Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

GST : SIAPA YANG UNTUNG?

APA ITU GST?

Isu ini semakin hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya mereka daripada golongan pertengahan dan bawahan. Mengapa begitu? Ayuh ikuti kupasan yang akan dibuat secara adil bagi anda sendiri menilai sejauh mana GST dikatakan dapat meringankan beban rakyat.

GST, Goods and Servises Tax atau juga dikenali sebagai Cukai Barang & Perkhidmatan mula dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 1 April 2015 yang lalu. Sistem GST pada asalnya diperkenal bagi menggantikan sistem cukai sebelum ini yang dikenali sebagai SST, Sales and Services Tax. Cukai ini juga diaplikasikan di negara-negara lain dan dikenali sebagai Value Addes Tax, VAT.
Pada peringkat awal, GST dilihat satu kaedah yang positif oleh pihak kerajaan dalam mengurangkan kadar cukai SST sebanyak 10 % kepada pengenalan cukai GST iaitu sebanyak 6 %. Beberapa kelebihan telah digariskan oleh pihak kerajaan dalam menyusun pelaksanaan GST. Antaranya adalah:

  • Mengelak cukai terselindung akibat oleh pemborong, peruncit dan peniaga yang ingin mengaut keuntungan yang lebih yang akhirnya menyebabkan harga sesuatu barang menjadi mahal.
  • Mengelak cukai bertindih yang sebenarnya membebankan para pengguna yang dikenakan cukai sebanyak dua kali. 
  • Mengelak caj perkhidmatan yang disembunyikan para peniaga/penjual barangan dan tidak dinyatakan dalam resit dan bil-bil bagi meningkatkan margin keuntungan mereka.
  • Mengelak perbuatan segelintir golongan pengilang, pemborong, peruncit dan peniaga yang cuba mengelak daripada membayar cukai dengan tidak mengisytihar sumber, aliran dan jumlah pendapatan mereka.
  • Bagi mengelak perbuatan khianat ekonomi yang dilakukan oleh segelintir golongan peruncit dan peniaga yang sengaja menyorok barangan, mengurangkan sukatan, memonopoli barang dan memanipulasi harga.


“Mengikut Draf Undang-Undang Cukai Barang & Perkhidmatan 2009 Fasal 9 menyatakan bahawa satu cukai barang dan perkhidmatan hendaklah dikenakan atas apa-apa pembekalan barang atau perkhidmatan yang dibuat di Malaysia termasuk apa-apa yang  dikira suatu pembekalan  dan apa-apa barang yang diimport ke Malaysia.  Ini bermakna GST merupakan satu cukai yang dikenakan ke atas setiap pembekalan. Pembekalan bermaksud barang atau perkhidmatan antara dua atau lebih individu samada melibatkan pertukaran wang ataupun tidak.  Ini bermakna dibawah akta GST kelak, penjualan atau pembelian samada barang atau perkhidmatan akan dikenakan cukai pada kadar permulaan 6 %”- oleh YB RAFIZI RAMLI

Ini bermaksud GST akan dikenakan kepada SETIAP BARANG kecuali:
• Barang makanan asas: Beras, gula, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu, belacan.
• Penggunaan utiliti: Bekalan air paip dan 200 unit pertama eletrik sebulan bagi pengguna.
• Perkhidmatan yang disediakan kerajaan: Perkhidmatan kesihatan, pengeluaran pasport, pembelajaran di sekolah.
• Perumahan: Proses jual beli dan sewa rumah kediaman.
• Perkhidmatan pengangkutan: Bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya.
• Kewangan: Perkhidmatan kewangan terpilih.

Ini bermaksud barang-barang seperti kereta, pakaian, susu, sabun, buku, kedai-kedai dan restoran, barang-barang elektrik, dan banyak lagi akan dikenakan GST.


Pelan GST pada perancangannya dilihat sungguh mesra rakyat. Namun, adakah pelan ini benar-benar telus dalam pelaksanaan dan berjaya mencapai kelebihan yang dirancangkan?

REALITI YANG BERLAKU





































         Rakyat membuktikan bahawa tiada penurunan harga seperti yang dicanangkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Harga barang yang sudah maklum akan mahalnya semakin bertambah dengan pengenalan sistem cukai baru ini. Yang miskin terus miskin, yang tersepit terus tersepit. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh rakyat, hanya mampu mengeluh nasib yang kian hari semakin terbeban dengan ekonomi negara sendiri yang dilihat tidak stabil.

         KENAPA PAS MENENTANG?

         Himpunan Derita Rakyat; Kenapa Kita Menentang GST??
         1. Cukai GST tidak mengenal kaya dan miskin. Si miskin juga membayar cukai. Ini satu kezaliman. Justeru, ia bercanggah dengan Islam.
         2. Cukai GST dikenakan di saat kerajaan boros berbelanja dan berlaku ketirisan antara 23-40 bilion. Jika kerajaan membetulkan perbelanjaan negara maka GST tidak diperlukan.
         3. Negara tidak bermasalah untuk memperolehi pendapatan tetapi bermasalah dalam membelanjakan pendapatan kerana boros dan tiris. Jika pendapatan yang sedia ada gagal diurus maka bagaimana jika hasil meningkat menerusi GST? Kerajaan tentu akan lebih boros!!!
         4. Cukai GST memperluaskan cukai kepada semua barangan dan perkhidmatan melainkan yang dikecualikan. Ertinya ianya mencakupi ruang yang sangat luas. Sedangkan cukai yang harus dalam Islam sepatutnya diperkecilkan saiz barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai.
         5. Cukai GST menyebabkan kenaikan harga barang yang menekan kehidupan rakyat yang sudah sedia berhadapan dengan pelbagai tekanan kewangan. Tekanan kewangan akan mencambahkan lebih banyak jenayah kekerasan seperti rompak dan harta seperti curi di samping jenayah kolar putih seperti rasuah dan sebagainya.

         Justeru cukai GST benar-benar menzalimi rakyat.
         Menentang kezaliman adalah wajib sama ada menggunakan kuasa, lidah dan hati. 
         Nabi saw bersabda:
         أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِر
         "Sebaik-baik Jihad adalah kalimah yang benar di sisi seorang penguasa yang zalim". Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasaei dengan Isnad yang Sahih.


         Marilah kita bersama-sama dalam Himpunan Derita Rakyat; Tolak GST di Padang Merbuk jam 4 ptg -8.30 malam hari ini Sabtu 11 April 2015. Moga kehadiran kita beroleh pahala daripadaNya.
         Sekian.  

         YB Ust Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
 11 hb April 2015
 Jerlun 11 tengah hari
       


         Kegagalan Mengurus Perbelanjaan Negara Menjadikan Rakyat Menderita Mangsa Rompakan GST Zalim; Ayuh Bantah GST

         1. Malaysia sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapat sumber pendapatan negara tetapi sebenarnya negara bermasalah dalam menguruskan perbelanjaan. Kegagalan pengurusan perbelanjaan oleh kerajaan Barisan Nasional memangsakan rakyat hari ini dirompak oleh GST zalim yang dikenakan secara paksa ke atas diri mereka untuk menambah hasil negara.
         2. Seawal penubuhan Malaysia, pelbagai cukai dikenakan kepada golongan berkemampuan untuk menjadi sumber kepada negara sama ada menerusi cukai langsung korporat dan individu dan cukai tak langsung menerusi duti eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan bagi sebahagian barangan dan perkhidmatan.
         3. Malaysia juga memperolehi hasil lumayan dan mewah menerusi hasil bumi khususnya minyak sehingga menjangkau antara 70-80 bilion setahun.
         4. Sekiranya kerajaan Barisan Nasional mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah, tidak boros dan mengelakkan ketirisan maka pendapatan daripada sumber cukai sedia ada dan hasil bumi sudah cukup untuk menguruskan sebuah negara dengan penduduk seramai 28 juta.
         5. Namun, ternyata kerajaan untuk tempoh yang panjang telah gagal menguruskan perbelanjaan negara menurut panduan Islam dalam berekonomi. Ia dapat dilihat menerusi fakta-fakta berikut;

         a. Belanjawan Tahunan
         Kerajaan Barisan Nasional membentangkan belanjawan defisit selama 18 tahun berturut-turut sejak 1998. Belanjawan defisit bermaksud perbelanjaan yang dirancang melebihi pendapatan yang dijangka akan diperolehi. Kerajaan hanya menjangka akan membentangkan belanjawan berimbang iaitu pendapatan seimbang dengan perbelanjaan pada 2020. Ertinya negara bakal menyaksikan belanjawan defisit untuk lagi 4 tahun mendatang.
         Secara ringkas boleh dilihat perbezaan rancangan perbelanjaan kerajaan berbanding hasil yang dijangka sebagaimana tahun-tahun berikut;
         Perbelanjaan (P) Hasil (H)
         2008 (P) 176 bilion (H) 148 bilion
         2009 (P) 207 bilion (H) 161 bilion
         2010 (P) 191 bilion (H)148 bilion
         2011 (P) 212 bilion (H) 165 bilion
         2012 (P) 232 bilion (H) 186 bilion
         2013 (P) 251 bilion (H) 208 bilion
         2014 (P) 264 bilion (H) 224 bilion
         2015 (P) 273 bilion (H) 235 bilion
        

         b. Hutang Negara
         Belanjawan defisit menyumbang untuk negara meningkatkan hutang negara daripada setahun ke setahun. Pada 2006 hutang negara hanyalah 247 bilion. Tetapi pada 2013 hutang negara telah meningkat kepada 546 bilion dengan peningkatan 299 bilion. Laporan terakhir 2015 hutang negara telah menjangkau 847 bilion.
         Perhatikan jadual Hutang Negara sebagaimana berikut mengikut tahun; 
                  1997 RM90 bilion
         1998 RM103 bilion
         1999 RM112 bilion
         2000 RM125 bilion
         2001 RM145 bilion
         2002 RM164 bilion
         2003 RM188 bilion
         2004 RM216 bilion
         2005 RM232 bilion
         2006 RM247 bilion
         2007 RM274 bilion
         2008 RM317 bilion 
         2009 RM376 bilion
         2010 RM405 bilion 
         2011 RM465 bilion
         2012 RM501 bilion
         2013 RM546 bilion
         (Sumber International Monetary Fund)
         2014 rm677 bilion
         2015 RM847 bilion 
         (Sumber The Economist)

         Bayangkan, hutang kerajaan pada 1997 hanyalah RM90 bilion tetapi selepas 17 tahun pada tahun 2014 telah menjadi 677 bilion.
         Pada 2003 ketika Tun Abdullah Badawi mengambil alih negara hutang negara ialah 188 bilion.
         Selepas 6 tahun pada 2009 ketika beliau melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Najib ia meningkat sekali ganda sebanyak 188 bilion kepada 376 bilion.
         Selepas 5 tahun Najib mengambil alih negara, hutang pada 2014 meningkat hampir sekali ganda sebanyak 301 bilion kepada RM677 bilion.

         c. Ketirisan Perbelanjaan
         Kajian yang dibuat oleh Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme terhadap laporan tahunan Ketua Audit Negara menunjukkan berlaku ketirisan dan salah urus perbelanjaan antara 23 bilion hingga 40 bilion. Sedangkan GST hanya dijangka menyumbang sebanyak 23 bilion pada tahun 2015. Jika ketirisan ditangani, maka GST tidak diperlukan.

         6. Pada tahun 2008 perbelanjaan untuk mengurus negara hanyalah 128 bilion tetapi untuk 2015 kerajaan merancang perbelanjaan mengurus sebanyak 223 bilion. Tidakkah ia merupakan peningkatan yang melampau untuk tempoh yang pendek iaitu 7 tahun dengan peningkatan hampir 100 bilion?
         7. Hasil daripada kegagalan menguruskan perbelanjaan inilah maka kerajaan mula berfikir untuk meluaskan lagi sumber kewangan negara sedangkan sebenarnya kerajaan tidak berhadapan dengan masalah sumber tetapi pada masalah berbelanja.
         8. Penyelesaian mudah kerajaan ialah memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) kerana GST adalah cara paling mudah untuk mengutip sumber daripada rakyat.
         9. GST dikenakan pada semua barangan dan perkhidmatan melainkan yang dikecualikan. Ertinya kerajaan mendapat ruang yang sangat besar dan luas untuk mendapat hasil menerusi cukai.
         10. GST kena kepada semua rakyat tanpa mengira kaya atau miskin yang berbelanja dan mendapat perkhidmatan. Ertinya GST mempunyai cakupan cukai sangat luas. Jika sebelumnya hanya sekitar 1.7 juta terpaksa membayar cukai maka dengan GST berjuta-juta rakyat terpaksa membayar cukai setiap hari termasuk orang miskin.
         11. Apabila cukai dikenakan kepada si kaya dan si miskin maka di sinilah ketidakadilan sosial dan kezaliman berlaku. Kerana itulah cukai GST adalah zalim dan haram menurut kaedah percukaian Islam kerana cukai sepatutnya hanya kena kepada orang yang berkemampuan sahaja.
         12. Data 2012 menunjukkan 31.7% isi rumah Malaysia berpendapatan kurang daripada rm2500 dan 23.8% lagi berpendapatan antara 2500 - 4000. Ertinya lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah rm4000.
         13. Untuk itu rakyat perlu bangkit menolak kezaliman cukai GST kerana negara tidak perlukan GST jika kerajaan berjaya menguruskan perbelanjaan berhemah.
         14. Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia yang menyedari kezaliman GST ini untuk berhimpun beramai-ramai secara aman di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu 11.4.2015 bermula jam 4-30 petang hingga 8.30 malam untuk sama-sama membantah cukai yang zalim ini.

         Nabi saw bersabda:
           أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ 
         "Sebaik-baik Jihad adalah kalimah yang benar di sisi seorang penguasa yang zalim".
         Hadis riwayat Ibni Majah dan Nasaei dengan Isnad yang Sahih.
Terima kasih.

         DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
         Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
         Ahli Parlimen Kuala Nerus
         AJK Kerja PAS Pusat
         Tarikh : 10 April 2015 / 20 Jamadilakhir 1436H


         Ayuh sama-sama kita membantah GST demi menolak bebanan yang diletakkan di bahu rakyat. Jika benar kerajaan Barisan Nasional serius untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara, mereka sepatutnya golongan pertama yang berjimat-cermat sebagaimana rakyat marhaen. Duduk sama-sama menikmati nasi kosong ketika susah dan meraikan sama-sama nikmat kekayaan jika dikurniakan. Itulah pemimpin yang sebenar yang rakyat mahukan. Tolak GST, terima HUDUD.









0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates