Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Bersih 2.0: Hasrat 80 NGO sangat murni..

PDF Cetak Emel
Ditulis oleh AIMAN ATHIRAH AL JUNDI   
MONDAY, 20 JUNE 2011 14:24
Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh inisiatif lebih 80 buah NGO’s yang telah bergabung di dalam BERSIH 2.0 untuk menganjurkan satu program penting dalam sejarah tuntutan demokrasi negara ini yang juga dipanggil sebagai Walk For Democracy atau ”Berjalan Untuk Demokrasi” pada 9 Julai 2011 akan datang.

DMPP turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh Jawatankuasa Bersih 2.0 atas kejayaan Majlis Pelancaran Bersih 2.0 yang diadakan malam tadi bersamaan Ahad, 19 Jun 2011.
 
DMPP percaya hasrat dan tujuan mereka ini adalah sangat murni, sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada seluruh warga dan tentulah juga merupakan manifestasi kehendak seluruh rakyat yang mahu melihat satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang Bersih, Adil dan Kredibil (boleh dipercayai). Apatah lagi jika kita melihat NGO-NGO yang terbabit di dalam BERSIH 2.0 ini merupakan NGO-NGO yang aktif dalam hal-hal berkaitan hak asasi manusia, pemberdayaan wanita dan rakyat, pembela terhadap masyarakat tertindas hatta dipimpin pula oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) iaitu Datuk Ambiga Sreenavasan yang tentulah tahu dan faham ruang lingkup yang menjadi hak rakyat hatta batasan serta sempadan-sempadan yang ada, selari dengan undang-undang serta peraturan dalam negara.

Hakikatnya, selepas tempoh 12 kali Pilihan Raya Umum negara dan yang terbaru ialah Pilihan Raya Negeri Sarawak serta 16 kali Pilihan Raya Kecil membabitkan hampir kesemua negeri dalam Malaysia kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan; jelas terbukti bahawa terdapat pelbagai kelemahan ketara di dalam sistem dan perjalanan Pilihan Raya dalam negara ini. Kelemahan-kelemahan ini dapat kita lihat dan fahami melalui 8 Tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0.

Seandainya kelemahan tadi berterusan dan tiada usaha bersunguh untuk memperbaikinya daripada semua pihak khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri, maka negara akan terdedah dengan satu situasi di mana keputusan-keputusan pilihan raya itu tidak atau kurang kredibil yang seterusnya akan mewujudkan ketidakpuasan hati dan hilang kepercayaan para warga terhadap sistem dan perjalanan pilihan raya itu sendiri. Fenomena ini nantinya boleh mengakibat satu ledakan cemas dan kebangkitan rakyat. Dan andai ianya tidak terpimpin secara bertanggungjawab maka ia akan memberi implikasi buruk kepada kita semua.

Justeru, DMPP percaya bahawa tindakan Jawatankuasa BERSIH 2.0 ini dilihat bertujuan mengimbangi kemarahan serta kebangkitan rakyat dan melorongkan ”kemarahan dan ketidakpuasan hati ini” kepada satu tindakan yang lebih terarah, bertanggungjawab, terpimpin hatta mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan khususnya yang terkandung dalam Perkara 10 berkaitan Kebebasan Bercakap, Berhimpun Dan Menubuhkan Persatuan: secara aman dan tanpa senjata.

Oleh yang demikian, DMPP menyeru pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya agar mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dan mesra rakyat. Tindakan berterusan mengeluarkan ”ancaman tangkap” kepada rakyat adalah suatu yang sangat tidak wajar, tidak menghormati rakyat, membelakangi semangat keluhuran Perlembagaan dan mencabuli serta menyalahgunakan undang-undang itu sendiri. ”Ancaman Tangkap” itu berbaur satu ugutan keras dan ia tidak manis untuk menjadi satu budaya kerja pasukan polis terhadap rakyat. Kalau sikap dan budaya ini berterusan, jangan salahkan rakyat jika polis menjadi satu Institusi Awam yang tidak akan lagi dihormati hatta dipandang rendah.

Sudah sampai masanya PDRM berhenti daripada menjadi ”Budak Suruhan Pihak Atasan”. Sudah sampai masanya PDRM mengambil pendekatan ”memahami dan menyantuni” kehendak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

DMPP menyedari betapa BERSIH 2.0 sendiri telah menegaskan bahawa mereka dalam hasrat membimbing rakyat mempraktiskan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan. BERSIH 2.0 juga bersedia dan sanggup bekerjasama di pihak Polis bagi memastikan program pada 9 Julai nanti akan berlangsung dalam keadaan yang aman, tertib dan terkawal. Justeru, DMPP mendesak Ketua Polis Negara agar segera membuka ruang perbincangan di antara kedua belah pihak demi kepentingan negara.

DMPP juga sangat memandang serius akan kenyataan berbau ”ancaman dan ugutan” yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali bersama Perkasa yang menegaskan ”mereka akan menganjurkan protes bagi menghalang rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan”.

DMPP menyifatkan kenyataan ini adalah sangat bahaya dan mengancam keselamatan awam khususnya pada hari tersebut. Apatah lagi Ibrahim Ali secara emosional melulu menegaskan bahawa “apa sahaja boleh berlaku pada 9 Julai itu nanti”. DMPP menyifatkan kenyataan ini sangat biadap, tidak ada kelas dan bersifat kebudak-budakan. Ia juga sangat bersifat anti establishment. Amat malang ianya dituturkan oleh seorang Ahli Parlimen tidak berparti (yakni Bebas) atau dalam  konteks Malaysia kita fahami mereka ini sebagai Ahli Parlimen “Lompat” (Katak)!

Lebih malang bilamana kenyataan “ancaman dan ugutan” seperti ini tidak pula diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa dan hanya menampakkan PDRM bertindak tidak professional serta double standard.

DMPP tidak berhasrat untuk menghalang sesiapapun untuk turut Turun pada 9 Julai nanti, atau berhimpun bila-bila masa dan di mana sahaja; tetapi yang penting perhimpunan itu mestilah diadakan secara aman, tanpa senjata, dengan objektif yang jelas dan bukan berniat untuk menimbulkan sebarang kekecohan atau sebarang tindakan vandalism atau anti sosial.

DMPP sangat berdukacita terhadap segala kenyataan tidak bertanggungjawab yang dilontarkan oleh beberapa Menteri terhadap BERSIH 2.0. Ini termasuklah tuduhan Rais Yatim yang mengaitkan ”Serangan Siber” ke atas beberapa laman web kerajaan baru-baru ini sebagai berkait dengan BERSIH 2.0. Manakala  Muhyidin Yassin membuat tuduhan bahawa Walk For Democracy itu adalah bertujuan untuk menumbangkan BN. DMPP melihat kenyataan-kenyataan itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan hanya menampakkan bahawa UMNO BN sekarang berada pada tahap ”ketakutan yang melampau” sehingga ”bayangan sendiri difikirkan hantu!”.

DMPP mengajak seluruh rakyat dan semua pihak memahami bahawa apa yang akan berlaku pada 9 Julai 2011 itu nanti ialah satu program bersifat merakyat ; Walk For Democracy . Dan ianya secara khusus berkaitan dengan 8 Tuntutan BERSIH 2.0 untuk kita semua upaya menikmati satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang bersih dan adil. Ianya bukan berkaitan persoalan politik kepartian yang sempit. Ianya bukan berkaitan persoalan individu orang tertentu. Ianya konsistant berkaitan Tuntutan Rakyat untuk SPR dan pihak berwajib bertindak segera Mereformasi Sistem Dan Perjalanan Pilihan Raya yang ada dalam negara ini agar lebih seimbang kepada semua pihak yang mengambil bahagian.

Akhirnya, DMPP menyeru seluruh rakyat jelata khususnya para wanita yang mahukan 8 Tuntutan BERSIH ini didengar dan tercapai agar hadir beramai-ramai dan bersama-sama kita BERJALAN UNTUK DEMOKRASI secara aman dan tertib. DMPP juga sedang dalam proses menggerakkan seluruh kekuatan organisasi dan jentera Dewan Muslimat PAS di seluruh negara untuk bersama menggerakkan rakyat HADHIR PADA TEMUJANJI KITA, 9 JULAI DI KUALA LUMPUR. DMPP yakin dan percaya, insyaAllah Kita akan lalui dan hadapi 9 Julai ini dengan penuh kewarasan, kejelasan tujuan dan penuh bertanggungjawab. Sungguhlah benar jihad yang paling besar adalah berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim.

Kembalikan Kuasa Rakyat! Bersihkan Pilihan Raya! Allahu Akbar!

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Pusat
20 Jun 2011, Kuala Lumpur .

Nilai Sebuah Pekerjaan



"Kenapa anda mahu jadi doktor?", saya melemparkan soalan ini, selepas mempertontonkan kepada pelajar di IMU tadi video dari koleksi Stephen R. Covey. Pelajar yang hadir tersenyum-senyum.

"Sebab minat biologi?", saya bertanya. Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.

"Sebab suka tolong orang?", saya terus bertanya. Ramai yang mengangguk.

"Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perubatan supaya boleh rawat ibu bapa sendiri nanti. Tetapi realitinya, kamu bukan manusia pertama boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa kepada ibu bapa. Malah ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan, ahli keluarga bukanlah calon terbaik untuk merawat ahli keluarga sendiri. Namanya, profesionalisma", saya menyambung provokasi.

"Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami doktor, isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena berdikari", saya terus mencucuk jarum.

"Saya selalu beritahu isteri, bahawa apabila awak berjaya jadi specialist nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak berkorban ialah tiga orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang berkorban, melepaskan masa yang sepatutnya kita beri kepada mereka, agar kita berjaya", saya berkongsi cerita.


gambar hiasan

Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di IMU supaya berfikir bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan. Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu tahu bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga pakar, anda tidak akan diberikan 'kemudahan' untuk menjadi pakar.

Anda tidak ada cuti bersalin, seandainya anda 'termengandung' semasa sedang membuat program pakar. Anda tidak menerima sebarang elaun untuk membeli buku. Semua kena guna duit sendiri. Kursus dan seminar yang anda hadir, anda mesti membayarnya sendiri.

Mungkin anda terpaksa menawarkan diri menjadi AJK agar dapat dikecualikan dari yuran, walaupun anda tahu akibat menjadi AJK itu. Semua orang mahu anda bekerja seperti orang lain, ketika anda terdesak menghadapi peperiksaan. Tiada belas, tiada insentif.

Misalnya isteri saya, kerana 2 minggu cuti yang diperuntukkan untuk kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan bersalin, lupakanlah kenduri kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti. Bukan calang-calang kerja.

Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu menolong orang? Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai pertolongan itu nanti.

"Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?", soalan yang sama saya ulang sekali lagi.

Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri, dan diri sendirilah yang perlu menjawabnya.

PERSOALAN NILAI


Kuliah kali ini adalah tentang nilai. APA NILAI YANG DIBAWA DALAM SEBUAH PEKERJAAN? Dalam sebuah kehidupan. Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya, kerjanya 'melayan suami', tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya?

Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya. Hanya 'bibik' sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Maafkan saya, hanya pelacur sahaja yang meletakkan harga pada layanannya terhadap seorang lelaki. Seorang ibu membuat kerja rumah kerana Nilai Kasih Sayang.

Seorang isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian. Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.

NILAI DUIT

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperolehi. Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri.

Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum. Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi.

gambar hiasan

Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk.

Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan... tetapi output daripadanya merunsingkan saya.

Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur. Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun. Saya bertemu dengan kes, suami main kayu tiga ketika isteri meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mem'poligami' kan suaminya dengan bersuamikan orang lain semasa di perantauan. Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa.

Tidak pernah menjadi tajuk berita. Nauzubillah! Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif?

Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?

NILAI - HARGA - KORBAN

Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga. Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? Kehancuran rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa.. itulah harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.

gambar hiasan: keluarga bahagia

Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang, 'mereka adalah generasi yang kesunyian'. Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.

Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih diri mereka dengan tabiat "Begin With the End in Mind". Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan, jurutera dsb.

TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN


Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya di masa hadapan, mesti ditentukan. Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar.

Perhatikan di mana korbannya? Harga dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit, dan yang paling besar, mungkin sistem itu sendiri. Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri, mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada mereka.

PROVOKASI DEMI MASA DEPAN

Atas provokasi inilah, saya mengajak sahabat-sahabat, untuk menyemak hubung kait bidang pekerjaan dengan Tujuan Hidup mereka. Kenang kembali siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi. Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah. Yang diabdikan diri kepada-Nya. Ia hablun minallah. Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya, kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini.

Ia hablun minannaas. Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita.

JIKA KERJA JADI IBADAH

Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah 'CEO' kita. The unsung hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan. Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya. Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja. Teruskan cita-cita kalian menjalani kerjaya masing-masing. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya. Kita hamba-Nya, kita khalifah-Nya.

"Live With Kindness,
Live With Caring,
Live With Faith & Generous Sharing,
Live With Truth For When You Do,
All Good Things Return To You..


www.iluvislam.com
dihantar oleh: nurulain_h

Editor: deynarashid

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates