah ucapan untuk menerangkan kepada seluruh umat Islam tentang batas iman dan kufur. Tugas menerang adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua para pendakwah agar umat Islam tidak tergelincir daripada aqidah yang sebenar.
Perhatikan kata-kata 'amanat' tersebut: "Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku." Jelas, ia adalah amaran agar umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mengamalkan politik suku, agama suku kerana ia boleh merosakkan aqidah.
Begitu juga perkataan: "Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam." Perkataan ini bukan bermaksud orang UMNO itu kafir, jika mati berlawan dengan mereka maka ia mati syahid. Tetapi maksud mati syahid di sini ialah mati dalam keadaan memperjuangkan Islam dan menegakkannya. Perjuangan PAS adalah jihad yang mendapat balasan pahala daripada Allah s.w.t. Jihad itu sendiri mempunyai makna yang luas yang tidak terhad pada peperangan dan pembunuhan. Ia melingkupi semua usaha dan pengorbanan sama ada masa dan harta untuk menegakkan agama Allah.
Kenyataan bahawa "Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah" menguatkan lagi bahawa 'amanat' tersebut ditujukan kepada semua orang Islam. Ia bermaksud sesiapa sahaja sama ada UMNO atau pun tidak yang mengekalkan perlembagaan sekular penjajah akan ditentang.
UMNO perlu membezakan di antara 'menerang' dan 'menghukum'. 'Menerang' adalah menyebut secara umum tanpa disebut nama individu yang terlibat sebagaimana yang terdapat dalam 'amanat' tersebut. Ada pun menghukum, ia adalah dakwaan terhadap individu tertentu. Ia bukan kerja para pendakwah tetapi ialah adalah tugas para hakim. Hakim perlu mendapatkan bukti bahawa fulan bin fulan telah mengatakan sesuatu yang menjejaskan aqidah tanpa dipaksa dan dalam keadaan jahil. Jika cukup keterangan maka hakim boleh menjatuhkan hukuman kafir terhadap individu tersebut.
UMNO umpama orang yang memakan cili dan merasai pedasnya. Adakah orang UMNO merasai bahawa mereka telah memisahkan antara politik dengan agama? Oleh kerana itu mereka merasakan bahawa 'amanat' tersebut hanya ditujukan kepada mereka sedangkan ia ditujukan kepada semua orang Islam hatta kepada orang PAS sendiri. Hakikatnya, UMNO tidak dapat membezakan di antara 'menerang' dan menghukum'. Mereka tidak perlu terasa jika mereka tidak pernah menganggap politik tiada kena mengena dengan agama. Mereka sepatutnya menyedari pentingnya agama dalam memandu politik.

A Must Watch : oley 2 ~ episod 1


Sebuah filem terbitan DPPM arahan Adam Hamid yang menerangkan tentang hudud dan mengambarkan keadaan seperti selepas Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bingkisan buat Sang Daie


Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.
Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.
Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie.
Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah Baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya
Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan dirii. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” – Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim

Sumber : Laman Tarbawi

Ucapan Dasar Presiden - Muktamar PAS ke-58


NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN

الحمد لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين ,وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي
لجلال وجهك وعظيم سلطانك . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شيء
قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير . اللهم وصل وسلم وبارك على محمد
أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه إلى يوم الدين

1. Yang Dihormati Pengerusi Tetap, YAB Tuan Guru Dato‟ Mursyidul „Am, Sohibul Fadhilah Dato‟ Timbalan Mursyidul „Am, Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Dato‟ Setiausaha Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan-Dewan, Ketua dan Ahli Jawatakuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, pengamal media cetak dan elektronik, seluruh para perwakilan dan pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

2. Saya ucapkan selamat datang ( )أهلا وسهلا ومرحبا بكم kepada semua para perwakilan dan tetamu yang datang dari seluruh pelusuk tanahair tercinta dan luar negeri. Saya juga mengalu-alukan kehadiran kali pertama ahli-ahli baru PAS ke muktamar ini, dari kalangan rakyat, artis dan karyawan, ahli sukan, tokoh akademik, mantan pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat dan masyarakat, dan semua kalangan yang ingin bersama PAS membawa mesej Islam ke dalam negara kita ini. Sesungguhnya kehadiran tuan-puan sekelian, akan memeriahkan muktamar kita, menyuntik semangat dan merapatkan saf angkatan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam, ketika seluruh dunia merayu kepada penyelamat, kerana dilambung gelombang krisis kemanusiaan dalam segala lapangan.



3. Negara kita juga tidak terkecuali dalam keadaan yang sama. Cukuplah rakyat menjadi saksinya, apabila UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional, culas dalam melaksanakan amanah, tidak menepati janji – dengan jelasnya tidak menghormati perjanjian hasil petroleum di negeri-negeri sehingga tergamak menindas majoriti rakyat beragama Islam di negeri Kelantan dan Terengganu khususnya, dengan menafikan hasil minyak yang dikurniakan oleh Allah SWT.

4. Pertumbuhan ekonomi negara pula dijana dengan bebanan hutang RM502 billion, iaitu menghampiri siling 55 peratus nisbahnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara manakala defisit fiskal telah melepasi 15 tahun berturut-turut. Ini memberi makna, bahawa kerajaan UMNO-BN telah berbelanja besar dari pendapatan sejak sekian lama. Sedangkan, Bank Dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara antara yang paling kaya dari segi jumlah sumber per kapitanya. Inikah contoh perbelanjaan cemerlang kerajaan Barisan Nasional ? Inilah hakikat yang kita saksikan di depan mata kita sendiri pada hari ini. Semuanya ini dilakukan tanpa memikirkan kesannya kepada kesejahteraan hidup generasi yang akan datang.
sambungan di sini

PAS Dulu, Kini dan Selamanya




Sejarah Parti Islam Semalaysia (PAS)

Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.
Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.
Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.
Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
------------------------------------
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.

 sumber hak cipta terpelihara : www.pas.org.my

Salah Faham Terhadap PAS


Pas hanya Parti Politik

        PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak - tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperolehi sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.


       Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biy) secara berkumpulan (jamaie) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.
       Maksud firman Allah; “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang – orang beriman akan melihat amalan kamu.” – al Taubah:105

       Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya. Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.

      Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya. Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan (ulama’ al sulthah). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.

         Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.

        Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti. Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.


        Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;

1-PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.

2-PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.
3-,Dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.

4-, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.

5-, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.

6-Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.



         Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.


Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah


         Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan  tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.

          Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.

          Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.

          Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan. Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.


          Akhir kata,PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.


Dewan Pemuda Pas Malaysia

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates