Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Bantulah saudaramu yang zalim..!


Rasulullah S.A.W pernah mengungkapkan : "Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi ".Para sahabat kehairanan,lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi,tetapi bagaimana pula kita membantu mereka apabila mereka melakukan kezaliman?"

Maka jawab Rasulullah S.A.W: "Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman,itulah caranya membantu saudaramu yang zalim.".(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).Baginda telah menggunakan perkataan yang sama tetapi memberi satu penafsiran yang berbeza.

Inilah salah satu metod dakwah Rasulullah S.A.W yang sangat menarik dalam menganjak paradigma berfikir masyarakat ketika itu.Mungkin kita boleh mengaplikasikannya sekarang dengan memberi tafsiran islamik kepada ungkapan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Islam menolak kezaliman

Para ulama' mentakrifkan zalim sebagai meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.Zalim berlawanan dengan kalimah adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.Islam telah mengatur pelbagai sistem kesejahteraan hidup manusia di dunia ini sama ada dalam bidang kekeluargaan, ekonomi,politik,
kemasyarakatan ,jenayah,hubungan dengan bukan Islam dan sebagainya.

Jadi,perbuatan mengutamakan sistem yang diambil dari timur atau barat yang tidak menepati Islam bererti mengenepikan cara yang dianjurkan oleh Allah.Sikap ini sudah tentu termasuk dalam meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.Islam sepatutnya menjadi 'decision maker' dalam semua urusan kehidupan,bukan hanya diletakkan di pinggir.Sesiapa yang melakukan tindakan ini tergolong dalam takrifan melakukan kezaliman.

Sekiranya ada dalam kalangan saudara kita yang menjadi mangsa,mereka mesti dibantu.Demikian juga,sekiranya yang melakukannya tergolong daripada kalangan bangsa kita sendiri,maka kita mesti membantu dengan cara berusaha bersungguh-sungguh menghalang perbuatan tersebut.

Islam mengiktiraf bahawa usaha menghalang kezaliman sebagai suatu ibadah.Bahkan terdapat hadis Rasulullah S.A.W yang mengkategorikan menentang kezaliman termasuk dalam jihad yang paling afdhal.Baginda bersabda yang bermaksud: "Berkata benar di hadapan penguasa yang zalim adalah jihad yang paling agung."

Sepanjang sejarah umat Islam,para ulama' telah merealisasikan tugas mulia ini walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai golongan masyarakat yang masih enggan meninggalkan kezaliman yang mereka lakukan.Ada antara mereka yang dibuang negeri seperti  Imam al-Bukhari,ada yang terpenjara seperti imam as-Syafi'i dan pelbagai lagi.Demikianlah amanah mulia ini pasti akan terus dipikul oleh golongan yang dipilih oleh Allah sehingga ke akhir hayat bumi ini sebagaimana yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W.

Mahasiswa menentang kezaliman

Akhir-akhir ini,hangat diperkatakan tentang seorang mahasiswa telah dizalimi apabila telah dibuang universiti akibat menganjurkan perhimpunan BERSIH 2.0.Berita ini begitu menarik perhatian dunia mahasiswa apabila ada seorang pegawai yang bernama En.Khairy Jalaluddin menggunakan kedudukannya sebagai atase pendidikan di Education of Malaysia di Mesir untuk menghasut pihak universiti untuk membuang pelajar tersebut.

En.Khairy Jalaludin yang merupakan orang kuat UMNO di Mesir telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai untuk menzalimi mahasiswa.Beliau juga telah didedahkan bahawa beliau banyak melakukan aktiviti parti politik yang disokongnya dan berusaha untuk membuang pelajar-pelajar yang tidak menyokong ideologi politiknya dan menyingkirkan pegawai yang tidak berminat terhadap aktiviti politiknya.Ianya bersalahan dengan tugas yang sepatutnya dilakukan di Mesir iaitu membantu kebajikan akademik mahasiswa di sini.

Mahasiswa Mesir mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan meminta supaya pihak yang terlibat menarik balik keputusan membuang pelajar tersebut.Malah, di facebook terdapat kumpulan yang memohon supaya beliau meletakkan jawatan atau pun dipecat dan dihantar pulang ke Malaysia.

Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang menzalimi pelajar dan membantu mereka yang dizalimi.Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik tempat kembali bagi mereka yang zalim dan dizalimi.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates