Tiba-tiba sahaja isu PAS kafirkan UMNO melalui 'Amanat Haji Hadi' timbul. Sekian lama ia tidak pernah dibicarakan, tiba-tiba menjadi perbualan hangat di media seolah-olah ada perancangan rapi dan tujuan tertentu ia dibangkitkan.
Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sedang mencari isu untuk menyediakan suasana kondusif untuk mengadakan pilihanraya. Untuk menang, UMNO perlu mencari isu-isu yang menyerang PAS dan Pakatan Rakyat iaitu isu-isu yang boleh menjadi 'kambing hitam' untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan UMNO dan Barisan Nasional.
Pengakuan Deepak melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pembunuhan Altantuya dan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap campurtangan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam urusan polis sangat merimaskan UMNO untuk menghadapi pilihanraya. Amat sukar untuk UMNO dan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya jika mereka dalam keadaan bertahan, tidak menyerang.
Justeru, peluru 'zaman Jepun' perlu digunakan untuk menyerang balas Pakatan Rakyat. 'Amanat Haji Hadi' dilihat isu yang terbaik untuk menyerang walaupun ia adalah isu lapuk. UMNO silap jika menyangka bahawa peluru tersebut boleh mematikan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat telah pun memahami bahawa isu ini ditimbulkan hanyalah kerana pilihanraya makin hampir.
'Amanat Haji Hadi' bukan ucapan menghukum orang UMNO sebagai kafir. Ia adalah ucapan untuk menerangkan kepada seluruh umat Islam tentang batas iman dan kufur. Tugas menerang adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua para pendakwah agar umat Islam tidak tergelincir daripada aqidah yang sebenar.
Perhatikan kata-kata 'amanat' tersebut: "Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku." Jelas, ia adalah amaran agar umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mengamalkan politik suku, agama suku kerana ia boleh merosakkan aqidah.
Begitu juga perkataan: "Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam." Perkataan ini bukan bermaksud orang UMNO itu kafir, jika mati berlawan dengan mereka maka ia mati syahid. Tetapi maksud mati syahid di sini ialah mati dalam keadaan memperjuangkan Islam dan menegakkannya. Perjuangan PAS adalah jihad yang mendapat balasan pahala daripada Allah s.w.t. Jihad itu sendiri mempunyai makna yang luas yang tidak terhad pada peperangan dan pembunuhan. Ia melingkupi semua usaha dan pengorbanan sama ada masa dan harta untuk menegakkan agama Allah.
Kenyataan bahawa "Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah" menguatkan lagi bahawa 'amanat' tersebut ditujukan kepada semua orang Islam. Ia bermaksud sesiapa sahaja sama ada UMNO atau pun tidak yang mengekalkan perlembagaan sekular penjajah akan ditentang.
UMNO perlu membezakan di antara 'menerang' dan 'menghukum'. 'Menerang' adalah menyebut secara umum tanpa disebut nama individu yang terlibat sebagaimana yang terdapat dalam 'amanat' tersebut. Ada pun menghukum, ia adalah dakwaan terhadap individu tertentu. Ia bukan kerja para pendakwah tetapi ialah adalah tugas para hakim. Hakim perlu mendapatkan bukti bahawa fulan bin fulan telah mengatakan sesuatu yang menjejaskan aqidah tanpa dipaksa dan dalam keadaan jahil. Jika cukup keterangan maka hakim boleh menjatuhkan hukuman kafir terhadap individu tersebut.
UMNO umpama orang yang memakan cili dan merasai pedasnya. Adakah orang UMNO merasai bahawa mereka telah memisahkan antara politik dengan agama? Oleh kerana itu mereka merasakan bahawa 'amanat' tersebut hanya ditujukan kepada mereka sedangkan ia ditujukan kepada semua orang Islam hatta kepada orang PAS sendiri. Hakikatnya, UMNO tidak dapat membezakan di antara 'menerang' dan menghukum'. Mereka tidak perlu terasa jika mereka tidak pernah menganggap politik tiada kena mengena dengan agama. Mereka sepatutnya menyedari pentingnya agama dalam memandu politik.
Sumber : Dewan Ulama PAS Pusat
0 comments:
Post a Comment