Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

ULASAN BUKU : PEMIKIRAN TUAN GURU


Buku ini berkisar tentang pemikiran seorang tokoh ulama yang amat kita sayangi walaupun beliau telah meninggalkan kita semua pada tanggal 12 Februari 2015 yang lepas. Tokoh yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Terdapat 3 pembahagian ulasan iaitu berkenaan sejarah gerakan Islam secara ringkas, kisah hidup tuan guru dan pemikiran beliau dalam mendepani beberapa isu yang berkaitan dengan umat Islam di Malaysia yang tercinta.

Gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia lahir selepas kejatuhan khilafah Islamiyyah yang terakhir iaitu kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924. Gerakan-gerakan ini muncul untuk membangkitkan idea memahami Islam kepada masyarakat di tempat dan negara masing-masing. Antaranya ialah Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan oleh Imam Hassan al-Banna pada tahun 1928, Masyumi di Indonesia, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yasin dan beberapa gerakan lain termasuklah PAS di Malaysia. Kesemua gerakan ini berperanan untuk menyampaikan dakwah dan nilai-nilai Islam di tempat masing-masing.

Tuan guru dilahirkan pada tahun 1931. Ayah beliau bernama Haji Nik Mat yang dikenali masyarakat setempat sebagai ‘Nik Mat Alim’ kerana sifatnya yang warak dan alim. Ibu beliau bernama Aminah binti Majid. Sejak kecik, beliau dididik dengan asuhan agama oleh kedua ibu bapa beliau. Antaranya, Haji Nik Mat mewajibkan kepada tuan guru supaya bangun pada setiap hari seawal jam empat pagi bagi mengerjakan solat tahajud, disuruh membaca dan menghafaz al-Quran setiap kali selepas solat Subuh.



Tuan guru memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat sebelum dihantar ke Pondok Kenali. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Ulum Deoband, India. Kemudiannya ke Pakistan. Di India beliau mendalami bidang hadis manakala di Pakistan pula, beliau belajar dalam bidang tafsir al-Quran.  Seterusnya tuan guru meneruskan pengajian di Mesir. Tuan guru berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang bahasa Arab dan ijazah sarjana dalam bidang Perundangan Islam. Ini menunjukkan kepada kita semua bahawa untuk menjadi alim dan faqih itu menuntut seseorang supaya berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh ketika masih belajar dan kejayaan tidak datang dengan senang lenang.


Sebaik sahaja pulang ke tanah air, tuan guru mengajar di Sekolah Agama Darul Anuar. Kemudiannya beliau memilih PAS sebagai wadah untuk beliau memperjuangkan misinya kerana perjuangan PAS berasaskan Islam dan lengkap. Bagi tuan guru, PAS berjuang bagi menegakkan syariat Islam di Malaysia, di samping menerapkan nilai-nilai yang menjadi keperluan masyarakat.

Penglibatan beliau dalam bidang politik bermula pada tahun 1967 apabila dipilih untuk menjadi calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir. Pada tahun 1990, beliau menjadi Menteri Besar Kelantan sehingga tahun 2013 setelah PAS memenangi pilihan raya umum pada tahun tersebut. Beliau juga pernah menjadi ketua Dewan Ulama PAS pada tahun 1968, Pesuruhjaya PAS Kelantan menggantikan Dato’ Asri Muda dan jawatan beliau yang terakhir dalam PAS ialah sebagai Mursyidul Am yang mengetuai Majlis Syura Ulama iaitu suatu badan secara hierakinya tertinggi dalam PAS.

Bahagian terakhir buku ini membincangkan beberapa pemikiran tuan guru yang berkaitan dengan isu-isu semasa di Malaysia. Melalui isu-isu tersebut, kita dapat lihat cara tokoh ulama ini berfikir serta mengeluarkan pandangannya. Antaranya dalam isu penggunaan kalimah Allah untuk orang bukan Islam, orang bukan Islam sebagai ahli PAS, perlaksanaan hukum hudud di Kelantan, pengharaman judi dan arak di Kelantan, hiburan alternatif generasi muda, isu royalti minyak Kelantan dan beberapa isu lagi.


Kesimpulannya yang boleh dibuat berdasarkan buku Pemikiran Tuan Guru ialah tuan guru membawa masyarakat kepada Islam yang syumul dan membawa masyarakat bukan Islam lebih dekat kepada Islam. Gaya pemikiran beliau banyak menjernihkan kefahaman serta mengubah persepsi dan sudut pandang masyarakat kepada agama Islam. Perubahan agama Islam di Malaysia turut terkesan dengan buah idea pemikiran politik tuan guru dan ternyata beliau adalah tokoh agama dan pemimpin yang sewajarnya dicontohi oleh semua.

Walaupun beliau telah meninggalkan kita semua, namun jasa dan pemikiran yang ditinggalkan sewajarnya tersemat dalam hati kita semua. Al-Fatihah untuk roh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.


0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates