Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

UKHUWAH KITA SAMPAI KE SYURGA



“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfaal, ayat 63)

Ukhuwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan satu ikatan atau jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani di mana ikatan ini adalah  ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah. Dan di antara ikatan yang paling kukuh adalah ikatan ukhuwah bertunjangkan keimanan.


Ukhuwah dalam Jemaah - Keimanan dan Ukhuwah

Ukhuwah merupakan rukun ke-9 dalam  Rukun Baiah. Imam Hassan al-Banna menegaskan bahawa prinsip ukhuwah merupakan salah satu bentuk realisasi dari keimanan. Iman dan ukhuwah ibarat sekeping mata wang syiling. Di mana ada keimanan, maka di sebaliknya ada ukhuwah.

Ikatan inilah  yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah SWT.

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Unsur dalam Ukhuwah

Di antara unsur-unsur yang penting dalam ukhuwah di antaranya:

1. Saling mengingatkan dalam kebenaran dan kesabaran.
2. Saling tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan.
3. Saling berkasih sayang dan merendah diri sesama mereka.
4. Saling mengutamakan saudaranya.

Dan sesungguhnya hanya Allah yang mampu mengikat dan menyatukan hati-hati yang dikehendakiNya.

Gerakan Islam sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, di mana satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Buat Anak-Anak Gerakan

Ukhuwah dalam jemaah ini akan lahir bila mana setiap dari kita saling menghormati kepada pimpinan mahupun kepada sesama sahabat seperjuangan. Tiada rasa iri hati, tiada rasa prasangka bahkan sentiasa berlapang dada dan saling berakhlak mulia sesama kita. Bahkan ukhuwah ini bebas dari sebarang elemen kepentingan dan kepuasan diri semata-mata.


Alangkah Indahnya ukhuwah bilamana ia dibina berlandaskan keihklasan kerana Allah SWT dan disertai dasar keimanan dan ketaqwaan. Tetap utuh walau badai melanda. Bahkan semakin kuat kerana kita saling berpaut dan memberi kekuatan sesama kita. Jauh perasaan ingin berjauhan dan tidak sesekali terlintas perasaan untuk menjatuhkan dan melemahkan sesama kita.


Alangkah indahnya andai semua mampu memberi kepercayaan dan saling berakhlak mulia. Andai bertemu, terasa gembira dan andai berpisah terasa rindu yang amat kerana ukhuwah itu terasa dan terkesan di dalam hati.


Tiada yang indah melainkan yang datang dari hati-hati yang suci berkumpul dan saling mengingati Allah SWT. 
Tidak mungkin perjuangan ini indah andai ia dicemari dengan dosa dan nista. Perjuangan ini menjadi kotor hina dan punah andai dicalit dengan kata fitnah dan cemuhan sesama jemaah.


Wahai Sahabat

Sayangilah sahabat - sahabat ini, sesungguhnya kita telah lama bersama dan berjanji setia untuk menegakkan syiar Islam dengan segala keringat dan penat lelah serta air mata. Andai bukan kemenangan bukan pada masa kita, akan tiba kemenangan itu dengan izin Allah SWT pada masa yang telah dijanjikan.


Sesungguhnya yang DIBIMBANGI KEMENANGAN itu belum tiba kerana hati-hati kita masih belum bersatu. Berusahalah menjaga perjuangan ini dengan dibajai kemanisan ukhuwah dan dijauhkan segala anasir perpecahan.

Kuatkan hati, teguhkan jiwa, lapangkan dada, rapatkan saf, jauhi segala perpecahan, kuatkan segala ikatan, hanya kerana Allah SWT.

Bersamalah kita melangkah ke syurga dengan ikatan ukhuwah ini. Biiznillah.


“Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa.” (Surah ad-Zukhruf: 67)


Ya Allah,
sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa sesungguhnya hati-hati kami ini,
telah berkumpul kerana cinta-Mu, dan berjumpa dalam ketaatan pada-Mu,

dan bersatu dalam dakwah-Mu,
dan berpadu dalam membela syariat-Mu.
Maka ya Allah, kuatkanlah ikatannya,
dan kekalkanlah cintanya,
dan tunjukkanlah jalannya,
dan penuhilah ia dengan cahaya yang tiada redup,
dan lapangkanlah dada-dada dengan iman yang berlimpah kepada-Mu,
dan indahnya takwa kepada-Mu,
dan hidupkan ia dengan ma'rifat-Mu,
dan matikan ia dalam syahid di jalan-Mu.
Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates