Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Sayap kiri Al-Banna

Sebenarnya sudah lama saya mencari-cari kisah wanita muslimah di belakang Imam Hasan Al-Banna. Sukar juga sebenarnya kerana tidak banyak yg diperkatakan tentang beliau, sayap kiri As-Syahid.  Alhamdulillah, suatu hari Allah mempertemukan saya dengan kisahnya, kisah yang sudah lama ingin saya ketahui.
 
Kita banyak membaca kisah-kisah wanita teladan dari zaman lampau, kadangkala terasa ingin mengetahui kisah zaman ini kerana situasi, latar tempat, masa dan cabarannya berbeza. Saya rasa itu penting dalam kita membaca kisah yg terdahulu, carilah juga suntikan dari zaman sendiri, kisah yang lebih dekat. Sebagaimana pesan Saidina Ali r.a.:

"Didiklah anak-anakmu sesuai mengikut zamannya"

Pesan ini menunjukkan peri pentingnya untuk kita hidup berpijak pada zaman sendiri, usah terlalu idealistik sehingga tidak realistik. Ingin saya kongsikan buat semua kisah wanita dibelakang mujahid ummah yang ulung ini. Moga bermanfaat.

Dia adalah Lathifah As Suri. Dia berdiri disamping Imam Syahid Al Banna. Sejak awal Imam Syahid telah menegaskan bahawa ia inginkan seorang muslimah yang tegar, yang tak lekang dan surut oleh banyaknya halangan dan rintangan dalam berda’awah. Tidak mudah menjadi isteri seorang Hasan Al Banna. Seseorang yang setiap detik kehidupannya sarat dengan kegiatan da’awah. Di pagi buta dia sudah bergegas untuk memulakan berda’wah dan kembali pulang di gelap malam. Boleh dipastikan ia adalah seorang muslimah sejati, yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Imam Syahid Al Banna.

Perjuangan Imam Syahid bukanlah suatu hal yang main-main, bukan hanya sekadar da’awah seperti kebanyakan orang waktu itu. Bukan hanya sekadar membangun rumah ibadat. Imam As- syahid sedang dan hendak membangun sebuah peradaban. Dan ia percaya, peradaban tak akan pernah wujud, tanpa seseorang yang ia yakini kesetiaannya. Maka siapapun itu-pendampingnya-harus menyedari bahawa dipundaknya ada amanah yang sama besarnya dengan apa yang di impikan oleh Imam Syahid. Ada dimensi waktu disitu. Maka pertemuan diyakini menjadi suatu hal yang mahal bagi Imam Syahid dan isterinya. Maka bagi Lathifah As Suri menjadi isteri Hasan Al Banna menyimpan begitu banyak cabaran. Sejak awal pernikahan, Lathifah sudah menyedari bahawa dia harus bersedia jika sampai waktu dia harus menjalani hidup bersendirian tanpa seseorang, tempat berlabuh hidup dan cintanya.

Da’wah & Rumah Tangga

Da’wah Ikhwan yang dipimpin oleh suaminya banyak meminta risiko yang bukan ringan-ringan. Penjara bahkan nyawa menjadi penamat logik, yang bila-bila masa boleh menyapanya. Tanpa diminta, Lathifah sudah tahu dan mengerti bagaimana ia harus menempatkan dirinya. Ia memutuskan menutup seluruh aktiviti luarnya. Hanya satu yang ia curahkan, jihad utamanya adalah dilingkup rumahnya sendiri. Mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak mereka berdua adalah dua hal yang tidak kalah pentingnya dengan yang dilakukan oleh Hasan Al Banna.

Sebelum menikah dengan Hasan Al Banna, Lathifah berasal dari keluarga yang taat beragama. Hingga tak hairan jika ia menyedari betul tuntutan hidup menjadi isteri seorang daie. Malam, dia harus rela untuk terbangun menyambut kepulangan suaminya. Walau jarang-jarang berlaku, Imam As-Syahid sangat berhati-hati, bahkan hanya untuk membuka pintu rumahnya sekalipun. Jauh dilubuk hatinya, Imam As-  Syahid tidak ingin mengganggu tidur bidadari kekasihnya yang telah seharian mengurus rumah dan anak-anak mereka berdua. Imam As-  Syahid bahkan tak segan untuk menyiapkan makan malam untuk dirinya sendiri.

Wanita, Isteri & Ibu

Lathifah tidak pernah mengeluh, walau seharian hanya ia habiskan seputar rumah dan rumah saja. Ia tidak pernah menuntut lebih kepada Imam As- Syahid. Padahal, Lathifah pun -berlepas diri dari ia seorang isteri Imam As-  Syahid- menyimpan banyak potensi. Anak-anak mereka yang berjumlah enam orang sesungguhnya adalah curahan tumpuannya menjalani hidup. Satu-satunya yang pernah membuat dirinya bingung adalah, ketika salah satu anak mereka sakit kuat dan Imam As-  Syahid perlu tetap menjalankan jihadnya. Ia bertanya kepada suaminya,”Bagaimana jika ia meninggal?”. Imam As-Syahid hanya menarik nafas panjang, dan kemudian berkata “Bapa saudaranya lebih tahu bagaimana mengurusnya.” Sejak hari itu, Lathifah menanamkan wawasan keIslaman kepada anak-anaknya. Mendorong mereka untuk membaca, sehingga dalam hidupnya mereka tidak terpengaruh dengan seruan-seruan yang meruntuhkan. Ketika Imam As-Syahid keluar-masuk penjara, Lathifah berusaha bersabar .

Lathifah sangat menyedari peranan dan kewajiban asasi seorang wanita sebagai isteri dan ibu bagi anak-anaknya. Dia  mengosongkan waktunya untuk mendidik anak-anaknya. Dia bahagia melihat anak-anaknya berjaya dalam hal akhlak dan amal. Ini tak mungkin terjadi jika seorang ibu sibuk di luar rumah. Seorang anak tidak mungkin belajar tentang akhlak dan amal dari orang selain ibunya. Ketika Hasan Al-Banna syahid, anak-anaknya belumlah dewasa. Lathifah tidak lantas menyerah. Tak ada resah ataupun ketakutan dalam hatinya. Ia sangat memelihara apa yang dikehendaki oleh almarhum suaminya. Ia tetap berusaha didalam rumah. Lathifah tidak meremehkan hudud (batasan) yang Allah tentukan. Kerananya, tidak hairan diantara anak-anaknya tidak ada ikhtilat (percampuran) - antara anak-anaknya dan sepupunya yang berlainan jenis.

  Pengetahuan & Perjuangan

Tidak ada yang berubah dirumah itu, apa yang Imam As-Syahid inginkan berlaku dalam keluarganya masih tetap di pegang teguh oleh Lathifah. Sendirian, ia membesarkan keenam anaknya. Dirumahnya kini ia mempunyai tugas tambahan, yaitu memperdalam wawasan keIslamannya.Yang dimaksud dengan wawasan keIslamannya adalah membaca Al-Quran dengan tafsirnya, mempelajari Sunnah Rasulullah SAW, haditsnya dilanjutkan dengan usaha kuat untuk menerapkannya. Lathifah juga masih menyempatkan diri mempelajari sejarah para salafussalih dan berita dunia Islam. Lathifah menyedari mengenepikan masalah ini akan menghasilkan persoalan serius. Seorang yang tidak menambah pengetahuan keIslamannya, akan merasa sulit untuk bangga dengan keagungan dan kebesaran Islam. Dengan melalui pemahaman keIslaman yang baik, seorang wanita akan menyedari betapa penting peranannya terhadap keluarga dan masyarakat.

Perjuangan Lathifah membuahkan hasil yang gemilang. Semua anaknya berjaya meraih kelulusan formal dalam pendidikan ilmiah. Yang sulung, bernama Wafa-menjadi isteri Dr.Said Ramadhan. Kedua Ahmad Saiful Islam, pernah duduk di parlimen. Ketiga bernama Tsana, kini sebagai pengajar di Universiti Cairo. Kelima Roja, kini menjadi doktor. Dan Halah sebagai doktor pakar anak di Universiti al-Azhar. Dan terakhir, Istisyhad sebagai doktor ekonomi Islam. Semuanya itu sebagai bukti, betapa berertinya peranan Ibu bagi keberhasilan da’wah sang suami. Selain juga untuk anak-anaknya…..




Buat saya dan kalian

Kisah Lathifah, bidadari hidup As-syahid Hassan Al-Banna boleh kita jadikan contoh untuk membakar spirit perjuangan kita, banyak lagi kisah-kisah srikandi yang lain.

Andai dipanjangkan umur, perjalanan hidup kita masih jauh, saat ini masih di kampus, 2,3 tahun mendatang alam baru akan ditempuhi. Saya menyeru diri dan teman-teman, kita perlukan persiapan yang kukuh untuk sebuah perjuangan hidup yang panjang. Saya kira kita tidak perlu segan unutuk berbicara tentang Baitu Da’wah yang akan masing-masing kita bina. 
 Tapaknya adalah kefahaman Islam yang sebenarnya, memahami tuntutan sebuah perjuangan, bukan tuntutan nafsu, kerana ‘Istana’ yang dibina ini juga adalah wasilah untuk kita ke syurga.
 Saya dan kalian punya dream yang berbeza, namun pokoknya adalah biar Bait Da’wah yang dibina ini makin menguatkan langkah perjuangan kita, malah menjadi tapak untuk lahirnya generasi yang akan menyambung perjuangan agar Islam kan terus gemilang dengan pendokong-pendokongnya.
 Buat akhawat, siapkan diri sepenuhnya kerana kita akan menjadi sayap kiri dalam Bait Da’wah nanti. Andai masa ini kita masih lagi bersikap sambil lewa terhadap amalan diri , kurangnya ilmu, kurang berdisiplin, bersikap negatif..mungkin Bait Da’wah yang akan kita bina nanti hanya tinggal angan kosong.

Moga kita akan  menjadi seperti Lathifah, tegar di sisi A-syahid Imam Hassan Al-Banna..
 Ya Allah, jadikanlah kami srikandi sejati yang menyedari dan memahami tuntutan perjuangan Islam, tidak kan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan Ummat, kurniakanlah kami cinta-MU sehingga kami tidka kan pernah meminta cinta selain-MU, dan tidakkan kami goyah pada cinta dunia ini kerana hebatnya rasa penggantungan dan rasa Cinta pad-MU..

~ Jundatulllah~
Bait Srikandi : 5-mei-2010- 12:45

SIFAT JEMAAH ISLAM DAN AHLINYA - Dewan Ulamak PAS Pusat

PAS adalah Jemaah Islam yang menggunakan politik sebagai wasilah untuk melaksanakan tuntutan Al Quran dan As Sunnah. PAS bukan sekadar parti politik tetapi juga merupakan organisasi dakwah yang mengajak supaya masyarakat berada di dalam bahtera yang menyelamatkan mereka. Tohmahan yang mengatakan PAS itu hanya parti politik semata-mata adalah tuduhan yang tidak bertanggungjawab dan dikira sebagai cubaan untuk memeta jemaah mengikut nafsunya. Jemaah Islam sepatutnya bersatu sekalipun berlainan posisi dalam melaksanakan peranan dakwah.

Inilah padahnya apabila sesebuah jamaah tidak menghayati sifat-sifat sebuah hizbuLlah.

JEMAAH yang terdapat di kalangan anggotanya sifat-sifat hizbullah adalah seperti berikut:
1]. Cintakan Allah SWT dan Allah cintakan mereka.
2]. Merendah diri sesama Mukmin. Tidak meninggi diri atau meleceh-lecehkan mereka.
3]. Bersikap tegas dengan orang-orang yang tidak Mukmin.
4]. Berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang membencinya.
5]. Memberi kesetiaan kepada Allah, Rasul-Nya dan para Mukmin (pemimpin).
6]. Mendirikan solat.
7]. Menunaikat zakat.
8]. Sentiasa takut kepada Allah Taala.

Sifat-sifat yang tersebut di atas itu selari dengan firman Allah Taala di dalam Al Quran yang bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman. Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (menjadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang salaing kasih-mengasihi (dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia); mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas (gagah) terhadap orang-orang kafir; mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah Kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya. Sesungguhnya penolong engkau hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung segala perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah Taala dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah Taala, itulah yang tetap menang" (Al Maidah:54-56)

Selain daripada itu, jamaaah Islamiah adalah juga dianggotai oleh mereka yang memiliki sifat-sifat berikut :

1].Sentiasa bertafakkur kepada kebesaran Allah dan kejadiannnya. Allah berfirman sebagaimana maksudnya,"Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman" (Al Jathiyah:3)

2].Takut hanya kepada Allah. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud,"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka" (Al Anfal:2)

3].Taat kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah yang bermaksud,"...Serta taatlah kepada Allah Taala dan RasulNya, jika benar-benar kamu orang-orang yang beriman" (Al Anfal:1)

4].Kembali kepada hukum Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada - Ulil-Amri (orang-orang yang menjadi pimpinan kamu) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu bantah-membantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya; jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya" (An Nisa':53)

5].Berkasih sayang kerana Allah dan membenci juga kerana Allah. Sabda Rasulullah,"Sesungguhnya sekuat-kuat ikatan iman itu ialah kasih sayang kamu kerana Allah dan benci kamu kerana Allah" (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Baihaqi).

6].Benar-benar bertawakal kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud,"Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah Tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya,'Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman" (Al Maidah:23)

7].Saling ingat mengingati di antara satu sama lain. Firman Allah Taala bermaksud,"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman" (Az Zaariyat:55)

8].Berbudi pekerti yang mulia. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud,"Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling mulia pekertinya" (Hadis diriwayatkan di dalam Sunan Abi Dawud dan lain-lain).

9].Bergembira apabila melakukan perkara taat kepada Allah dan berdukacita bila melakukan maksiat. Sabda Rasulullah S.A.W,"Apabila kamu merasa gembira setelah melakukan kebaikan dan merasa berdukacita setelah melakukan keburukan, maka itu tandanya kamu beriman" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim)

10].Berjuang secara amali, tidak hanya teori mahupun lisan semata-mata dan ia turun ke medan tidak hanya di tempat-tempat yang tertentu sahaja (yang eksklusif sahaja). Sebagai mana sabda Rasulullah S.A.W,"Akan terus wujud segolongan umatku yang berjuang di atas kebenaran dan berterus-terang sehinggalah ke hari akhirat (kiamat)" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim).

Berdasarkan kepada prinsip-prinsip gerakan Islam seperti yang dibentangkan di atas, maka dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa mana-mana gerakan Islam yang wujud mestilah mempunyai asas dan matlamat penubuhannya. laitu ia ditubuhkan di atas kesedaran sendiri, bukan didorong oleh rasa tidak puas hati kepada gerakan Islam yang telah sedia wujud.

Oleh : Ustaz Haron bin Taib
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Kehebatan Allah melalui perumpamaan ayat Al-Quran~



Ayat-ayat yang berkait dengan perumpamaan ini terlalu banyak disebut oleh Allah Taala di dalam Al Quran. Di awal surah ini telah dijelaskan tentang dua perumpamaan ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud,
 "Dan telah dijadikan kegelapan dan cahaya". (Surah Al An'am:1).

Sebahagian Para Sahabat R.A telah menghuraikan tafsiran berkenaan dua orang lelaki yang berbeza disebut oleh Allah dalam ayat ini iaitu-lah seorang lelaki yang hidup manakala seorang lelaki yang lain mati.

Saidina Umar Al Khattab R.A berkata, "Perumpamaan orang yang hidup dan mendapat petunjuk ialah seperti mayat manusia (orang mati) kemudian dihidupkan Allah. Selepas itu Allah Taala telah menyinari perjalanan hidupnya dengan cahaya yang membolehkannya berjalan dengan betul di kalangan manusia". Dikatakan bahawa Amar bin Yasir dalam menafsirkan ayat ini berpendapat yang dimaksudkan dengan orang yang berada dalam kegelapan kesesatan sehingga dia tidak dapat keluar darinya ialah Abu Jahal, Amr bin Hisyam (laknat Allah ke atasnya).

Yang sahihnya ayat ini adalah umum, menyentuh siapa sahaja yang berada dalam petunjuk dan kesesatan, tentu kedua-dua keadaan itu mempunyai perbezaan yang jauh antara satu sama lain. Tidak ada kesamaan antara yang hak dan yang batil, petunjuk dan kesesatan, benar dan salah, Islam dan kufur buat selama-lamanya. Setiap orang yang beriman dan kafir membabitkan diri dalam dua keadaan ini dan sudah pasti ada dua perbezaan dalam kesudahan dan pembalasannya sama ada ke syurga atau ke neraka Allah di hari akhirat kelak.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Yang demikian itulah kami hiaskan (rasa baik dan bagus) ke atas segala perbuatan orang kafir itu". (Surah Al An'am:122)Yakni sebagaimana iman itu diperlihatkan bagus di hati dan perasaan orang-orang yang beriman maka demikianlah juga kesesatan, kufur, maksiat dan kejahilan itu diperlihatkan baik pada pandangan orang-orang kafir. Mereka merasa selesa dan bahagia (kononnya) dengan kesesatan itu pada hal ia telah memudaratkan kehidupan mereka di dunia ini sama ada mereka sedar atau tidak. Ini semua adalah satu pengajaran dan hikmah yang besar dari Allah untuk manusia seluruhnya agar mereka memilih jalan yang betul dan hidayah Islam sekaligus meninggalkan segala perkara yang bercanggah dengannya.

Tiada sekutu bagi Allah dalam semua perkara yang dilakukan oleh manusia. Ertinya sekiranya mereka men-yengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam kehidupannya sudah pasti ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata. Justeru, pilihlah jalan petunjuk yang terkandung di dalam Al Quran dan jalan petunjuk yang dinyatakan oleh Nabi S.A.W, melalui hadis-hadisnya yang banyak. Manusia memerlukan petunjuk Allah walau sebijak mana sekalipun pemikiran dan akal yang ada pada mereka. Ini kerana manusia tetap lemah dan mempunyai kelemahannya yang banyak.

Dengan kelemahan yang ada pada manusia itu, mereka memerlukan petunjuk dari Tuhan Yang tidak ada sebarang kelemahan dalam segala hal dan tindak tanduk-Nya sama ada pada sifat, nama dan perbuatan-Nya, dalam penciptaan-Nya dalam hukum hakam-Nya dan dalam kemutlakan pemerintahanNya.

Di dunia manusia diberi kuasa pemerintahan mentadbir bumi buat sementara waktu dan menggilir-gilirkannya di kalangan manusia sama ada di kalangan orang beriman dan kafir. Tetapi kekuasaan dan pemerintahan mutlak ialah di tangan Allah, tidak ada siapa boleh mencabarNya khususnya di hari kiamat kelak. Di hari itu tahulah siapa yang berada di pihak yang benar dan siapakah yang sesat, namun penyesalan pada hari itu tidak ada gunanya lagi. Allah telah jelaskan petunjuk di dunia ini melalui Al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W untuk panduan manusia.

Justeru carilah sesuatu yang sempurna untuk mengaturkan kesempurnaan kehidupan bukan mencari yang kurang dan lemah untuk mengatur kehidupan manusia. Berdegil dalam mencari kesempurnaan ini, buruklah akibat balasan dan kesudahan kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Mereka perlu membuka dada untuk menerima petunjuk Allah kerana itulah caranya untuk menyelesaikan segala kemelut kehidupan manusia sehingga hari kiamat. - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Kami Bukan di Zaman Abrahah



Peristiwa mengenai keangkuhan Abrahah Al Ashram yang membawa ketumbukan tentera bergajah dari Yaman ke Makkah untuk menghancurkan Kaabah, sangat popular di kalangan semua. Ketika perjalanan Abrahah menuju ke Makkah, tentera-tenteranya telah merampas 200 ekor unta milik Abdul Muttalib, Datuk Baginda Nabi S.A.W. Lantaran itu sebelum Abrahah tiba ke Kota Makkah, Abdul Muttalib muncul di hadapannya untuk melakukan rundingan. Abdul Muttalib merupakan ketua gugusan Tanah Arab di sekitar Kota Makkah ketika itu. Beliau mendesak Abrahah agar haknya dikembalikan.

Ketika Abrahah melihat keberanian Abdul Muttalib, terdetiklah perasaan kagumnya terhadap kewibawaan yang dimiliki pemimpin kaum Arab ini. Abrahah bertanya kepadanya dengan nada yang perlahan,”Apakah hajat engkau datang menemuiku?

“Aku mahu penguasa kerajaan bergajah ini mengembalikan 200 ekor unta yang telah dicuri, unta-unta tersebut adalah milikku”, kata Abdul Muttalib dengan tegas.

Pada mulanya Abrahah menyangka Abdul Muttalib akan meminta supaya dia membatalkan hasratnya membinasakan Kaabah, tetapi hal yang berlaku adalah sebaliknya.

Berkatalah Abrahah, "Aku merasa terpesona ketika mula-mula melihatmu. Tetapi keterujaanku itu hilang apabila engkau merendahkan kewibawaan yang ada pada dirimu dengan permintaan kerdil seperti itu".

Menurut Abrahah, jika dia mampu membawa ratusan ekor gajah menuju ke Makkah, apatah lagi 200 ekor unta kurus milik Abdul Muttalib. Tentulah Abrahah mampu melakukannya. Abrahah mula memperkecil-kecilkan Abdul Muttalib kerana tujuan pertemuan itu dilakukan bukan untuk mempertahankan Kaabah, tetapi hanya sebuah permohonan agar unta-unta Abdul Muttalib dikembalikan.

Kata Abrahah, "Adakah tujuan kedatanganmu hanya kerana 200 ekor unta? Adakah engkau tidak mempedulikan nasib yang akan menimpa rumah ibadatmu (Kaabah), yang menjadi simbol agamamu, agama nenek moyangmu, agama kaummu  yang akan ku musnahkan dengan kekuatan kerajaanku. Adakah engkau melupakan hal yang lebih besar dari itu untuk engkau tanyakan kepadaku?
Lalu Abdul Muttalib menuturkan kalimah dengan begitu yakin, "Sesungguhnya aku ini adalah pemilik unta yang engkau rampas, sedangkan rumah (Kaabah) itu ada Tuhan yang menjaganya".

Inilah mauqif (pendirian) yang dilontarkan Abdul Muttalib kepada Abrahah. Sebuah pendirian yang boleh dianggap tiada semangat kesateriaan, kerana tindak balas sepi yang dilakukan Abdul Muttalib terhadap pencerobohan yang sewenangnya dilakukan oleh Abrahah.

Jikalau hari ini tujuan hidup manusia semata-mata untuk mencapai kenikmatan hidup, ataupun menghimpunkan seluruh kelazatan dunia semahunya, sedangkan pada masa yang sama mereka meletakkan kedudukan agama Allah ibarat melukut di tepi gantang, adakah hamba seperti ini akan diberikan perhatian oleh Allah?!

Adakah orang seperti ini akan dibantu oleh Allah?

Sesiapapun yang berpegang dengan iktiqad yang rapuh, hidup dengan jiwa yang kosong tidak memiliki sensitiviti bahawa agamanya sedang diinjak-injak dan dipermainkan, maka bermakna seseorang itu mengalami kejahilan yang sangat serius. Orang seperti ini sebenarnya tidak tahu apakah misi sebenar kedudukannya sebagai manusia yang dihidupkan di atas muka bumi.

Tatkala tentera-tentera Abrahah meluru masuk ke Makkah, penduduk Arab yang diketuai oleh Abdul Muttalib itu hanya bersikap pasif. Mereka mengosongkan rumah dan lari menuju ke lereng-lereng bukit, melihat dan membiarkan tentera-tentera Abrahah yang mengendarai gajah, melanyak dan mencabul ruang suci Kota Makkah.

Sikap ‘selamba’ yang ditunjukkan penduduk Makkah waktu itu akhirnya diberikan pertolongan yang hebat dari Allah Taala. Allah menurunkan perajurit-perajurit-Nya berupa burung Ababil, burung-burung yang membawa serpihan-serpihan batu panas dari ‘sijjil’ sehingga berhasil menggagalkan rancangan jahat Abrahah.

Persoalannya, mengapa burung-burung Ababil itu hadir?

Kenapa Allah memberikan pertolongan kepada kaum yang pasif tidak berjihad mahupun melawan?

Ini kerana, sudah menjadi sunnatullah (ketetapan Allah) kepada kaum yang terdahulu (sebelum umat Islam) bahawa orang yang zalim akan dimusnahkan dengan perkara-perkara ‘hissi’ yang ajaib menurut kekuasaan-Nya. Allah menghancurkan kaum-kaum yang mengkhianati Para Rasul, biarpun realiti yang menimpa kepada orang beriman pada waktu itu mereka tidak mengangkat senjata untuk berjuang, ataupun tidak bertembung dengan musuh di medan perang.

Selain dari kehancuran Abrahah, ada lagi peristiwa-peristiwa lain yang turut menakjubkan berlaku kepada kaum-kaum Para Nabi terdahulu yang tidak beriman. Sunnatullah ini berlaku kepada musuh-musuh Allah dan kerajaan-kerajaan yang zalim, bermula sejak zaman kerasulan Para Nabi yang terdahulu sehinggalah kepada zaman Abrahah yang dicelakakan.

Tetapi, Allah telah menetapkan suatu sunnahNYA yang baharu, iaitu selepas 50 tahun berlalunya peristiwa Abrahah dihancurkan; Iaitu setelah kelahiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini, ketika keterpurukan melanda di beberapa penjuru wilayah Islam, ketika umat Islam meratap penuh keprihatinan, timbul dalam persoalan kita, bilakah Islam akan kembali berdaulat? Bilakah kemenangan akan diraih setelah berjam-jam kita bermunajat?

Saudara, kita bukan lagi di zaman Abrahah! Jika Allah mengirimkan burung-burung Ababil menghancur-lantak kekuatan Abrahah dan pasukan bergajahnya, sekarang umat Islam tidak memperoleh pertolongan tersebut dengan hanya duduk bersilang panggung menunggu janji-janji kemenangan tersebut.

Inilah kaedah sunnatullah yang perlu dilalui oleh umat Islam, berbeza dari zaman-zaman kaum sebelumnya, “Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membelamu (mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu” - Surah Muhammad:7

Kerana itu, umat Islam mesti bangkit dengan amal yang ikhlas kepada Allah. Jika umat Islam melaksanakan kerja demi kebangkitan syiar-Nya, mereka akan dikurniakan satu keajaiban yang seakan-akan suatu kurniaan seperti Ababil melingkupkan tentera Abrahah.

Allah akan menurunkan pertolongan tersebut dalam bentuk keberkahan dan rahmat, keamanan dan petunjuk kepada mereka yang beriman. Umat Islam yang bekerja untuk agamanya, akan membuatkan mereka yang ingkar sengsara, tidak menentu fikirannya, rungsing jiwanya, bercelaru perasaannya. Tetapi tanpa gerak kerja yang teratur dan tersusun, kemas dan berterusan, berita-berita mengenai pertolongan yang Allah janjikan itu tidak akan dinikmati oleh umat Islam.

Hakikatnya, Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam yang malas.

Allah tidak akan menganugerahkan keunggulan kepada umat Islam yang tidak bekerja untuk agamanya.

Tidaklah menghairankan sewaktu kita berterusan memanjatkan doa yang berbunyi, “Ya Allah binasakan orang-orang yang zalim menerusi perbuatan jahatnya dan keluarkanlah kami dari angkara mereka agar kami termasuk di kalangan orang-orang yang diberikan keselamatan!!!”.

Tetapi doa itu tidak memperlihatkan kebenaran sepantas kerlipan mata, tiada apapun perubahan setelah doa itu dibacakan.

Adakah Allah tidak memakbulkan permintaan tersebut?

Tidak wahai saudara, Allah pasti akan memperkenankan doa setiap hambaNya, tetapi mesti dengan gerak kerja, bukannya menjadi manusia yang hanya menunggu mukjizat dan keajaiban, menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa diturunkan. Kerana seorang aktivis gerakan Islam mestilah mendokong suatu ketetapan ini,“Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

Natijah Perang Ahzab : Strategi & Gerak Kerja

Di dalam peperangan Khandak yang juga dikenali sebagai perang Ahzab, Nabi Muhammad S.A.W bersama Para Sahabat merangka pelbagai strategi dan gerak kerja, bukan hanya duduk bersahaja menunggu mukjizat ‘Ababil’ dari Allah Taala. Sekalipun pada waktu itu mereka dikepung, jumlah mereka sedikit dan sumber makanan dicatu. Tetapi hal itu tidak menyebabkan mereka putus harap, malah berusaha mencapai kemenangan.

Para Sahabat tidak sekadar bermesyuarat dan mencetuskan gimik-gimik strategi, tetapi gerak kerja adalah kesinambungan dari kemenangan dalam peperangan tersebut. Tiada elemen-elemen perkauman dan nasionalis, apabila cadangan Salman yang berbangsa Farsi itu diangkat Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat sebagai strategi kemenangan.

Kaum Muslimin dibahagikan kepada beberapa kelompok, tiap-tiap 10 orang ditugaskan menggali parit sepanjang 40 hasta. Semuanya berusaha menggali kawasan masing-masing dengan penuh kesungguhan dan Baginda S.A.W turut merangsang dan menyertai mereka.

Tiada seorang musyrikin-pun yang mampu melepasi jarak parit tersebut kecuali semuanya terbunuh dek panah yang meluncur laju dari busur tentera Muslimin. Para tentera Muslimin pula dengan sabar menanti kesilapan yang bakal dilakukan oleh musuh-musuhnya, sekalipun pada waktu itu mereka sengsara menahan kelaparan.
Manakala Nu'aim bin Mas’ud dari Bani Ghatafan (salah satu kabilah Yahudi) yang telah masuk Islam tanpa pengetahuan kaumnya, telah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk memporak-perandakan musuh dengan kecerdikan dan tipu-muslihat. Bangsa Ghatafan di-domba oleh Nu’aim agar meragui kafir Quraish, sebaliknya bangsa Quraish turut dihasut supaya tidak percaya kepada Bani Ghatafan sehingga menyebabkan mereka saling curiga-mencurigai.

Kata Rasulullah S.A.W kepada Nu’aim, “…Perdayalah mereka semampumu, kerana perang itu adalah muslihat dan tipu daya” (rujuk Al Bidayah wan Nihayah jilid 4 hal.13)

Selepas itu, Rasulullah S.A.W  mengadu kepada Allah, “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan Al Quran, lakukan segera perhitungan, hancurkanlah tentera Ahzab. Ya Allah! Hancurkan mereka dan berilah kemenangan kepada kami”.

Doa Rasulullah S.A.W dijawab dengan deruan angin lintang, keras dan mencengkam, menghentam dan menerjah ruang gelita malam sehingga menyebabkan musuh Islam kelam-kabut dan takut dengan bayang-bayang sendiri. Akhirnya mereka mengundurkan diri dan generasi terbaik yang ditarbiyah Baginda Nabi ini menerima kemenangan dari Allah Taala.

Itulah ‘Ababil’ yang dikurniakan Allah kepada umat Baginda S.A.W setelah dibuktikan dengan ukiran usaha dan gerak kerja. Yakinlah umat Islam pasti menang, tetapi mestilah ia dilengkapkan dengan syarat-syarat kemenangan, “Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

Akhir

Kita bukan lagi di zaman Abrahah, iaitu suatu zaman yang menghasilkan kemenangan dari Allah tanpa keringat dan syarat. Tetapi kita adalah umat yang berada di zaman Rasulullah S.A.W yang mengisyaratkan kemenangan hanya setelah didokongnya syariat.

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, banyak peristiwa murtad berlaku di tanah Arab malah ada yang mengaku dirinya utusan Allah setelah perginya Al Amin umat ini. Seramai 10’000 mengekor ajaran songsang yang dibawa oleh Musailamatul Kazzab, beserta kesesatan yang bermaharajalela itu tidak pula kelihatan kelibat ‘Ababil’ yang menurunkan batu dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat mencintai para Mukminin, membenci kekufuran yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah.

Melalui perintah Khalifah pertama Rasulullah S.A.W, Abu Bakar As Siddiq mengarahkan Khalid bin Al Walid membersihkan najis murtad, Musailamah beserta pengikutnya.

Pada tahun 492 H (1099 M), tanah Palestin dikepung, seramai 70’000 orang Islam dibunuh oleh tentera Salibiyyah. Namun, tidak juga kelihatan ‘Ababil’ yang mewakili tentera Allah, membawa kerikil panas dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat optimis dengan kemenangan Islam, hidup dan matinya di medan perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Dia adalah Salahuddin Al Ayyubi dan bersamanya tentera mujahidin yang membersihkan Baitul Maqdis dari penindasan dan kezaliman Salibiyyah.

Kemudian Tatar melanyak Baghdad pada 656 H, berjuta-juta mangsa terbunuh dalam tempoh 40 hari. Kala itu para penguasa dipenggal kepala, kanak-kanak menjadi yatim, isteri-isteri menjadi janda, anak-anak gadis dipaksa menanggung benih onar tentera kejam yang dikepalai Hulago Khan, Jeneral Monggol yang dipuja sebagai dewa perang tak terkalah. Umat Islam mendekam beberapa tahun, dihina dan dipermainkan. Lalu penantian tersebut tidak juga menghasilkan siulan ‘Ababil’, yang membawa batu berapi dari sijjil.

Sebaliknya seorang pemuda yang mencintai Rasulullah S.A.W, yang meletakkan ulama sebagai penasihatnya, berhasil mengembalikan kewibawaan umat Islam dengan keyakinan dan semangat jihad. Dia adalah Saifuddin Qutuz.

Puak sesat Qaramithah pernah menawan Kaabah pada 8 Zulhijjah 317 H. Lebih dahsyat dari itu apabila lantai Kaabah dipenuhi darah, Hajarul Aswad dicabut dari tempat asalnya, mereka kencing sambil bertawaf dengan kuda, lalu sambil ketawa berdekah-dekah para pengikut ajaran Qaramithah yang diketuai Abu Tahir Sulaiman Al Janabi itu mengangkat Hajarul Aswad ke langit sambil mengeluarkan perkataan penuh kekufuran.

”Di mana Ababil?

“Di mana batu-batu dari sijjil?!

Dan tidak turun juga Ababil, tiada lontaran batu dari neraka sijjil. Sepanjang tahun pencabulan itu, umat Islam melaksanakan ibadah haji di Makkah tanpa Hajarul Aswad sehinggalah ia dipulangkan kembali pada tahun 339H.

Fahamilah, Islam agama yang menghasilkan natijah dengan gerak kerja, menumbuhkan tauhid dengan amalan, meletakkan asas kemenangan dengan syarat iaitu, “Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

Rumusan ditulis ringkas oleh Mohd Azmir bin Maideen berkaitan kuliah sirah yang disampaikan oleh Dr.Raghib As Sarjani, “Lasna fi zamaani Abrahah”

Manusia:Antara hujan dan banjir..




Sekarang kita di musim tengkujuh. Hujan dan ribut saling mendahului untuk melanda bumi . Ada yang mengeluh dan ada juga yang bersyukur . Ada yang ditimpa musibah lalu kampung dan rumahnya ditenggelami air , namun mereka sabar menghadapinya . Tidak kurang juga yang menyumpah seranah dan memaki hamun lalu menyalahkan pelbagai pihak kerana kegagalan membina parit , longkang dan benteng yang boleh menghalang banjir.

Musim begini , banyak tugas harian tergendala. Pekebun getah pastinya bercuti panjang demikian juga nelayan di laut , pastinya mereka jua terpaksa menggantung pukat buat tempoh yang agak panjang .

Pendek kata , banyak urusan terpaksa ditunda ke satu tempoh yang lain . Namun di sana ada satu urusan dan tugas kita sebagai manusia yang tidak boleh ditunda atau ditangguhkan , biarpun musim tengkujuh ini kian buruk keadaannya.

TUGAS MANUSIA

Tugas yang saya maksudkan tersebut ialah tugas ibadah atau pengabdian diri kepada Allah swt. Ianya tidak terhenti setakat sembahyang dan membaca al quran semata – mata , tetapi merangkumi semua tanggungjawab yang mendekatkan diri kita selaku makhluk ( manusia ) kepada Khaliq ( Allah swt. )

Antara tugas utama kita ialah meneruskan perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah swt. Ianya tidak mungkin boleh ditangguhkan biarpun seketika. Apalah sangat hujan air sehingga kita menghentikan tugas – tugas perjuangan sedang sebahagian dari saudara seaqidah kita , sedang bergelut dan bertempur di bawah hujan peluru demi mendaulatkan Islam.

Malah , suatu yang menarik , hujan yang turun ini adalah antara bukti keagungan Ilahi , tuhan yang selayaknya disembah oleh kita manusia.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ. الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai sekalian manusia! Abdikanlah dirimu kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). Al-Baqarah : 21–22

HIDUP DAN MATI ADALAH UJIAN ALLAH

Air adalah sumber kehidupan . Tanpa air , tiada satu pun makhluk bernyawa mampu hidup di muka bumi ini. Kehidupan menjadi sempurna dengan air yang diturunkan Ilahi. Namun kehidupan itu pula bukanlah segalanya , sebaliknya ia adalah satu ujian pula dari Ilahi untuk melihat siapakah yang mengabdikan diri kepada Allah swt. tuhan yang menghidupkan mereka dengan air sebagai alat bantu kehidupan. Firman Allah swt :

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِير. الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). Surah al-Mulk : 1 – 2

PELBAGAI UJIAN DARIPADA ALLAH

Kehidupan adalah sebuah perjuangan . Sebagaimana pentas perjuangan dihiasi pelbagai ujian Ilahi , selayaknya kehidupan ini jua dihiasi dengan pelbagai ujian dari Allah , menepati system nilai guna menyaring siapakah yang sabar dalah meredah pelbagai ujian tersebut.

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Surah al-Baqarah:155

Ujian Senang & Susah

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan ( kejahatan ) dan kesenangan ( kebaikan ) sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Surah al-Anbiya’:35

ALLAH PEMBERI RAHMAT

Sungguhpun ujian Ilahi dalam bentuk hujan dan banjir ini amat getir untuk dihadapi , namun ia adalah rahmat dari Allah Jalla wa A’la. Sebagai insan beriman , kita sangat yakin , segalanya tersimpan dalam ilmu Allah swt. Bahawa apa yang berlaku tidak sia – sia melainkan terlalu banyak iktibar yang perlu dilihat oleh kita . Firman Allah swt :

قُلْ مَن ذَا الَّذِي يَعْصِمُكُم مِّنَ اللَّهِ إِنْ أَرَادَ بِكُمْ سُوءًا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً وَلَا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka. Surah Al-Ahzab : 17

AIR HUJAN ADALAH RAHMAT DAN NIQMAT

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Biasanya apabila hari berangin atau mendung, wajah Rasulullah s.a.w kelihatan gelisah. Bila hujan mulai turun, wajah baginda menjadi berseri dan hilanglah kegelisahan baginda. Aisyah bertanyakan hal itu kepada baginda. Baginda menjawab: Aku bimbang angin atau mendung itu menjadi azab untuk menyiksa umatku. Jika baginda melihat hujan, baginda akan berkata: Itu adalah rahmat.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki masuk ke masjid pada hari Jumaat dari satu pintu yang menuju ke arah Darul Qadha (rumah Umar bin al-Khattab).

Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri sambil berkhutbah. Orang itu menghadap Rasulullah s.a.w sambil berdiri, kemudian berkata: Wahai Rasulullah! Segala harta benda telah musnah dan jalan-jalan menjadi terputus (iaitu mereka tidak lagi dapat menggunakan unta kerana bimbang unta mereka mati malah boleh mengurangkan binatang ternakan mereka disebabkan cuaca pada ketika itu), oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan menurunkan hujan kepada kita. Rasulullah s.a.w lalu mengangkat kedua tangan dan berdoa

اللَّهُمَّ أَغِثْنَا اللَّهُمَّ أَغِثْنَا اللَّهُمَّ أَغِثْنَا

Yang bermaksud: Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami.

Kata Anas: Tidak, demi Allah! Kami tidak lihatpun di langit ada mega atau gumpalan awan. Di antara kami dengan gunung tidak ada satu pun rumah atau perkampungan (yang menghalangi pandangan kami untuk melihat tanda-tanda akan turunnya hujan). Tiba-tiba muncul mega bagaikan perisai di sebalik gunung. Ketika berada di tengah-tengah langit, mega itu mulai melebar kemudian menurunkan hujan. Tidak, demi Allah! Kami tidak melihat matahari sedikit pun.

Pada hari Jumaat berikutnya masuk pula seorang lelaki dari pintu yang sama, ketika itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri sambil berkhutbah. Orang itu menghadap baginda sambil berdiri, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Banyak harta benda yang binasa dan jalan-jalan telah terputus. (Kali ini kerana terlampau banyak hujan). Oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan menahan hujan dari kami. Rasulullah s.a.w pun mengangkat kedua tangan lantas baginda berdoa :

اللَّهُمَّ حَوْلَنَا وَلا عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah musnahkan kami. Ya Allah! Engkau turunkanlah ia di atas gunung-gunung dan bukit-bukau, di lembah-lembah dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.

Hujan pun reda dan kami dapat keluar, berjalan di bawah sinar matahari.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Abu Jahal berdoa: Wahai tuhanku sekiranya al-Quran ini betul datang dari sisiMu, maka turunkanlah hujan batu dari langit atau timpakan kepada kami siksaan yang pedih. Lalu turunlah ayat

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيْهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ وَمَا لَهُمْ أَلا يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Yang bermaksud: Dan Allah tidak sekali-kali akan menyiksa mereka, sedangkan ‘engkau wahai Muhammad ada di antara mereka dan mengapa mereka tidak patut disiksakan oleh Allah sedangkan mereka menyekat orang2 Islam daripada Masjidil Haram sehingga ke akhir ayat
BANJIR MENJADI BALA UMAT TERDAHULU

Antara rahmat Ilahi melalui air hujan dan banjir yang melanda ini ialah sebagaimana yang pernah Allah timpakan kepada ummat terdahulu sebagai balasan terhadap keangkuhan dan kesombongan mereka dihadapan Allah swt. Ianya menjadi rahmat buat insan yang taat dan bala buat mereka yang derhaka .

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُور. فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. Surah Saba’ : 15–16

مِّمَّا خَطِيئَاتِهِمْ أُغْرِقُوا فَأُدْخِلُوا نَارًا فَلَمْ يَجِدُوا لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ أَنصَارًا

Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan). Surah Nuh:25

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim". Surah Hud:44

BALA TUHAN MERATA KEPADA ORANG JAHAT DAN BAIK

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya. Surah Al-Anfaal:25

BANJIR DI AKHIRAT

Satu penegasan yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak , ialah banjir di akhirat kelak .

حَدِيثُ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا : عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ) قَالَ يَقُومُ أَحَدُهُمْ فِي رَشْحِهِ إِلَى أَنْصَافِ أُذُنَيْهِ 

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda mengenai firman Allah ( يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ) Yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan Semesta Alam. Baginda bersabda: Seorang daripada mereka tenggelam dalam peluhnya sehingga paras telinga.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Parti Islam Menang Pilihanraya

Parti Islam PJD menang pilihan raya Morocco

PAS turut mengucapkan tahniah kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang dilaporkan memenangi jumlah terbesar kerusi dalam pemilihan parlimen Morocco.

"PAS mengucapkan tahniah kepada Parti Keadilan Morocco yang telah berjaya memenangi pilihan raya di negara itu yang diadakan Jumaat lalu.

"Kita melihat kemenangan yang ditempa parti berteraskan Islam ini sebagai petanda positif rakyat yang kini mahu berubah untuk menerima parti Islam sebagai pemerintah," kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Seorang tokoh berpengaruh parti Islamik moderat Morocco itu, Lahcen Daodi mendakwa, berdasarkan laporan yang disampaikan mereka memenangi pilihan raya di Rabat, Casablanca, Tangier, Kenitra, Dijual, Beni dan Sidi Ifni Mellal dan beberapa tempat lainnya.

"Parti kami telah memenangi jumlah kerusi tertinggi," tambahnya.

PJD ini akan menjadi parti Islam moderat yang kedua yang memimpin pemerintah Afrika Utara sejak awal pemberontakan Musim Semi Arab menyusul Tunisia.

Keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan bagi pilihan raya kali ini adalah 395 kerusi parlimen dan PJD didakwa memenangi lebih separuh darinya.-HD

Pilihanraya Mesir: Parti Ikhwanul-Muslimin Dahului Kiraan Undi


Pergerakan Ikhwanul Muslimin mendakwa parti politik baharunya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mendahului keputusan awal pilihan raya parlimen Mesir.


Ikhwanul Muslimin pernah diharamkan semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak yang meletak jawatan semasa gelombang kebangkitan rakyat Mesir pada Februari lalu.


Sebelumnya, parti Ikhwanul Muslimin di Mesir sempat mengancam akan memboikot peilihanraya apabila undang undang darurat Mesir yang dilaksanakan di era kepemimpinan Husni Mubarak tidak dibatalkan.


Ikhwanul Muslimin bersama koalisi 37 parti politik mendesak Dewan Ketenteraan Mesir agar memperakukan, seandainya undang-undang tersebut tidak dihapuskan, mereka tidak akan meneyertai dalam proses pilihanraya umum yang hendak dijalankan.


Mereka juga mendesak Dewan Ketenteraan Mesir agar melarang para menteri Mesir di era Mubarak ikut serta di dalam pilihanraya umum.


Pasca turunnya Mubarak, populariti parti Ikhwan memang semakin meningkat di Mesir. Partai tersebut dianggap sebagai parti yang akan membawa perubahan di negara tersebut.


"Sejak proses mengundi hingga sekarang ini (semalam), keputusan awal menunjukkan FJP sedang mendahului parti-parti lain," kata satu kenyataan Ikhwanul Muslimin tanpa mengulas lanjut.


Pilihan raya tersebut dilangsungkan oleh pemerintah sementara Mesir iaitu Majlis Tertinggi Pasukan Bersenjata (SCAF) bagi memenuhi janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada penduduk awam.


Tercatat 55 buah parti politik ikut serta di dalam pemilihan tersebut dimana sebanyak 498 kerusi disediakan di parlimen dan Ikhawanul Muslimin sudah berjaya memperolehi 40 peratus suara dalam pemilihan umum tersebut. Demikian seperti diberitakan Reuters, Rabu (30/11/2011).


Mesir yang memiliki sekitar 80 juta penduduk merupakan bekas negara naungan British.


Ia merdeka pada 1922. -blog GB




TUNISIA - Yahudi Kecewa Parti Islam Menang 

Gilles Jacob Lellouche, seorang anggota minoriti Yahudi Tunisia, hanya mengangkat bahu saat merenungkan masa depan di bawah pemerintahan yang dijalankan oleh parti Islam yang menyapu pemilihan umum bebas pertama di negara itu.

"Kami akan menunggu dan melihat," katanya terkait tentang kekhuatiran kebebasan minoriti dapat berada di bawah ancaman.

"Orang-orang telah berbicara, dan mereka telah memilih parti Islam An-Nahdhah," katanya kepada AFP.

Lellouche adalah calon tunggal asal Yahudi dari lebih 10.000 calon terdaftar dalam pilihan raya untuk maju sebagai anggota parlimen yang akan menulis ulang konstitusi - untuk pertama kalinya di Tunisia. Dia bertanding atas tiket Persatuan Republik Rakyat, yang memenangi satu kerusi yang jatuh ke kandidat lain.

"Tunisia tidak siap untuk membuka pintu ke kediktatoran baru yang baru saja ditinggalkan. Tetapi kami mesti tetap waspada," katanya menegaskan.

Ketika ditanya apakah orang-orang di komuniti Yahudi memandang positif tentang masa depan di bawah kekuasaan parti An-Nahdhah, dia menjawab: "Mereka tidak berpandangan negatif. Ada perbedaan substansial."

Tunisia memiliki salah satu minoriti terbesar Yahudi di dunia Arab, diperkirakan ada 1,500 orang dari total populasi lebih dari 10 juta penduduk Tunisia.

Lellouche mencatat bahawa Tunisia memiliki sejarah panjang hubungan antara-komuniti yang penuh keramahtamahan dan mengatakan ia percaya Islam sebagai agama yang toleran.

Namun pada Mac lalu, dua bulan setelah jatuhnya diktator Zine el Abidine Ben Ali yang dianggap sebagai benteng melawan Islamisasi, sekelompok lelaki Muslim menyerang sinagog Yahudi di luar kota Tunis, salah satu yang terbesar di antara sedikit sinagog di negara ini.

Bulan berikutnya, pemerintah Israel membuat pendanaan untuk membantu Tunisia memindahkan orang Yahudi ke Israel, dengan alasan memburuknya sikap masyarakat terhadap komunitas Yahudi sejak penggulingan Ben Ali.

Lellouche menyalahkan keberhasilan An-Nahdhah yang sebahagian ada pada dekad kediktatoran yang meninggalkan Tunisia dengan tidak adanya perdebatan politik budaya.
"Tunisia menemukan diri mereka di supermarket politik. Mereka yang menjual idea-idea terbaik datang dari atas.

"Terserah kepada kita dalam politik untuk merevisi cara kita menjual ide," katanya menambahkan.(fq/afp)

Ya, giliran Parti islam Semalaysia di negara ini akan tiba juga akhirnya. -GB

Sungguh benar janji Allah:


Bahawa bumi itu akan di warisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih. [Suratul Anbiya: 105]

sumber: http://greenboc.blogspot.com/2011/12/giliran-parti-islam-menang-pilihanraya.html

AKHLAK DAN DISIPLIN BERORGANISASI - Ustaz Idris Ahmad



Kita mestilah memastikan diri kita dan keluarga kita menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada, kerana kita akan menjadi duta kepada perjuangan parti, untuk melebarkan pengaruh parti kepada masyarakat. Sebelum mereka melihat parti, mereka akan menilai dahulu siapakah aktivis-aktivisnya? Oleh kerana itu terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian kepada ahli PAS sekalian.

  • 1.Menunaikan Janji

Allah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya (bermaksud), "Dan sempurnakanlah perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah)". An Nahl:9
Sama ada perjanjian dengan jemaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh hendaklah ditunaikan dengan sempurna. Sebarang kemungkiran boleh menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan. Jika kita tidak boleh laksanakan sila beritahu daripada awal, supaya perjalanan parti tidak terjejas. Sila maklumkan awal kepada penganjur jika kita mempunyai keuzuran syar'ie. Jangan sampai kita terkenal sebagai orang yang mungkir janji. Banyak mereka yang hebat terkeluar daripada saf kepimpinan apabila mereka tidak menepati janji.

  • 2.Tidak Melampau

Allah Taala melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh hatta di medan perang. Sikap melampau dalam semua perkara banyak merugikan jemaah. Sejarah mencatatkan orang yang melampau berakhir dengan mereka gugur di dalam medan perjuangan. Contohnya mereka yang mengkafirkan UMNO sekarang sudah bersama dengan UMNO. Tepatlah sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik perkara ialah sederhana dalam amalan".

  • 3.Bersabar

Perlu banyak bersabar, kerana kerja-kerja Islam akan berhadapan dengan macam-macam perkara yang tidak menyenangkan. Malahan jalan dakwah penuh dengan liku-liku kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan, persendaan yang memalukan. Kerana kita terpaksa berhadapan dengan orang jahil, orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional, orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersinggung. Semuanya perlu kepada kesabaran yang tinggi. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu". Surah An Nur:22

  • 4. Bersifat Rendah Diri

Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri khususnya terhadap saudara se-Islam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Perlu sedar bahawa ahli PAS terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan status.
Kita tidak hanya bergaul dengan orang kaya sahaja dengan meninggalkan orang miskin dan susah. Ini kerana perbuatan ini tidak mendapat rahmat daripada Allah Taala. Rasulullah s.a.w. sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan daripada sifat takbur. Baginda bersabda yang bermaksud : "Tidak akan memasuki syurga yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur". (Riwayat Muslim)

  • 5. Jauh Sangka Buruk

Mesti menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Sebaliknya kita lebih banyak menyuluh dan menuding diri sendiri daripada dihadapkan kepada orang lain. Sangka buruk ini sifat yang tidak baik dan boleh mendatangkan keburukan kepada orang lain. Maka ini perlu dijauhi oleh ahli parti. Janganlah dia berburuk sangka kepada sahabat yang lain ini akan menyebabkan ruang untuk berpecah akan bertambah luas.
Firman Allah Taala bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha Penerima Taubat lagi Penyayang". (Al Hujurat:12)

  • 6. Qudwah Hasanah

Mesti menunjukkan contoh teladan yang baik selari dengan akhlak Islam. Kita percaya bahawa contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain untuk mendekati perjuangan kita. Maka kita mesti pastikan diri kita, keluarga kita mesti menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada, kerana kita akan menjadi duta kepada perjuangan parti, untuk melebarkan pengaruh parti kepada masyarakat. Sepertimana kata hukama, "lisanul hal (tindakan) lebih baik daripada lisanul maqal (berkata-kata)".

  • 7. Bekerja Untuk Kemenangan Islam
Biarlah sesaat di dalam hidup kita tidak berlalu begitu sahaja. Kita mesti memikirkan apakah cara supaya Islam dihayati oleh masyarakat untuk menyelamatkan negara dan masyarakat. Kita mesti rasa cemburu dengan golongan yang bekerja siang malam untuk mengekalkan kezaliman di negara ini walaupun mereka tahu bahawa kerja mereka dimurkai oleh Allah Taala. Apakah kita boleh tidur lena ketika khazanah negara dijahanamkan? Laporan Ketua Audit Negara menyerlahkan lagi sikap kerajaan yang tidak pernah mengambil iktibar walaupun setiap tahun inilah rupa bentuk laporannya. Apakah kita mahu membiarkan anak cucu kita pada masa akan datang merempat di bumi sendiri.
Kita berjuang bukan memikirkan diri kita tetapi ialah untuk generasi akan datang. Untuk kita sudah selesai, kerana hanya membilang hari untuk bertemu dengan Allah Taala, tetapi anak kita akan meneruskan hidup mereka. Jangan biarkan mereka memaki kita kerana kita tidak berjuang untuk mereka. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan hendaklah takut (kepada Allah) yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraannya). Oleh sebab itu hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar". (An Nisa’:9)

Hijrah memantapkan Umat Islam

ISLAM tersebar melalui penghijrahan manusia, bermula dengan penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w. dari kota Makkah  tempat tumpah darah baginda ke kota Madinah yang menjadi sebuah tempat tersebarnya Islam ke seluruh pelosok dunia. Mengapa tidak, pertama Allah SWT Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, telah memilih Makkah tempat terakhir diutusnya Rasul yang terakhir, Makkah yang terletak di tengah-tengah dunia memberi isyarat bahawa ia akan tersebar dengan mudah kerana berada di tengah-tengah itulah Islam mudah untuk dibawa ke Eropah melalui Turki di sebelah timur, ke Asia melalui Yaman, ke Afrika melalui Mesir atau Sudan.

Islam yang diperkenal dan dibawa oleh Rasulullah. Maka rasanya Islam hanya berlegar di situ dan hanya terbatas dalam skopnya yang sempit, kerana penyembahan kepada Allah secara terbuka adalah perkara terlarang, tidak mungkin Islam akan maju. Takdir Allah SWT menentukan segala-galanya, Dia tidak mahu Islam hanya dipercayai oleh orang-orang Arab di Semenanjung Tanah Arab, justeru peristiwa hijrah baginda Rasulullah membuktikan bahawa Islam adalah milik manusia sejagat, kerana Islam juga adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam, iaitu untuk Arab dan ‘Ajam (bukan Arab).

Kedua, Madinah merupakan sebuah kota di mana masyarakatnya mudah dilentur dengan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang telah mengirimkan sahabat ke sana untuk memperkenalkan Islam melalui ayat-ayat al-Quran yang menjadi bekalan penting sebagai pengisian rohani yang serba  kekosongan.Bayangkan jika baginda tidak berhijrah ke Madinah, hanya menetap di Makkah sebagai warganya yang setia sampai bila-bila, sedangkan orang-orang Makkah begitu agresif menolak.
Rasulullah menghijrahkan sahabat

 
Setelah baginda Rasulullah berjaya melepasi kepungan golongan musyrikin Makkah yang berusaha untuk menyekat penghijrahannya ke Madinah,antara langkah awal bagi memastikan Islam tidak hanya berlegar di kalangan masyarakat Arab di situ, baginda telah mengarahkan dutanya ke Yaman iaitu Mu’az bin Jabal untuk mengajar Islam. Sebelum berhijrah berangkat ke Yaman, Mu’az bertanya apakah bahan yang akan disampaikan kepada penduduk Yaman, Mu’az terkenal sebagai cendekiawan dengan wawasannya yang luas dan pemahaman yang mendalam dalam ilmu fiqh, dan bahkan Rasulullah menyebutnya sebagai sahabat yang paling mengerti yang mana yang halal dan yang haram. Mu’az juga merupakan duta besar Islam yang pertama kali yang dikirim Rasulullah.

Hadis baginda mengenai kelebihan Mu’az; “Orang yang paling mengetahui halal dan haram di kalangan umatku adalah Mu’az ibn Jabal.” Baginda juga menghijrahkan sahabat-sahabatnya untuk menghantar surat kepada Raja Mesir al-Muqauqis, Raja Rom, Parsi dan beberapa negara lain,ada yang menerima seruan untuk masuk Islam dan tidak kurang juga yang menolak kerana masih ada kepentingan peribadi yang tidak dapat diselesaikan. Ia merupakan siri penghijrahan para sahabat untuk menyebarkan Islam.

Kesan hijrah para sahabat pada zaman Sayidina Abu Bakar

Setelah menakluki Yamamah, Sayidina Abu Bakar memerintahkan Khalid menuju Iraq dan menasihatinya supaya berdakwah kepada mereka yang bukan Islam. Jika tidak menerima, maka ambillah jizyah dan jika tidak diterima barulah diperangi. Al-Waqidi berkata:‘‘Ahli sejarah berselisih pendapat. Ada yang berpendapat Khalid terus ke Iraq dari Yamamah dan ada yang berpendapat, Khalid Al- Walid pulang dahulu ke Madinah dan menuju Iraq melalui jalan Kufah.” Pendapat pertama lebih masyhur. Al-Madaini menyebut dengan sanadnya bahawa Khalid Al-Walid menuju Iraq pada Muharam 12H melalui Basrah. Ketika itu gabenor Kufah ialah Musanna Al-Harisah As-Syaibani. Ini menunjukkan bahawa para Abu Bakar juga bertanggungjawab mengembangkan Islam ke wilayah-wilayah dengan melakukan perluasan negara Islam selain Madinah.

Sayidina Umar bin al-Khattab dan pengaruh hijrah

Sayidina Umar juga mengambil langkah melakukan perluasan negara Islam. Beliau tidak hanya mahu melihat Islam dianuti oleh orang-orang Arab, justeru beliau telah mengirim bala tenteranya ke Qadisiyyah pada tahun 636M, tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada orang-orang Parsi untuk menerima Islam. Setelah wakil Sa’ad bin Abi Waqqas bertemu Panglima Besar Sassanid, Rostam Farrokhzad untuk menawarkan tiga pilihan bagi mengelak berlakunya peperangan, iaitu menawarkan kepada mereka agar menerima Islam, atau membayar jizyah(cukai) kerana duduk dalam wilayah yang ditadbir oleh orang Islam atau berperang. Maka Rostam telah memilih perang daripada menerima dua tawaran,maka berlakulah perang yang dikenali sebagai Peperangan al-Qadisiyyah.

Penghijrahan para ulama punca Islam tersebar

Sejarah telah mencatatkan bahawa penghijrahan para ulama adalah di antara faktor utama bagaimana Islam berkembang pesat di beberapa buah negara seperti yang pernah terjadi kepada empat Imam mazhab terkenal iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Sebagai contoh Imam Syafie yang merupakan anak jati Gaza di Palestin, telah berhijrah pada usia muda untuk ke Makkah mempelajari ilmu-ilmu agama di samping menghafaz al-Quran 30 juzuk, kemudian beliau ke kota Madinah kerana berguru dengan Imam Malik. Beliau sempat menghabiskan kitab Muwatta’(tentang hadis-hadis hukum) susunan Imam Malik sendiri.Imam Malik menyaksikan sendiri kehebatan dan anugerah Allah kepada Imam Syafie yang mampu menguasai pelbagai bidang ilmu. Kemudian beliau berhijrah ke Mesir dan Baghdad dan kembali semula ke Mesir dengan mengajar ilmu-ilmu agama terutamanya ilmu fiqh dan usul hingga sampai ke peringkat mujtahid yang mampu mengeluarkan fatwa.

Penghijrahannya ke Mesir dan beberapa negara umat Islam menyerlahkan lagi kefahaman ummah terhadap perkembangan Islam.Begitu juga dengan imam hadis iaitu Imam Bukhari yang berasal dari Bukhara (sekarang ini di Uzbekistan) menjelajah ke beberapa negara untuk mendapatkan hadis-hadis terpilih (sohih) selama 16 tahun dan berpusat di Masjidilharam, Makkah. Ada pendapat ulama mengatakan, bahawa kalau tidak kerana penghijrahan Imam Bukhari mendapatkan hadis-hadis sohih, maka ramai di kalangan umat Islam tidak melakukan solat, kerana hadis-hadis sohih tentang solat banyak beliau yang meriwayatkan.

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM



 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates