“Dan Dialah yang
menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan
segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan
di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara
(hati) mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfaal,
ayat 63)
Ukhuwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan satu
ikatan atau jalinan yang menghubungkan
sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani di mana ikatan ini adalah ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan
kepada Allah. Dan di antara ikatan yang paling kukuh adalah ikatan ukhuwah bertunjangkan
keimanan.
Ukhuwah dalam Jemaah - Keimanan dan Ukhuwah
Ukhuwah merupakan rukun ke-9 dalam Rukun
Baiah. Imam Hassan al-Banna menegaskan bahawa prinsip ukhuwah merupakan salah satu bentuk realisasi dari
keimanan. Iman dan ukhuwah ibarat sekeping mata wang syiling. Di mana ada
keimanan, maka di sebaliknya ada ukhuwah.
Ikatan inilah yang mengikat hati-hati mereka dan ia
merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah SWT.
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan
berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah.” (Hadis riwayat Imam
Ahmad).
Unsur dalam Ukhuwah
Di antara unsur-unsur yang penting dalam ukhuwah di
antaranya:
1. Saling mengingatkan dalam kebenaran dan
kesabaran.
2. Saling tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan.
3. Saling berkasih sayang dan merendah diri sesama
mereka.
4. Saling mengutamakan saudaranya.
Dan sesungguhnya hanya Allah yang mampu mengikat dan
menyatukan hati-hati yang dikehendakiNya.
Gerakan
Islam sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam
ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun
rapi, di mana satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama
satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka
seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.
Buat Anak-Anak
Gerakan
Ukhuwah dalam jemaah
ini akan lahir bila mana setiap dari kita saling menghormati kepada pimpinan mahupun kepada sesama sahabat
seperjuangan. Tiada rasa iri hati, tiada rasa prasangka bahkan sentiasa berlapang dada dan saling
berakhlak mulia sesama kita. Bahkan ukhuwah ini bebas dari sebarang
elemen kepentingan dan kepuasan diri semata-mata.
Alangkah Indahnya ukhuwah bilamana ia dibina berlandaskan keihklasan kerana Allah SWT dan disertai dasar keimanan dan ketaqwaan. Tetap utuh walau badai melanda. Bahkan semakin kuat kerana kita saling berpaut dan memberi kekuatan sesama kita. Jauh perasaan ingin berjauhan dan tidak sesekali terlintas perasaan untuk menjatuhkan dan melemahkan sesama kita.
Alangkah indahnya andai semua mampu memberi kepercayaan dan saling berakhlak mulia. Andai bertemu, terasa gembira dan andai berpisah terasa rindu yang amat kerana ukhuwah itu terasa dan terkesan di dalam hati.
Tiada yang indah melainkan yang datang dari hati-hati yang suci berkumpul dan saling mengingati Allah SWT. Tidak mungkin perjuangan ini indah andai ia dicemari dengan dosa dan nista. Perjuangan ini menjadi kotor hina dan punah andai dicalit dengan kata fitnah dan cemuhan sesama jemaah.
Wahai Sahabat
Sayangilah sahabat - sahabat ini, sesungguhnya kita telah
lama bersama dan berjanji setia untuk
menegakkan syiar Islam dengan segala keringat dan penat lelah serta air mata. Andai bukan kemenangan bukan pada masa kita, akan tiba kemenangan itu dengan
izin Allah SWT pada masa yang telah
dijanjikan.
Sesungguhnya yang
DIBIMBANGI KEMENANGAN itu belum tiba kerana hati-hati kita masih belum bersatu. Berusahalah menjaga perjuangan ini dengan dibajai kemanisan ukhuwah dan
dijauhkan segala anasir perpecahan.
Bersamalah kita melangkah ke syurga dengan ikatan ukhuwah
ini. Biiznillah.
“Teman-teman karib
pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa.” (Surah ad-Zukhruf: 67)
Ya Allah,
sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa sesungguhnya hati-hati kami ini,
telah berkumpul kerana cinta-Mu,
dan berjumpa dalam ketaatan pada-Mu,
dan bersatu dalam dakwah-Mu,
dan berpadu dalam membela syariat-Mu.
Maka ya Allah, kuatkanlah ikatannya,
dan kekalkanlah cintanya,
dan tunjukkanlah jalannya,
dan penuhilah ia dengan cahaya yang tiada redup,
dan lapangkanlah dada-dada dengan iman yang berlimpah kepada-Mu,
dan indahnya takwa kepada-Mu,
dan hidupkan ia dengan ma'rifat-Mu,
dan matikan ia dalam syahid di jalan-Mu.
Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.
0 comments:
Post a Comment