Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

RASULULLAH DAN POLITIK

Definisi Politik Islam

          Politik dalam bahasa Yunani disebut politique. Dalam bahasa Arab pula disebut siasahMenurut Kamus Dewan, politik membawa maksud ilmu pengetahuan berkenaan dengan cara pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan.

Subhi al-Soleh mendefinisikan politik seperti berikut:
      a) Mentadbir dan mengelokkan sesuatu urusan yang dilaksanakan.
      b) Memperbaiki atau meningkatkan martabat makhluk dengan memimpin mereka ke jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.
      c) Seni pemerintahan dan pentadbiran negara yang melibatkan aktiviti-aktiviti dalaman dan polisi luar negara.
      d) Mentadbir urusan kehidupan berasaskan keadilan dan jalan yang lurus.

Firman Allah SWT:
الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة وآتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر ولله عاقبة الأمور ( الحج:41)
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang kami berikan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan, melarang kemungkaran, dan kepada Allah mereka menyerahkan penghujung segala usaha.” (Al-Haj : 41)

Perkataan asal siasah digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya:
كانت بنوا إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وانه لا نبي بعدي انه سيكون خلفاء فيكثرون
Maksudnya: “Dahulunya Bani Israel dipimpin oleh para Nabi, tatkala wafat seorang Nabi maka dibelakangnya terdapat Nabi (lagi) dan sesungguhnya tiada seorang pun lagi Nabi selepas Aku (Rasulullah), dan diikuti oleh para pemimpin.”



Menelusuri Sirah Menyingkap Sejarah Politik Islam

          Kota yang bercahaya, atau dalam bahasa Arabnya Madinah al-Munawwarah adalah negara Islam pertama di dunia yang terbina hasil kesatuan masyarakat Islam berbilang kaum, agama dan bangsa. Kitab suci al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan utama dalam pemerintahan. Sebulat suara, Rasulullah SAW dilantik menjadi ketua negara. Titik permulaan hijrah dan pembinaan negara Islam menjadi tanda aras kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Perkara ini tidak dapat dicapai, melainkan dengan kecerdasan dan kecekapan Rasulullah SAW sebagai pemerintah yang dibimbing Allah SWT.

Strategi politik Nabi SAW dan prinsip-prinsip yang berlandaskan syariat menjadi panduan politik Islam sehingga sekarang.  Walaupun zaman berubah, prinsip dan nilai Islam tetap relevan untuk diamalkan. Beberapa prinsip penting yang digariskan ulama’ berkenaan politik Islam, antaranya:
a) Konsep musyawwarah
                  b) Keadilan sosioekonomi
                  c) Persamaan
                  d) Kebebasan
                  e) Hak menghisab

Sistem Syura, Tonggak Undang-Undang

          Contoh ikutan terbaik dalam pengamalan syura adalah Rasulullah SAW sendiri. Khulafa’ ar-Rasyidin juga mengikut jejak langkah baginda. Rasulullah SAW merupakan insan yang paling banyak bermesyuarat begitu juga dengan para khulafa’nya.

“Nabi Muhammad SAW bermesyuarat dan para pemimpin selepas baginda juga sering bermesyuarat dengan alim ulama yang beramanah.” (Sahih al-Bukhari)

          Majlis syura pula dianggotai oleh sahabat-sahabat yang telah dipilih  baginda sendiri. Kaedah ini juga dipraktikkan di pelbagai bidang bukan sahaja politik tetapi  juga di sektor ekonomi.

Berikut merupakan asas-asas syura:
      a) Pemilihan ketua negara dan orang-orang yang akan menjawat tugas utama dalam pentadbiran ummah.
      b) Penentuan jalan dan cara perlaksanaan undang-undang yang telah dimaktubkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
c    c) Penentuan perkara-perkara baru yang timbul di kalangan ummah melalui proses ijtihad.

          Peristiwa Perang Ahzab atau lebih dikenali sebagai Perang Khandak adalah hasil musyawarah Rasulullah SAW bersama para sahabat. Cadangan yang bernas untuk menggali parit datangnya dari Salman al-Farisi berdasarkan pengamalan kaumnya. Walaupun orang Arab tidak pernah menggali parit sebagai strategi perang, Rasulullah SAW tetap menyambut baik cadangan Salman. Musyawarah yang diberkati akhirnya membawa kemenangan kepada umat Islam.

Keadilan Sosioekonomi Teras Keamanan

          Keadilan sosial dijamin oleh sistem sosial dan sistem ekonomi Islam. Keadilan di dalam bidang sosioekonomi tidak mungkin terlaksana tanpa wujudnya kuasa politik yang melindungi dan mengembangkannya.

          Rasulullah SAW sendiri menjadi agen pendamaian bagi menyelesaikan masalah sosial di Madinah. Sebaik sahaja Rasulullah berhijrah ke Madinah, kaum A’us dan Khajraj disatukan dan digelar kaum Ansar. Dua kaum yang dahulunya bertelagah, kini mampu berdamai atas dasar iman dan takwa kepada Allah SWT. Kemudian, kaum Ansar dipersaudarakan dengan kaum Muhajirin. Ikatan persaudaraan ini menjadi teras kekuatan dan keamanan negara. 

Menyentuh bab ekonomi, masyarakat Madinah bebas menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua sekaligus menghapuskan monopoli ekonomi yang selama ini dikuasai golongan Yahudi. Peristiwa pemboikotan ekonomi yang dikenakan kepada Bani Hashim oleh Quraisy, menjadi sebab perihal ekonomi juga dimasukkan di dalam Piagam Madinah. Tindakan ini  bagi menyediakan Madinah sebagai pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab dan kawasan sekitarnya.

Persamaan Hak dan Tanggunjawab

Persamaan di sini terdiri daripada persamaan dalam mendapat dan menuntut hak, persamaan dalam memikul tanggungjawab menurut peringkat yang ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan dan persamaan berada di bawah taklukan kekuasaan undang-undang.

Prinsip dapat dilihat melalui penggubalan Piagam Madinah sejurus pembinaan negara Madinah. Peranan piagam ini amat penting dalam menyatukan masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan bangsa sekaligus menjadi tanda komitmen yang utuh dari semua pihak untuk menjaga keamanan negara.

Semua penduduk Madinah bertangungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara sekiranya ada ancaman daripada musuh. Golongan Yahudi juga wajib turut serta dalam peperangan-peperangan mempertahankan negara dan perlu membiayai peperangan sekiranya ia berlaku. Mereka tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pakatan luar terutamanya kaum Quraisy. Tidak dapat tidak, kewujudan Islam sebagai agama rasmi Madinah dan Rasulullah SAW sebagai ketua negara diakui oleh golongan Yahudi.


Kebebasan Berlandaskan Makruf dan Kebajikan

Kebebasan yang dipelihara oleh sistem politik Islam ialah kebebasan yang berteraskan kepada makruf dan kebajikan. Menegakkan prinsip kebebasan yang sebenar adalah di antara tujuan terpenting bagi sistem politik dan pemerintahan Islam serta asas bagi undang-undang perlembagaan negara Islam.

Masyarakat Madinah bebas untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Hal ini telah termaktub di dalam Piagam Madinah dan fasal ini membolehkan umat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam secara terbuka tanpa ada sebarang kebimbangan serta membuka peluang masyarakat Islam dan bukan Islam untuk berinteraksi dalam keadaan harmoni kerana hak dan keselamatan setiap  penduduk di Madinah adalah terjamin.

Hak Rakyat Menghisab Pimpinan

Hak rakyat yang dimaksudkan adalah autoriti rakyat untuk menghisab pihak pemerintah dan mendapat penjelasan terhadap tindak tanduknya.

Prinsip ini berdasarkan kepada kewajiban pihak pemerintah untuk melakukan musyawarah dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan dan pentadbiran negara dan ummah. Hak rakyat untuk disyurakan adalah bererti kewajipan setiap anggota di dalam masyarakat untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran.

Prinsip ini berdasarkan kepada firman Allah yang mafhumnya:
"Dan apabila ia berpaling (daripada kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan." (Al-Baqarah: 205)

          Menyingkap sirah Rasulullah SAW, konsep syura diamalkan oleh baginda dalam setiap urusan pemerintahan. Baginda juga secara terbuka menerima teguran para sahabat, antaranya teguran al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kubu terbaik dalam peristiwa perang Badar, begitu juga teguran Suad dalam kes ditolak dengan busar oleh Rasulullah SAW.


Delegasi Keamanan, Islam Mula Dikenali

Rasulullah SAW menghantar para sahabat bersama warkah keamanan bagi memaklumkan kewujudan kerajaan Islam kepada empayar-empayar besar ketika itu. Sahabat baginda SAW dihantar ke Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi. Pelbagai reaksi pimpinan diterima, ada yang menerima, ada yang mendiamkan diri dan ada yang terus menolak tanpa mengetahui isi surat baginda SAW.

          Tindakan ini merupakan langkah pertama namun sangat signifikan sebagai makluman kepada empayar-empayar besar sekaligus menyampaikan dakwah Islam kepada kerajaan yang tidak menyembah Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

          Selain itu juga, baginda menghantar wakilnya ke kawasan luar Madinah menjadi gabenor di kawasan tersebut, contohnya pada tahun 10 hijrah, baginda telah menghantar gabenor ke Yaman.

Prinsip Politik Islam Malar Segar

Prinsip-prinsip politik Islam yang digariskan ulamak adalah pengamalan Rasullah SAW dalam mengurus dan mentadbir kerajaan Madinah. Politik Islam tidak hanya tertumpu kepada hal ehwal orang Islam namun merangkumi kesemua aspek secara menyeluruh. Aspek sosioekonomi, pertahanan negara, hak rakyat  tanpa mengira bangsa dan kaum. Dua tonggak undang-undang negara Madinah adalah konsep syura dan Piagam Madinah.

Zaman moden semestinya berbeza dengan zaman lampau, namun begitu prinsip politik Islam masih malar segar tidak luput ditelan zaman. Marilah kita bersama-sama menghayati nilai dan prinsip politik Islam sekaligus mengamalkannya dalam kehidupan. Takdir itu rahsia Allah, seandainya kita ditakdirkan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan, ikutilah jejak langkah Rasulullah SAW kerana baginda adalah ikutan terbaik dalam segenap aspek kehidupan.



0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates