Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

TRIO BERGANDINGAN MEMACU PERJUANGAN

Bermulanya kepimpinan ulama pada era 70 an dan secara rasminya diasaskan pada tahun 1982

menyaksikan perubahan besar yang berlaku pada corak pergerakan PAS.
Bukan hanya pada peringkat pimpinan, malah kaderisasi juga berjalan selari dengan halatuju PAS baru yang mesti mempunyai jati diri gerakan Islam. Namun begitu, keperluan kepada professional dan
 aktivis tidak pernah dinafikan.

Kepimpinan ulama bukan istilah atau slogan juga bukan konsep untuk mewujudkan dikotomi sekaligus memisahkan Trio Kepimpinan PAS yang berlangsung sejak dulu.


Sebaliknya Kepimpinan Ulama' adalah konsep sebuah Kepimpinan "Ilmu" dan "pendokongnya yang berilmu" menepati kehendak Islam untuk memimpin perjuangan atau parti ini dengan benar. Juga menepati Manhaj Perjuangan Islam. Bukan konsep kepimpinan yang memisahkan semua unsur baik dan positif bagi memperkukuhkan jamaah.


Ulama' memerlukan Profesional dan Aktivis bagi memacu perjuangan suci ini ke mercu jaya.
Sebagaimana Profesional memerlukan Ulama' untuk terus memimpin dan mentarbiyah serta memandu arah bahtera perjuangan ini. Demikian jua Ulama' dan Profesional tidak boleh meminggirkan para Aktivis PAS untuk melaksanakan tugas-tugas besar perjuangan ini agar ia dipikul bersama dan menempa kejayaan dengan gemilang.

Trio ini mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri dalam mengembalikan daulah islamiyah di bumi Malaysia.
Tanpa satu daripadanya, PAS pasti tempang mendepani asakan dan tohmahan musuh.
 Aktivis PAS Golongan ini rata-ratanya adalah ahli biasa parti dan merupakan pimpinan peringkat bawahan seperti cawangan dan MTD (Majlis Tindakan Dun).

Namun, kefahaman yang jelas terhadap manhaj perjuangan Islam melahirkan satu tadhiyah yang tinggi dimana golongan ini tdak pernah teragak-agak untuk mewakafkan harta mereka bagi menampung kerpeluan jemaah. Golongan ini dilihat pendokong utuh ulama’ yang memimpin dan membimbing mereka.

Aktivis PAS tetap bersama kepimpinan ulama’ walau disogok dengan bermacam kesenangan dunia oleh musuh PAS.Hal ini terbukti oleh al marhum Tuan Guru Yusuf Rawa, al Marhum Tuan Guru Hj Fadzil Noor, Tuan Guru al Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi.


Dasawarsa ini, peringkat akar umbi PAS juga turut diterajui oleh kalangan aktivis parti yang berkesan.
Ada pimpinan kawawsan yang terdiri daripada kalangan aktivis parti tegar seperti PAS Kawasan Hulu Terengganu dipimpin oleh Haji Wahid Endut, PAS Kawasan Hulu Selangor dipimpin oleh Tuan Haji Abdul Wahid Basri, PAS Kawasan Klang dipimpin oleh Haji Ismail Arsyad dan banyak lagi kawasan dan cawangan PAS yang dipimpin aktivis tegar yang berkubang peluh dalam menggerakkan program jemaah.

Jawatankuasa PAS pusat juga menampilkan seorang aktivis tegar yang begitu bergaya memimpin golongan agrarian, iaitu Mazlan Aliman. Profesional PAS Golongan ini wujud dalam PAS sejak awal penubuhannya lagi, malah pernah diangkat menjadi peneraju utama gerakan seperti Dr. Haji Abbas Alias dan Dr. Burhanuddin al Helmi.

Memetik ucapan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi suatu ketika, beliau menegaskan bahawa golongan profesional besar jasanya dalam menubuhkan PAS sehinggakan mungkin kalau tidak ada mereka (profesional), PAS tidak akan wujud (sistematik) seperti hari ini. Lembaran sejarah juga menceritakan bahawa Dr. Haji Abbas Alias adalah antara orang yang berusaha mendaftarkan PAS. Turut sama berperanan ialah Prof. Ahmad Ibrahim, Ungku Omar dan Aminuddin Baki. Ini membuktikan golongan professional inilah yang menjadi tuan milik kepada PAS sebagai sebuah badan siasah.

Tuan Guru juga dalam ucapannya menyebut, PAS sebagai sebuah parti politik yang bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan perlu memiliki kemahiran mengenai hukum hakam dan kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu yang dimiliki golongan professional.

Hal ini jelas memperlihatkan peri pentingnya golongan ini bahkan golongan-golongan picisan lain berada dalam PAS.
Pada saya, golongan inilah yang bertanggungjawab meletakkan PAS berdiri sama tinggi, bahkan lebih tinggi daripada parti-parti politik yang lain.

Keberadaan mereka dalam PAS telah berjaya memantapkan organisasi, mengemaskini pengurusan dan mensistematikkan perancangan dan strategi perjuangan menuju kemenangan.

Ulama PAS Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
‘ Sesungguhnya Ulama’ adalah pewaris para nabi’

(Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Abu ad-Darda r.a)


Sabda ini jelas membuktikan kepentingan ulama dalam membawa masyarakat kepada Sang Pencipta. Sebagai pewaris para nabi, maka ulama mengemban beberapa fungsi sebagaimana telah disebut dalam Al-Quran iaitu tabligh (menyampaikan pesan-pesan agama) surah an-Nisaa ayat 63, tibyan ( menjelaskan masalah-masalah agama berdasarkan kitab suci) surah an-Nahl ayat 44, tahkim (menjadikan Al-Quran sebagai sumber utama dalam memutuskan sesuatu perkara) surah al-Baqarah ayat 213 dan uswah hasanah (contoh teladan yang baik) surah al-Ahzab ayat 21.

Justeru, perlukah ulama terjun ke medan politik? Atau biarkan saja mereka memainkan peranan di masjid dan madrasah sahaja?
Atau biarkan juga negara dipenuhi sarang korupsi, kelicikan dan gila kekuasaan?

Maka jawapannya ada pada diri masing-masing.
Al-Mawardi (972 H-1058M) telah meletakkan tujuh syarat untuk menjadi pemimpin.

Kesemua syarat tersebut bersesuaian dengan pandangan dunia Islam kerana al-Mawardi merupakan salah seorang pemikir terkemuka muslim dalam bidang politik pada abad pertengahan.

Dan saya yakin, tidak dapat tidak, seorang pemimpin itu harus memenuhi kesemua syarat terutama adil dan berilmu. Hal ini membawa kepada satu kesimpulan bahawa ulama lah yang layak menjadi pemimpin. 

Menyingkap tabir ketika awal penubuhan PAS, ulama adalah golongan yang menggerakkan ummah menentang penjajah bagi membebaskan Negara daripada penjajahan dan perhambaan suatu ketika dulu. Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Hasan Munas atau lebih dikenali sebagai tok janggut, berkuah darah menentang penjajah British pada tahun 1915 di Kelantan.


Pengorbanan mereka tidak terhenti setakat tenaga, masa, wang ringgit malahan nyawa dan raga.
Ulamak tidak sahaja penuh ilmu di dada tetapi juga terhias peribadi mereka dengan taqwa dan amal yang soleh, menjadikan diri mereka tawadhu' dan zuhud. Mereka memimpin parti dan ahlinya dengan keikhlasan dan ketaqwaan disaat orang belum mengenali strategi planning, analisis swot dan sebagainya.
Mereka juga berjaya membangunkan insan dan jiwa berjuang bangkit menentang boneka penjajah yang memerintah negara.

Kesimpulan Islam adalah agama hikmah.
Islam adalah agama yang maha luas dan kaya dengan pendekatan yang hebat dan menarik menepati zaman dan tempat. Maka pendokongnya juga mesti berhikmah dan berpandangan luas serta hebat seiring dengan kehebatan Islam dalam melayan karenah zaman, tempat dan seluruh warganya.

Kepimpinan Ulama' adalah antara hikmah yang dipamerkan oleh PAS yang menggandingkan semua segmen (Ulama', Profesional dan Aktivis) secara seimbang dan sepadu. Gandingan ini pula melahirkan sebuah kehebatan bagi meletakkan PAS mampu bersaing dipentas politik moden pada hari ini. Oleh itu,

pilihlah antara tiga, posisi apakah yang mampu untuk kita isi suata hari nanti.'



Ya Allah ! Lahirkanlah kami semua sebagai penerus perjuangan generasi terdahulu. Penyair Abdul Wahhab Azzam dalam al-Mathani meninggalkan kepada kita syair yang hebat :



"Kami adalah orang yang bermusafir dalam kehidupan...
Menjadi penghubung generasi mendatang dengan telah lalu...
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kami...
Menjadi kewajiban kami pula memberikan bimbingan untuk generasi mendatang"


Wallahu’alam..



 Rujukan:
laman tarbawi,
sanggahtoksago.blogspot

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates