Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Harapan Konvensyen PR ke-2 : Islam sebagai asas

KENYATAAN RASMI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat.
Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.
Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat––PAS, KEADILan dan DAP––yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.
Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum. Firman Allah SWT (surahAli-Imran ayat 103):
Bermaksud: “…dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara…
Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW:
Maksudnya: “Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari.”
Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48):
Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya
Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.
Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.
TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Al-Mursyidul Am PAS.
Kota Baharu, Kelantan.
12 Muharam 1432H/18 Disember 2010M.

Siapa Ayah Chik?

Kenangan Juang bersama Ayah Chik



Assalamualaikum , salam perjuangan terlebih dahulu saya hulurkan buat Ayah Chik semoga senantiasa dikurniakan taufiq dan hidayah , jua ketabahan jiwa yang tinggi dan mantap dalam memimpin sebuah bahtera perjuangan yang besar meredah samudera luas dan buas .

Saya memohon maaf berbanyak maaf jika kenangan on line ini mengganggu penumpuan Ayah Chik dalam mengemudi bahtera saat laut kian bergelora dan gelombang kian mengganas .

Saya yakin , melalui susur galur pentarbiyyahan yang pernah dilalui oleh Ayah Chik pula berbekalkan pengalaman yang luas sebagai seorang pejuang yang tidak pernah penat dan lelah mengharungi cabaran , rintangan dan halangan di sepanjang jalan , Ayah Chik cekal menghadapi apa jua situasi sukar .

Biarpun kini wajah dan jasad Ayah Chik semakin dimamah usia namun jiwa kental dan hati waja seorang pejuang yang diamanahkan oleh ummah untuk menjulang panji syariah masih terserlah . Pastinya semangat Ayah Chik tidak akan luntur apalagi mundur hanya kerana kedengaran dentuman petir dan kilat di langit , kerana sebelum ini sudah biasa basah dihujan dan goyang diribut .

Saya telah mengikuti dari dekat perjuangan Islam yang digerakkan oleh Ayah Chik sejak tahun 1984 , sedang tika itu saya hanyalah seorang murid bertatih baca alif , ba , ta di tingkatan 2 sekolah menengah kebangsaan . Setiap hujung minggu saya akan ke pekan sehari untuk membeli kaset ceramah Ayah Chik dan Ayah Ziq [ Tok Guru Nik Aziz ] yang diterbitkan oleh Pustaka Jihad [ kalau tidak silap saya ] .

Amanat Hj. Hadi

Tidak perlulah saya meriwayatkan kisah yang sedia diketahui umum . Cuma apa yang saya mahu kenangkan kembali ialah bagaimana Ayah Chik telah membawa satu gelombang kebangkitan Islam dengan meletakkan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang benar - benar menepati piawaian sebuah gerakan Islam yang tulen .

Bergandingan dengan Al Marhum Tuan Guru Hj Yusuf Ar Rawa , Al Marhum Tuan Guru Hj. Fadhil Noor dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat , Ayah Chik mara memobilisasi kesedaran rakyat yang bermula dengan pemantapan aqidah perjuangan mereka .

Amanat Hj Hadi menjadi popular malah seluruh markaz PAS ketika itu akan menyimpan amanat tersebut di dalam frame tergantung di dinding . Bermula dari mak cik dan pak cik di kampung dan desa hinggalah kepada ikhwah dan akhawat mahasiswa university mula menyahut seruan jihad ke arah mendaulatkan Islam di atas tanahair tercinta .

Nabi Hadi dan Nabi Fadhil

Ayah Chik gigih ke serata negeri memenuhi undangan membelah kubu kuat UMNO yang berserakan di seluruh negara . Membangkitkan kesedaran , menyemarak semangat juang , membekalkan ilmu , menambah ahli serta cawangan dan menggerakkan jentera parti di semua peringkat agar aktif mendepani cabaran faham sekular yang dibawa oleh UMNO dan BN .

Melihat sambutan luar biasa rakyat dari seluruh negara terhadap dakwah Ayah Chik bersama PAS , akhirnya Ayah Chik dan Al Marhum Tuan Guru Fadhil Noor difitnah oleh UMNO dan BN kononnya mereka berdua [ Ayah Chik dan Ust Fadhil Noor ] akan menjadi nabi Melayu menjelang usia 40 tahun . Fitnah ini terpampang di dada - dada akhbar . Ya ... saya masih ingat !

Nyata segalanya tidaklah melemahkan semangat Ayah Chik untuk terus menongkah cabaran . Melalui Kuliah pagi jumaat dan Khutbahnya di Masjid Rusila , Ayah Chik membina fikrah Islami yang syumul dikalangan ahli yang rata - rata belum jelas hala tuju perjuangan mereka . Suara mimbar Rusila terus bergema menguasai ruang udara , membentengi ummah dari wabak sekular yang disebarkan oleh UMNO dan BN .

Masjid Rusila menjadi pangkalan kebangkitan Islam ketika itu . Nama Masjid Rusila terus masyhur ke serata dunia serentang dengan kehebatan al Qum di zaman pemerintahan Khomeini. Malah para pemimpin Gerakan Islam di peringkat antarabangsa lebih mengenali Rusila berbanding Taman Melewar pada waktu itu .

Seangkatan dengan kemasyhuran Masjid Rusila ialah Masjid Pulau Melaka di Kelantan yang di pimpin oleh Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nikmat .

Bertolak dari dua masjid inilah , bersama sentuhan 2 Tok Guru [ Ayah Chik dan Ayah Ziq ] , sinar Islam terus memancar menerangi kegelapan ummah . Sehingga kini , hampir tidak kedengaran lagi mereka yang berani mengatakan politik suku agama suku sebagaimana sebelumnya , kalimah ini senantiasa meniti di bibir pemimpin UMNO dan BN .

Ayah Chik juga dinobatkan sebagai ulama' bertaraf antarabangsa . Sebaris Dr Yusuf Al Qaradhawi , Qadhi Hussein , Mehdi Akif , dan lainnya dalam menganggotai majlis Gerakan Islam antarabangsa , Majlis Pembebasan Al Quds dan Majlis Taqrib Mazahib di peringkat antarabangsa .

Tentu sahaja air tangan Al Marhum Mujahid ulung Said Hawa rhm ini benar - benar menjadi , bak mutiara buat ummah sepanjang zaman khasnya bagi ummat Islam di blok Nusantara ini .

Jauh Ayah Chik meniti ranjau , sehinggalah kini Ayah Chik diamanahkan sebagai Presiden PAS . Al Marhum Yusuf Rawa dan Al Marhum Ustaz Fadhil telah lama meninggalkan kita semua . Kini tinggal Ayah Chik bergandingan dengan Ayah Ziq memimpin parti .

Malang cabaran mutaakhir ini ternyata lebih liar dan cukup menguji ketahanan kepimpinan 2 Tok Guru ini . Namun saya doakan agar mereka terus diberikan kekuatan luar biasa bagi menyerap segala tekanan dan terus gemilang memacu perjuangan yang masih jauh destinasinya .

Ayah Chik , usahlah resah dan risau biarpun diluar sana kedengaran suara kritikan keras ke atas gaya dan cara kepimpinan Ayah Chik . Bagi saya , mereka berhak untuk melahirkan rasa tidak puas hati selama mana masih dalam frame akhlak dan adab berbeza pandangan . Segala kritikan boleh diambil secara positif untuk muhasabah dan sempadan dalam gerakkerja kita memimpin perjuangan ini .

Selama Ayah Chik benar dan ikhlas memimpin perjuangan ini , saya sangat yakin pertolongan Allah swt akan senantiasa mengiringi perjuangan dan kepimpinan Ayah Chik sementara anak - anak buah yang dididik sekian lama akan terus mengantar doa restu mereka agar Ayah Chik sabar dan tabah seterusnya dipelihara oleh Allah swt .

~Ustaz Nasharuddin bin Hassan~

Bangunlah wahai saudaraku...Nyatakan pendapatmu!!

Parti Islam Semalaysia Pas mengharapkan rakyat dapat “sekolahkan” pemimpin BN melalui kuasa politik. Pemimpin yang tidak memperdulikan rakyat ini hanya takut dengan azab dunia iaitu apabila kuasa mereka ditumbangkan oleh rakyat. Setelah mereka merasakan rakyat bertambah yakin melalui peti undi pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi maka mereka sudah lupa kepada rakyat dan tidak mahu mengambil tahu tentang derita rakyat.
Kenaikan barang 4 dalam 1 pada 4 Disember 2010, memang tidak boleh diterima oleh akal. RON 95 naik 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, Gas  naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula naik 20 sen menjadi RM2.10 sen.
Biasalah hujah yang membodohkan rakyat dengan ungkapan penyelarasan dan subsidi dikurangkan. Negara Singapura masih mahal berbanding dengan Malaysia. Kenapa tidak ambil contoh Brunei dan negeri yang ada minyak. Singapura walaupun mahal tetapi kuasa membeli rakyatnya tetap tinggi dan Singapura bukan negeri pengeluar minyak.
Pas mengharapkan seluruh jentera penerangan Pas dan Pakatan Rakyat  mesti bangkit untuk menimbulkan kesedaran politik di kalangan rakyat terutama mereka yang tidak banyak menggunakan media baru. Justeru itu semua cawangan Pas mesti menaikkan kain rentang di setiap kampung terutamanya, untuk membangkitkan kesedaran bahawa negara di dalam bahaya apabila diperintah oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Tanamkan kesedaran kerajaan mesti ditukar kepada Pakatan Rakyat.
Di antara perkataan  yang boleh ditulis di kain rentang dan diletakkan di tempat yang strategi dengan huruf yang besar dan ditukar dua minggu sekali untuk memaklumkan kepada rakyat supaya wajib tolak Bn dalam pilihanraya akan datang. ” Terima Kasih BN Kerana Naik Harga Petrol, Diesel, Gas dan Gula” “Barang Naik,Rakyat Kena Dulu””Beri Kuasa Pada PR Kalau Tidak Boleh Jaga Rakyat” “Kerajaan PR Teruji Dan Terbukti Membela Rakyat””Pemimpin Kaya Rakyat Terseksa””Pemimpin Joli Rakyat Tidak Dipeduli””Jangan Biarkan Anak Cucu Kita Melarat””Tolak BN Anda Mampu Mengubahnya””Kami Rakyat Bermaruah Akan Tolak BN” “Barang Naik, BN Tidak Pandai Memerintah” “Tugas Kerajaan Jaga kebajikan, Bukan Tekan Rakyat” “Selamatkan Negara Daripada Muflis””Mana Wang Petronas Dihabiskan””Negara Malaysia Bukan Padang Pasir Yang Tidak Ada Hasil””Kemana hasil Balak,Kelapa Sawit,Getah, Mutiara, Pasir Dihabiskan?””Pemimpin BN Bela Kroni Dan Anak Bini””Anda Sayang Keluarga,Bangkit Tolak BN”
Ke mana hak kita sebagai rakyat? Anda berhak menentukannya!!!

Siapa PAS?

             
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

PAS adalah antara gerakan Islam yang tersohor di rantau Melayu dan Asia Tenggara sekarang ini. Penubuhan PAS berakar umbi dari gerakan dakwah dan pembebasan tanah air dari penjajah Inggeris yang dimulakan oleh para ulama’ Islam yang kemudiannya menubuh Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 sebelum merdeka di Gunung Semanggol.

Akan tetapi Hizbul Muslimin telah diharamkan oleh British lima bulan kemudiannya iaitu pada bulan ogos 1948. Walaupun begitu, aktiviti Hizbul Muslimin diteruskan sehingga tertubuhnya PAS pada 24 Nov. 1951.

PAS ditubuhkan bukan semata-mata kerana didorong oleh tuntutan politik semasa, tidak kerana kepincangan dalam UMNO atau kerana idealisme dari mana-mana pemimpin tertentu. Tetapi PAS ditubuhkan atas tuntutan Islam. Islam mewajibkan umatnya menegakkan hukum-hakam Allah di dalam negara atau muka-bumi yang dikuasai mereka.

Kerana itu Allah mewajibkan ke atas mereka menjalankan dakwah, jihad, menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar. Kewajipan-kewajipan ini tidak lain supaya ajaran dan hukum-hakam Allah tertegak dan terus diamalkan di atas muka-bumi ini khususnya dalam negara umat Islam.

Kewajipan-kewajipan tersebut tidak akan mencapai matlamat dan sasarannya yang dikehendaki Allah jika hanya dengan inisiatif individu. Ia memerlukan perjuangan secara jamaah atau harakah. Inilah yang diperintahkan Allah melalui firmanNya;

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.

(Ali Imran: 104)

Hasil dari kesedaran inilah maka lahirnya PAS. PAS sejak penubuhannya merupakan sebuah jamaah atau harakah yang memperjuangkan Syari’at, hukum-hakam dan sistem hidup Islam. Ini termaktub di dalam perlembagaan yang antara lainnya menegaskan (dalam fasal 6);

“Memperjuangkan Islam sebagai Aqidah dan Syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan”.

Para pimpinan, ulama’ dan cendekiawan dalam PAS sejak awal lagi menyedari bahawa harakah Islam dalam usahanya mendaulatkan undang-undang Islam tidak boleh hanya bergantung kepada lisan semata-mata. Sebaliknya ia perlu mendapat kuasa bagi memastikan tuntutan Islam itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dalam konteks bernegara, kuasa yang dimaksudkan ialah politik. Ini bersesuaian dengan kaedah usul fiqh yang menyebutkan;

مَاْ لَاْ يَتِمُّ الْوَاْجِبُ إِلَّاْ بِهِ فَهُوَ وَاْجِبٌ

“Jika tidak sempurna suatu kewajipan kecuali dengan suatu perkara, maka perkara itu turut menjadi wajib”.

Menegakkan Syari’at dan hukum-hakam Allah dalam negara adalah wajib. Namun kewajipan ini mustahil terlaksana jika Islam tidak menguasai politik dan pemerintahan negara. Kerana itu berusaha dan berjuang untuk mendapatkan kuasa politik bagi Islam adalah wajib untuk menyempurnakan kewajipan menegakkan Syari’at dan hukum-hakam Allah itu.

Bagi mendapatkan kuasa politik dalam negara Malaysia ini, tidak dapat tidak harakah Islam (PAS) mesti melibatkan diri dalam pilihanraya. Untuk melibatkan diri dalam pilihanraya, PAS perlu perlu mendaftarkan diri sebagai parti politik dan tidak boleh bergerak sebagai badan dakwah semata-mata atau badan bukan kerajaan.

Walaupun didaftarkan sebagai sebuah parti politik, namun sifat PAS sebagai sebuah harakah dan jamaah Islam adalah kekal. PAS merupakan sebuah jamaah dan harakah Islam sama seperti Ikwan Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di India-Pakistan, Refah di Turki dan sebagainya. Inilah hakikat yang diyakini oleh para pimpinan dan ahli-ahli PAS hingga kini. PAS tidak pernah menjadikan medan politik sebagai satu-satunya wasilah untuk menyampaikan risalah Islam dan perjuangannya untuk menegakkan Syari’at dan undang-undang Islam.

Di samping politik pilihanraya, PAS juga bergerak aktif mentarbiah ahli-ahlinya dengan tarbiah Islam secara berterusan (melalui program usrah, kuliah, pengajian dan sebagainya), menyebarkan fikrah dan kefahaman Islam kepada masyarakat (melalui ceramah, dakwah, seminar-seminar, akhbar-akhbar dan sebagainya), menubuhkan institusi-institusi pengajian Islam di peringkat rendah dan tinggi (seperti Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam (Madrasah), Kolej dan Universiti Islam) dan sebagainya.

PAS : Mehnah dan Cabaran

PAS hari ini sudah menjangkau usia lebih setengah abad (yakni lebih 50 tahun). Sebagaimana gerakan-gerakan Islam yang lain yang wujud berasaskan perjuangan Islam, PAS juga tidak terkecuali terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan di sepanjang usia perjuangan Islamnya.

Jika sebelum merdeka perjuangan Islam ditentang oleh penjajah hingga Hizbul Muslimin diharamkan, maka selepas merdeka ia ditentang oleh golongan nasionalis sekularis Melayu yang ditinggalkan oleh penjajah untuk mengekalkan corak pemerintahan sekular mereka di bumi Melayu ini.

PAS telah dilabelkan dengan pelbagai label yang buruk untuk menjauhkan masyarakat daripadanya. Ia dituduh sebagai parti ekstrimis (pelampau), komunis, pemecah-belah masyarakat, anti kemajuan dan sebagainya. Pergerakannya sentiasa ditekan oleh pemerintah. Kebebasannya untuk bersuara disempitkan. Pimpinan PAS ada yang dipenjara dan diISAkan.

Bahkan ada yang dibunuh Syahid sebagaimana yang berlaku terhadap Ustaz Ibrahim Libya di Memali. Dari segi politik pula, PAS tidak diberikan hak yang sepatutnya untuk menyatakan ideologi perjuanganya kepada masyarakat. Kebebasan akhbar disempitkan dan media elektronik awam (khususnya TV dan Radio) disekat terus.

Dalam keadaan penuh tekanan dan cabaran itu, PAS terus kekal sebagai satu-satunya Parti Islam yang mendepani taghut di Malaysia ini. Boleh dikatakan semua parti pembangkang yang wujud seangkatan dengan PAS telah berkubur kerana tidak tahan dengan tekanan dan cabaran yang dihadapi. Namun PAS terus hidup hingga ke hari ini meneruskan perjuangannya.

Jika rahsia UMNO terus hidup adalah kerana ia dibela dan disusui oleh kerajaan atau pemerintah sejak sebelum merdeka lagi, tetapi PAS terus hidup kerana idealisma perjuangannya -iaitu untuk menegakkan kedaulatan Islam- yang menjadi cita-cita yang tidak pernah padam di dalam hati sanubari ahli-ahli PAS.

Tanpa mengenal erti kecewa dan putus asa, PAS meneruskan perjuangannya di celah-celah duri cabaran dan rintangan. Para pendokong PAS tidak pernah sangsi sedikitpun terhadap kebenaran perjuangan yang mereka dokongi. Mereka mempunyai keyakinan yang penuh bahawa perjuangan mereka adalah Fi Sabilillah (Perjuangan Di Jalan Allah) yang akan dikurniakan kemenangan oleh Allah. Dengan keyakinan ini, mereka berusaha dan bekerja untuk mendaulatkan Islam dan menegakkan kerajaan atau negara Islam di bumi Malaysia ini.

Tarbiyah dan Tamhis dari Allah

Ujian, cabaran, kepayahan, kekalahan, kematian dan sebagainya dalam perjuangan Islam merupakan tarbiah (didikan), tasfiyah (pengkelasan) dan tamhis (penyucian) dari Allah untuk memantapkan kekuatan para pendokong Islam, membersihkan saf mereka dari golongan munafik dan menyucikan jiwa mereka dari saki-baki jahiliyah. Perhatikanlah pengajaran yang telah dinyatakan Allah di sebalik kekalahan kaum muslimin dalam peperangan Uhud sebagaimana yang difirmanNya dalam surah Ali Imran;

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ، إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ، وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَمْحَقَ الْكَافِرِينَ، أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

“Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”.

“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian daripada kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim”.

“Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir”.

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam berjuang)?”.

(Ali Imran; 139-142)

Jadi apa yang dihadapi oleh PAS selama tempoh lebih 50 tahun iaitu sejak tahun sejak masa 1951 (bulan November) hingga ke hari ini hendaklah dianggap oleh ahli-ahli PAS hari ini -khususnya generasi muda- sebagai satu tarbiyah Ilahiyah untuk mematangkan PAS dan memantapkan safnya ke arah menerima kemenangan yang sememangnya dijanjikan Allah.

Selama tempoh itu PAS diberi didikan oleh Allah dengan didikan keimanan, keilmuan, kesabaran, siasah, strategi, gerakan dan sebagainya dan juga selama tempoh itu berlakunya proses Tamhis dan Tasfiyah untuk membuang dari PAS segala unsur-unsur yang tidak Islamik termasuklah menepis keluar golongan-golongan munafik dari saf perjuangan.

Golongan muda dalam PAS hari ini hendaklah menyemak kembali sejarah PAS; menceduk pengajaran dan pengalaman berharga dari sejarah 50 tahun PAS sebagai bekalan untuk meneruskan perjuangan dengan lebih mantap lagi.
 
Takbir!!!! Allahu Akbar!

Takut rahsia terbongkar??

                                        

 Parti Islam Semalaysia  Pas  mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang penyelewengan kerajaan BN akan terbongkar sehingga   beliau mengingatkan  pemimpin pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara supaya tidak terjebak dengan fitnah yang ditabur oleh media yang menyokong pembangkang.

Tan Sri Muhyidin bercakap seolah-olah kerajaan pada hari ini tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap media pembangkang jika ada unsur fitnah. Berapa banyak Akta yang ada di Malaysia, seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak, Akta Universiti Kolej, Akta Keselamatan Dalam Negeri yang boleh bertindak. Nampak sangat kerajaan BN pada hari ini takut dengan bayang-bayang.sendiri. Tan Sri Muhyidin hendak menutup bangkai gajah dengan tudung saji, sedangkan penyelewengan umno tidak dapat dibendung lagi, kerana seluruh dunia sudah mengetahui.

Siapa tidak tahu Malaysia negara rasuah. Siapa tidak tahu Malaysia mempunyai khazanah negara yang banyak tetapi dibolot oleh pemimpin sehingga rakyat derita.   Rakyat akan dapat tahu lebih banyak setelah kerajaan BN tumbang nanti, sebagai mana yang telah diselongkarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini.

Timbalan Presiden Umno buat-buat lupa, pada hal media umno yang melemparkan fitnah kepada pemimpin Pakatan Rakyat seperti memfitnah Dato’ Seri Haji Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak, memutarkan berita bacaan doa kepada YAB Lim Guan Eng dalam khutbah, wang untuk warga emas yang beragama Islam difitnah daripada wang judi

.Tan Sri Muhyidin hanya membuang masa bercakap kepada orang yang cerdik di kalangan pelajar. Mereka ini dengar, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Pelajar bukan orang yang bodoh, mereka golongan terpelajar. Segala tuduhan,pelajar tidak telan bulat-bulat, dan mereka tidak rela untuk diperbodohkan oleh pemimpin umno.

Mereka pergi dengar kerana dipaksa rela, bukan suka rela. Timbalan Presiden umno boleh berleter apa sahaja yang beliau mahu, apabila pelajar balik membuka internet untuk menyaring apa yang didengar tadi. Inilah untungnya zaman multimedia, dunia tanpa sempadan. Tetapi  zaman langit terbuka ini menjadi mimpi ngeri pada pemimpin umno, kerana dalam sekelip mata segala fitnah yang mereka lemparkan kepada pembangkang akan mendapat jawapan sebenarnya.

Ketua Penerangan Pas Pusat

- Saya bersetuju dengan kenyataan di atas kerana manusia dikurniakan akal untuk berfikir, bukan untuk mengikut membabi buta dan mengampu.Kepada mahasiswa, jangan lupa mencari sumber yang sah untuk mengetahui kebenaran. Biarpun ugutan demi ugutan dibuat, kamu semua harus bangun untuk menguasai dunia-

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates