Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

BAGAIMANA MENYENTUH HATI



Serulah (manusia) ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-mu, Dialah Yang Maha tahu tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah Yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (An-Nahl : 125)

Berdasarkan ayat di atas, tampaklah bahawa Allah telah menggariskan tiga cara menyeru manusia pada Islam, iaitu: hikmah, peringatan/nasihat yang baik, dan debat.

Dan dakwah yang paling berkesan adalah dakwah melalui perbuatan. Hal ini kerana mulut mudah untuk melafazkan, bahkan senang untuk menyuruh. Tetapi untuk menunjukkan qudwah yang baik, bukan semudah mulut yang berbicara.

Menurut Syeikh Rohimuddin, akhlak yang kita bawa adalah cerminan kepada hati kita yang satu. Baik hati itu, in shaa Allah maka baiklah akhlak yang terpancar. Gelapnya hati itu, nauzubillah buruk jualah akhlak yang ada.

Namun, tidak semudah kata untuk berdakwah. Adakalanya apa yang diperkatakan susah untuk diterima. Berkali-kali meluahkan nasihat, tidak didengarinya juga. Di manakah silapnya?



Berlemah Lembut


"Maka disebabkan rahmat Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terbadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berbati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Al-Imran: 159)



"Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya." (Al-Ahzab: 4)

Kerana itu, tidak mungkin pemilik hati yang sarat cinta dan keimanan, pada saat yang sama ia adalah seorang yang berhati gersang, kasar, serta menyimpan rasa dengki dan kebencian kepada pihak lain.


Perasaan dan kasih sayang adalah ‘bahasa’ internasional yang dipergunakan oleh pendakwah dalam menghadapi seluruh penduduk bumi, hingga kepada orang bisu sekalipun. Kerana rahmat Allah, anda berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu berlaku keras lagi kasar, tentulah mereka akan menjauhimu.


‘Bahasa’ ini ibarat mata wang yang ditetapkan untuk dipakai oleh setiap negara secara internasional. Dengan ‘bahasa’ inilah, generasi pertama umat ini dapat menakluk dunia. Mereka adalah lentera kehidupan.



"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau mempergunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya." (Qaaf: 37)

Oleh kerana ltu, barangsiapa tidak mengingat, merasakan, dan terpengaruh oleh keburukan atau keindahan, ia adalah orang yang tidak mempunyai hati.

Tiga Karakter Manusia

Dalam kehidupan ini manusia dapat dibahagikan dalam tiga kategori, iaitu:

1. Manusia yang berperilaku dengan akhlak Islamiah

Mereka adalah orang yang rajin beribadah dan rajin ke masjid. Orang yang seperti ini harus diletakkan di tangga pertama, kerana mereka lebih dekat dengan dakwah kita, sehingga tidak memerlukan tenaga yang banyak dan untuk mengajak mereka pun tidak banyak kesulitan.

2. Manusia yang berperilaku dengan akhlak Asasiyah

Mereka adalah orang yang tidak taat beragama, tetapi tidak mahu terang-terangan dalam berbuat maksiat kerana mereka masih menghormati harga dirinya.

3. Manusia yang berperilaku dengan Akhlak Jahiliah

Mereka adalah orang yang bukan dari golongan pertama atau kedua. Mereka inilah orang yang tidak peduli terhadap orang lain, sedang orang lain tidak menyukai mereka kerana perbuatan dan perangainya yang tidak elok.  

Oleh itu, sebagai seorang pendakwah, kita perlu mengetahui di manakah kategori seseorang itu berada dan bagaimana untuk berdakwah kepadanya. Kerana setiap manusia itu berbeza cara penerimaannya.

Namun demikian, itu bukan bermakna kita boleh menghakimi seseorang. Hanya Allah yang berhak mengadili setiap manusia. Kita hanya hamba yang cuba untuk mendekati seseorang dengan tujuan mengajak mereka kembali kepada pencipta.


Menghafal Nama

Menghafal nama adalah hal yang penting, kerana dari sinilah terjadi interaksi dan lahir sifat saling percaya sesama individu. Ia merupakan langkah awal dan benang  pertama yang mengikat antara hati individu.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Rasulullah SAW, bahawa baginda bersabda:

"Hak seorang muslim terhadap sesama muslim ada enam iaitu bila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam, bila ia memanggilmu penuhilah, bila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah dia, bila dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah bacalah yarhamukallah (ertinya: semoga Allah memberikan rahmat kepadamu), bila dia sakit jenguklah dan bila dia meninggal dunia iringilah (jenazahnya).” (Riwayat Muslim)

Penampilan Seorang Pendakwah

Cara bertutur kata dan penampilan seorang pendakwah akan menarik perhatian orang yang mendengar dan melihatnya, kerana pada dasarnya jiwa manusia cenderung dan tertarik dengan penampilan yang indah dan baik. Dari sini kita boleh melihat bahawa yang dipilih sebagai figura-figura pemasaran hasil produksi adalah orang-orang yang berpenampilan menarik, di samping kualiti produk yang terbaik.

Dakwah Tanpa Kata-kata

Banyak cara yang ada untuk  menjadi pendakwah yang berjaya. Bukan sahaja berjaya di mata manusia, tetapi apa yang penting berjaya di pandangan Allah. Dalam banyak-banyak cara menyentuh hati, dakwah tanpa kata-kata adalah yang terbaik.

Hal ini tercermin dalam dakwah lewat qudwah hasanah (keteladanan). Qudwah hasanah adalah model dakwah yang tidak memerlukan penjelasan dan dialog. Ini merupakan cara praktis, kerana keyakinan kepada dakwah seperti ini akan melahirkan keyakinan kepada fakta yang konkrit dan realiti yang nyata. Cara ini lebih cepat membawa orang untuk percaya dan menerima ajakan.

Imam as-Syahid Hasan al-Banna telah menyatakan, "Kitab yang terletak di perpustakaan sedikit yang membacanya, tetapi seorang muslim sejati adalah 'kitab terbuka'  yang semua orang membacanya. Ke mana saja ia pergi, ia adalah 'dakwah yang bergerak’."

Allah berfirman,

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu." (Al-Ahzab: 21)


 * Rujukan : Terjemahan Kitab Bagaimana Menyentuh Hati karangan Imam Abbas as-Sisi

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates