Pas hanya Parti Politik
Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biy) secara berkumpulan (jamaie) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.
Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya. Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.
Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya. Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan (ulama’ al sulthah). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.
Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.
Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti. Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.
Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;
1-PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.
2-PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.
3-,Dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.
4-, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.
5-, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.
6-Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.
Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.
Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah
Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.
Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.
Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.
Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan. Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.
Akhir kata,PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.