Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

POLITIK ISLAM


“Ish, ni yang aku tak suka pasal politik ni. Asyik tuduh-menuduh,fitnah-menfitnah. Bila la nak aman dunia ni. Politik itu kotor,” mengeluh Shida sambil menghadap laptopnya yang terletak elok di atas meja.

“Politik itu kotor ke?”muka Alia yang tengah membaca majalah itu berubah serta merta.


“Politik memang kotor” tegas Shida. Bernada yakin.
“Tapi tak bagi aku,” balas Alia.
“Kenapa pula?” Shida berpaling ke arah Alia.
 Alia bangkit dari tempat duduknya,mendekati Shida.

“Bagi aku, politik itu tak kotor. Bila orang jahil yang mengemudi pentas politik, tu yang menampakkan politik itu kotor. Bukan salah politik itu sendiri.

Sebenarnya,politik itu sebahagian daripada Islam. Pengertian dan konsep politik dalam Islam sangat berbeza dengan pengertian dan konsep yang digunakan oleh orang yang bukan Islam,” terang Alia panjang lebar.



“Kau ni macam nak jadi ahli politik la pula,” balas Shida. “Shida,aku ambil tahu pasal politik bukan bererti aku nak jadi ahli politik,” Alia membalas dengan senyuman.

 “Habis tu?”

 “Sebelum kita menghukum sesuatu, elok kalau kita mendalami dan mengkaji dulu. Baru la kita ada hujah dan pendirian yang kukuh tentang sesuatu perkara. Sebelum kau kata politik tu kotor ke apa ke, kan elok kalau kau kaji dulu apa itu politik dan konsep-konsepnya seperti yang dikehendaki dalam Islam,” Alia berbicara gaya ustazah.

“Betul juga tu Alia,” balas Shida.
“Tak kenal, maka tak cinta. Tak tahu, maka tambahlah ilmu,”


 Pengertian Politik Menurut Islam Politik atau dalam bahasa Arabnya, siasah menurut bahasa :
“Sasa- yasusu- siyasatan wa riasah” yang membawa maksud tadbir, perintah, mengetuai
( Lisan al-Arab, Dar al-kutub al-ilmiah)


 Manakala menurut istilah para ulama’ terdahulu terbahagi kepada dua, iaitu :

1. Makna ‘Am :
Mentadbir urusan manusia dan urusan dunia mereka dengan syariat Deen.
Dengan ini kita dapati mereka mentakrifkan ‘Khilafah’ sebagai : Mafhum : “Sebagai pengganti tugas Rasul dalam menjaga Agama dan mentadbir Dunia dengan berpaksikan agama” 

2. Makna Khas :
Tindakan-tindakan yang dibuat oleh Imam (Pemerintah) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk menghalang kerosakan dan mencegah kerosakan yang belum melanda atau suatu langkah pemulihan.

Sebagai contoh tindakan seumpama ini adalah tindakan yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a yang membakar peliwat, Khalifah Umar Al-Khattab ra pula pernah mencukur rambut Nasar bin Hajjaj akibat digilai oleh perempuan Madinah. Semua tindakan ini berubah menurut kepentingan maslahat setempat dan zaman.

Menurut As-Syahid Imam Hasan Al-Banna :
‘Siasah adalah kajian tentang persoalan umat Islam sama ada dalam dan luar negeri, ia tidak terikat dengan ikatan kepartian semata-mata” Perkataan asal siyasah digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya :

Mafhum :
“Dahulunya Bani Israel dipimpin oleh para Nabi, tatkala wafat seorang Nabi maka dibelakangnya terdapat Nabi (lagi) dan sesungguhnya tiada seorang pun lagi Nabi selepas Aku (Rasulullah ), dan diikuti oleh para pemimpin…”

 Asas asas sistem politik Islam Asas asas sistem politik Islam ialah:

a) Hakimiyyah Ilahiyyah Hakimiyyah atau memberikan kuasa pengadilan dan kedaulatan hukum tertinggi dalam sistem politik Islam hanyalah hak mutlak Allah.
Tidak mungkin ianya menjadi milik sesiapa pun selain Allah dan tidak ada sesiapa pun yang memiliki suatu bahagian daripadanya.

 Firman Allah yang mafhumnya:
"Dan tidak ada sekutu bagi Nya dalam kekuasaan Nya." (Al Furqan: 2)
 "Bagi-Nya segaIa puji di dunia dan di akhirat dan bagi Nya segata penentuan (hukum) dan kepada-Nya kamu dikembalikan." (A1 Qasas: 70)

Hakimiyyah Ilahiyyah membawa pengertian yang berikut:

 - Bahawasanya Allah adalah Pemelihara alam semesta yang pada hakikatnya adalah Tuhan yang menjadi Pemelihara manusia, dan tidak ada jalan lain bagi manusia kecuali patuh dan tunduk kepada sifat Ilahiyyah-Nya Yang Maha Esa

 - Bahawasanya hak untuk menghakimi dan mengadili tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali Allah. Oleh kerana itu, manusia wajib taat kepada-Nya dan beribadat kepada-Nya

 - Bahawasanya hanya Allah sahaja yang memiliki hak mengeluarkan hukum sebab Dialah satu satu Nya Pencipta

- Bahawasanya hanya Allah sahaja yang memiliki hak mengeluarkan peraturan, sebab Dialah satu-satu Nya Pemilik

 - Bahawasanya hukum Allah adalah sesuatu yang benar sebab hanya Dia sahaja Yang Mengetahui hakikat segala sesuatu, dan di tangan-Nyalah sahaja penentuan hidayah dan penentuan jalan yang selamat dan lurus. Hakimiyyah Ilahiyyah membawa erti bahawa teras utama kepada sistem politik Islam ialah tauhid kepada Allah di segi rububiyyah dan uluhiyyah Nya.

 b) Risalah Jalan kehidupan para rasul diiktiraf oleh Islam sebagai sunan al huda atau jalan jalan hidayah.

Jalan kehidupan mereka berlandaskan kepada segala wahyu yang diturunkan daripada Allah untuk diri mereka dan juga untuk umat-umat mereka. Para rasul sendiri yang menyampaikan hukum-hukum Allah dan syari'at-syari'at Nya kepada manusia. Risalah bererti bahawa kerasulan beberapa orang lelaki di kalangan manusia sejak Nabi Adam hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah satu asas yang penting dalam sistem politik Islam. Melalui landasan risalah inilah maka para rasul mewakili kekuasaan tertinggi Allah di dalam bidang perundangan dalam kehidupan manusia.

Para rasul menyampaikan, mentafsir dan menterjemahkan segala wahyu Allah dengan ucapan dan perbuatan mereka.Dalam sistem politik Islam, Allah telah memerintahkan agar manusia menerima segala perintah dan larangan Rasulullah s.a.w. Manusia diwajibkan tunduk kepada perintah Rasulullah s.a.w dan tidak mengambil selain daripada Rasulullah s.a.w untuk menjadi hakim dalam segala perselisihan yang terjadi di antara mereka.

 Firman Allah yang mafhumnya:
"Apa yang diperintahkan Rasul kepadamu, maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagi kamu, maka tinggalkanlah." (Al Hasyr: 7)
"Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul melainkan untuk dita'ati dengan seizin Allah." (An Nisa': 64)

 c) Khalifah

 Khalifah bererti perwakilan.
Dengan pengertian ini, ia bermaksud bahawa kedudukan manusia di atas muka bumi ialah sebagai wakil Allah. Ini juga bermaksud bahawa di atas kekuasaan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Allah, maka manusia dikehendaki melaksanakan undang-undang Allah dalam batas-batas yang ditetapkan.
Di atas landasan ini, maka manusia bukanlah penguasa atau pemilik, tetapi ia hanyalah khalifah atau wakil Allah yang menjadi Pemilik yang sebenarnya.
 Firman Allah yang mafhumnya:
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi... " (Al Baqarah: 30)



 Seseorang khalifah hanya menjadi khalifah yang sah selama mana ia benar-benar mengikuti hukum hukum Allah. Oleh itu khilafah sebagai asas ketiga dalam sistem politik Islam menuntut agar tugas tersebut dipegang oleh orang orang yang memenuhi syarat-syarat berikut:

 i. Mereka mestilah terdiri daripada orang orang yang benar-benar menerima dan mendukung prinsip-prinsip tanggungjawab yang terangkum di dalam pengertian khilafah

 ii. Mereka tidak terdiri daripada orang orang zalim, fasiq, fajir dan lalai terhadap Allah serta bertindak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Nya

 iii. Mereka mestilah terdiri daripada orang-orang yang berilmu, berakal sihat, memiliki kecerdasan, kearifan serta kemampuan intelek dan fizikal

 iv. Mereka mestilah terdiri daripada orang-orang yang amanah sehingga dapat dipikulkan tanggungjawab kepada mereka dengan aman dan tanpa keraguan

Prinsip-prinsip Utama Sistem Politik Islam

Prinsip prinsip sistem politik Islam terdiri daripada beberapa perkara.
Di antaranya:
 a) Musyawarah
 -Asas musyawarah yang paling utama adalah berkenaan dengan pemilihan ketua negara dan orang orang yang akan menjawat tugas utama dalam pentadbiran ummah.
 -Asas musyawarah yang kedua pula adalah berkenaan dengan penentuan jalan dan cara perlaksanaan undang-undang yang telah dimaktubkan di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah.
 -Asas musyawarah yang seterusnya ialah berkenaan dengan jalan menentukan perkara-perkara baru yang timbul di kalangan ummah melalui proses ijtihad.

 b) Keadilan Ini adalah menyangkut dengan keadilan sosial yang dijamin oleh sistem sosial dan sistem ekonomi Islam. Keadilan di dalam bidang sosioekonomi tidak mungkin terlaksana tanpa wujudnya kuasa politik yang melindungi dan mengembangkannya.

Di dalam perlaksanaannya yang luas, prinsip keadilan yang terkandung dalam sistem politik Islam meliputi dan menguasai segala jenis perhubungan yang berlaku di dalam kehidupan manusia, termasuk keadilan di antara rakyat dan pemerintah, di antara dua pihak yang bersengketa di hadapan pihak pengadilan, di antara pasangan suami isteri dan di antara ibu bapa dan anak anaknya.
Oleh sebab kewajiban berlaku adil dan menjauhi perbuatan zalim adalah merupakan di antara asas utama dalam sistem sosial Islam, maka menjadi peranan utama sistem politik Islam untuk memelihara asas tersebut. Pemeliharaan terhadap keadilan merupakan prinsip nilai-nilai sosial yang utama kerana dengannya dapat dikukuhkan kehidupan manusia dalam segala aspeknya.

c) Kebebasan
 Kebebasan yang dipelihara oleh sistem politik Islam ialah kebebasan yang berteraskan kepada ma'ruf dan kebajikan. Menegakkan prinsip kebebasan yang sebenar adalah di antara tujuan terpenting bagi sistem politik dan pemerintahan Islam serta asas bagi undang-undang perlembagaan negara Islam.

d) Persamaan (atau musawah)
Persamaan di sini terdiri daripada persamaan dalam mendapat dan menuntut hak, persamaan dalam memikul tanggungjawab menurut peringkat yang ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan dan persamaan berada di bawah taklukan kekuasaan undang-undang.

e) Hak Menghisab
Pihak Pemerintah Prinsip kelima dalam sistem politik Islam ialah hak rakyat untuk menghisab pihak pemerintah dan hak mendapat penjelasan terhadap tindak tanduknya.

Prinsip ini berdasarkan kepada kewajiban pihak pemerintah untuk melakukan musyawarah dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan dan pentadbiran negara dan ummah. Hak rakyat untuk disyurakan adalah bererti kewajipan setiap anggota di dalam masyarakat untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran.

Hak ini dalam pengertian yang luas juga bererti hak untuk mengawasi dan menghisab tindak tanduk dan keputusan pihak pemerintah.

Prinsip ini berdasarkan kepada firman Allah yang mafhumnya:
"Dan apabila ia berpaling (daripada kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan." (Al-Baqarah: 205)

Tujuan Politik Menurut Islam


Tujuan sistem politik Islam ialah untuk membangunkan sebuah sistem pemerintahan dan kenegaraan yang tegak di atas dasar untuk melaksanakan seluruh hukum syari'at Islam. Tujuan utamanya ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam atau Darul Islam. Dengan adanya pemerintahan yang mendukung syari'ah, maka akan tertegaklah al Din dan berterusanlah segala urusan manusia menurut tuntutan tuntutan al Din tersebut. Para fuqaha Islam telah menggariskan sepuluh perkara penting sebagai tujuan kepada sistem politik dan pemerintahan Islam.


 1) Memelihara keimanan menurut prinsip-prinsip yang telah disepakati oleh 'ulama' salaf daripada kalangan umat Islam
2) Melaksanakan proses pengadilan di kalangan rakyat dan menyelesaikan masalah di kalangan orang orang yang berselisih
3) Menjaga keamanan daerah Islam agar manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai
4) Melaksanakan hukuman-hukuman yang ditetapkan syara' demi melindungi hak-hak manusia
5) Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar
6) Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam
7) Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat dan sedekah sebagai mana yang ditetapkan oleh syara'
8) Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros ataupun secara kikir
 9) Mengangkat pegawai-pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara
10) Menjalankan pengawalan dan pemeriksaan yang rapi di dalam hal ehwal awam demi untuk memimpin negara dan melindungi al Din.

 ******
“Oh, baru aku faham bagaimana sebenarnya politik dalam Islam,” Shida tersenyum puas.
“Baguslah kalau macam tu,” balas Alia sambil menepuk-nepuk bahu Shida.


Rujukan: 
http://zaharuddin.net/politik-&-dakwah/55/76-memahami-politik-islam.html
https://ms-my.facebook.com/notes/amirul-amin/sistem-politik-dalam-islam-wajib-dibaca-kepada-sesiapa-yang-bernama-islam/148508085181383

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates