“PAS menerima hakikat
masyarakat majmuk dan menjadikannya peluang keemasan bagi memperkenalkan NEGARA
BERKEBAJIKAN yang berkonsepkan ADIL UNTUK SEMUA dengan Kepimpinan Islam yang
menekankan perpaduan kaum berasaskan persaudaraan kemanusiaan yang diwajibkan
oleh ISLAM”
DEFINISI
Perkara pertama yang perlu
difahami terlebih dahulu adalah definisi tajuk yang akan dibincangkan iaitu
‘negara berkebajikan’ dan satu lagi frasa yang sering dikaitkan dengannya iaitu
‘negara kebajikan’. Menurut Kamus Dewan Bahasa Pustaka ‘kebajikan’ bermaksud
perbuatan yang mendatangkan kebaikan manakala negara kebajikan adalah negara yg mengutamakan
kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyatnya dengan memberikan berbagai-bagai
perlindungan sosial. Bagaimana pula jika ditambah imbuhan ‘ber’, ia membawa
kepada maksud ada perbuatan dan memiliki sifat.
Firman Allah dalam al-Quran juga akan memberi gambaran yang lebih jelas
terhadap pengertian kebajikan seterusnya menjadi sumber kepada penubuhan negara
berkebajikan. Dalam bahasa arab kebajikan disebut sebagai ‘al birru’ atau ‘al
khairat’ yang merupakan takrifan terbaik kepada kebajikan kerana merujuk terus
kepada al-Quran.
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur
dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan
hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan
mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum
kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar
dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan
hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan
zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka
membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan,
dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang
Sabil. Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang
yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga
orang-orang yang bertaqwa.
NEGARA KEBAJIKAN vs NEGARA
BERKEBAJIKAN
Negara berkebajikan pada
hakikatnya nyata berbeza dengan negara kebajikan terutamanya dari aspek rohani
yang diterapkan oleh ajaran Islam. Berdasarkan huraian definisi di atas, negara
berkebajikan bukan hanya tertumpu kepada perbuatan memberi kebaikan kepada
rakyat tetapi ditekankan juga penerapan sifat kebajikan ke atas setiap individu
dalam sesebuah negara samada rakyat atau pemimpin.
Konsep negara kebajikan (welfare
state) mula diketengahkan oleh barat di negara-negara maju seperti
Sweden,Britain dan Amerika Syarikat selepas Perang Dunia ke-2. Pengamalan ini
menjurus kepada aspek ekonomi, perlindungan sosial dan kesejahteraan rakyat
mengikut fahaman mereka sendiri. Kerajaan hanya terus memberi kepada rakyat
tanpa ada konsep kebajikan secara dua hala.
Berlainan pula dengan konsep
Negara berkebajikan bila mana kedua-dua pihak akan saling melengkapi antara
satu sama lain. Segala kebajikan yang dilakukan daripada kerajaan adalah
mempunyai tujuan berdasarkan apa yang dituntut oleh Islam dalam pembinaan
sesebuah negara. Ia bukan hanya memberi dalam bentuk fizikal bahkan membentuk
rohani rakyat seterusnya membina peribadi seorang muslim yang taat dalam perkara yang baik.
IKTIBAR AL QURAN
Contoh pelaksanaan negara berkebajikan mengikut acuan Islam yang
sebenar dapat kita lihat sendiri daripada kisah-kisah yang difirmankan Allah di
dalam al-Quran. Kisah seperti kerajaan Mesir dari sirah Nabi Yusuf
a.s yang mempuyai kemahiran mengurus dan mentadbir ekonomi negara di saat
berlaku krisis ekonomi terutama makanan. Nabi Sulaiman a.s yang berkata “Allah
beri kepada aku lebih baik dari hadiah kamu” selepas menerima hadiah dari Ratu
Balqis menunjukkan seorang pemimpin yang langsung tidak terpedaya dengan harta
dunia. Kerajaan berkebajikan Zulqarnain yang membina tembok untuk mengawal rakyatnya
dari musuh. Kisah-kisah yang diceritakan di dalam al Quran ini semestinya bertujuan memberi pengajaran dan
patut dijadikan panduan untuk kita pada masa sekarang bermula daripada
pemerintahan Rasulullah saw sehingga pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.
PENUTUP
Sesebuah negara harus mempunyai
wawasan menuju ke dunia dan akhirat serta diperintah untuk mendapat keredaan Allah Taala. Pemimpinnya
mestilah mempunyai ciri-ciri seperti mempunyai keimanan yang sebenar, beramal
soleh, berakhlak mulia dan berkemahiran. Tidak lupa juga kepada rakyatnya wajib
menyahut seruan pemimpin untuk menjaga solat, menunaikan zakat dan mangamalkan
amar makruf nahi mungkar. Penubuhan negara berkebajikan ini mestilah difahami
dengan jelas akan konsepnya kerana ia melibatkan hubungan manusia sesama
manusia yang adil dan manusia dengan tuhannya mengikut pegangan agama kita,
Islam.
Apa yang penting adalah pelaksanaan Negara Berkebajikan oleh PAS.
Jika letak jenama saja tanpa pelaksanaan, maka tiada faedah. Kita mulakan
dengan pelaksanaan negara berkebajikan berdasarkan apa termaktub di dalam
Al-Quran yang tidak menyebut negara Islam, tetapi disebut Negara Berkebajikan
yang menunjukkan ianya diiktiraf dalam Islam,”
0 comments:
Post a Comment