Istilah `Ketuanan Melayu' (malay supremacy) adalah istilah yang kabur. Tiada pentakrifan khusus kepada istilah ini. Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan. Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.
Namun, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan `tuan' kepada ketuanan dan digabungkan dengan `melayu', ia bermaksud orang melayu berada dalam status `tuan' atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy). Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan `bukan melayu'. Jika hendak ditakrifkan maka bererti `kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia'.
Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam. Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka`bangsa terpilih' (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.
Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.K emuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa. Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.
Memperjuang dan mempertahankan hak bangsa tidaklah menjadikan bangsa kita tuan dan bangsa lain pula hamba . Pertahankan hak bangsa kita malah berbangga menjadi bangsa melayu adalah suatu yang positif dan wajar namun jangan sekali - kali kita menzalimi bangsa lain serta tidak berlaku adil terhadap bangsa lain sekalipun berbeda agama justeru inilah yang dilarang.
Justeru Islam adalah agama Allah tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Allah swt , tuhan yang namanya mahu digunakan oleh seluruh agama samawi dalam negara kita . Islam pula bukan hak orang melayu sahaja , bahkan bangsa India dan China jauh lebih awal menerima Islam . Islam adalah agama yang adil untuk semua.
Islam adalah satu agama yang lengkap merangkumi semua persoalan hidup termasuk perkara yang melibatkan hubungan sesama manusia seperti ekonomi , sosial , politik dan undang - undang , juga hubungan manusia dengan tuhan seperti ibadah .Misi terpenting kedatangan Islam ialah untuk menghapuskan kepatuhan dan ketuanan berasaskan bangsa dan warna kulit dan menggantikan dengan ketuanan berasaskan keimanan dan ketaqwaan.
Dalam konsep kepimpinan, baginda Nabi s.a.w mengajar supaya mereka yang dipimpin wajib patuh kepada pemimpin walaupun pemimpin itu seorang hamba berkulit hitam.
Melayu itu automatik Islam di Malaysia. Perlembagaan yang memaktubkan perkara ini. Sedangkan ramai umat Melayu murtad atau tidak beragama, itu Islam kah? Melayu yang menentang Islam, Islamkah? Melayu yang memperlekeh Islam dan undang-undang peraturannya, Islamkah? Hakikatnya,melayu itu tidak semestinya muslim, dan muslim itu tidak semestinya melayu.Nasib orang melayu hanya selamat dan terjamin sekiranya berpegang teguh kepada ajaran islam bukannya ketuanan melayu.
Mana-mana pihak yang terus berbincang berkenaan ketuanan bangsa segera menghentikan amalan buruk itu kerana ia bukan sekadar bertentangan dengan konsep hak asasi manusia malah sesuatu yang bercanggah dengan Islam. Melayu tidak akan selamat jika terus memperjuangkan ketuanan Melayu tanpa memperkasakan Islam di kalangan kaum majoriti itu. Ini kerana , hanya Islam yang mampu menyelamatkan semua bangsa kerana kepimpinan Islam menekankan amanah, bukan bersifat menindas antara satu sama lain. Kita jangan rasa selesa dengan Melayu sahaja tanpa diperkasakan dengan Islam. Kalau Allah nak pelihara Islam, maka Islam boleh naik dengan bangsa lain ambil alih. Sebab itu kita kena yakin kalau Melayu nak selamat maka Melayu hendaklah tegakkan Islam. Kalau tegakkan Melayu, Melayu tak akan selamat kerana Islam memang dipelihara oleh Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment