Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Ke Mana Hilangnya Cinta?



Ke mana hilangnya cinta?..cinta yang dipinjamkan Allah, sang pencipta cinta. Apakah yang sedang terjadi di dunia fana ini? Kerakusan manusia tiada berbatas. Nyawa seorang insan ibarat tiada nilai. Kekejaman menakluki pemikiran dan tindakan. Kisah menyayat hati seorang ayah yang kehilangan anak kesayangan, adalah sejuzuk daripada beribu-ribu lagi kisah hampa di bumi Syria. Saban hari, satu persatu nyawa dicabut izrail. Banyaknya syuhada' yang pergi menghadap tuhan yang Esa. Belum di kira yang tercedera. Darah yang mengalir sia-sia. Merah darah mewarnai kolam air mata yang melimpah ruah. Semuanya kerana tamak dan dahagakan kuasa dan dunia.

Syria bumi yang dahulunya dikenali sebagai bumi Syam, tempat yang pernah menjadi kota perdagangan terulung tanah arab pada suatu ketika dahulu. Kita sering didengarkan dengan kisah Nabi Muhammad S.A.W berdagang ke bumi Syam, baginda pernah berniaga barang dagangan ayah saudaranya Abu Talib dan juga barang dagangan Siti Khadijah r.a. Di sebuah bandar yang bernama Homs, terletaknya maqam seorang panglima Islam terulung, dengan gelaran Saifullah Al-Maslul, Saidina Khalid Al-Walid. Bumi Syam ini juga pernah mencatatkan kisah sedihnya tersendiri ketika berlakunya perang saudara sesama umat Islam, iaitu perang Siffin.

Syria, bumi penuh bersejarah, kini diambang pergolakkan. Kebangkitan rakyat menentang rejim yang zalim menjadi fenomena yang merebak ke seluruh pelusuk tanah arab. Satu persatu negara memaparkan kebangkitan rakyatnya. Bermula dengan kisah di Tunisia, diikuti Mesir. Memperlihatkan kejatuhan rejim yang berkurun mencengkam kehidupan rakyat demi kepuasan duniawi mereka yang tamak.Inspirasi ini terus menjadi harapan buat rakyat di negara-negara arab yang lain. Di Bahrain, Jordan, Yaman dan Syria. Sebuah kesenangan tidak dikecapi tanpa pengorbanan yang tinggi. Di Syria, tsaurah mereka adalah yang mencatatkan kematian tertinggi. Bukan sedikit harta yang perlu dibayar untuk menegakkan yang hak, mereka membeli syurga dengan nyawa mereka. 

Kekejaman rejim Basyar AsSad yang diwarisi dari ayahnya Hafez AsSad, menggunakan kekuatan tenteranya, menentang dan membunuh rakyatnya yang bangkit menuntut hak, sesuatu yang tidak dapat diterima naluri insaniah. Namun, masih ada pihak yang menyokong tindakan kejam ini malah menunding jari meletakkan kesalahan ke atas rakyat yang dikatakan pemberontak dan pengganas. China, Russia dan Iran, seolah menghadiahkan senyuman sinis melihat gugurnya satu persatu syahid di bumi Syria. Persoalannya, kita sebagai muslim, adakah sekadar menonton pementasan realiti ganas ini?  

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:    "المسلم أخو المسلم" .   Orang muslim itu adalah bersaudara. Talian persaudaran berlandaskan akidah adalah ikatan terkuat. Adakah dinamakan saudara andai kesakitan dialami saudaranya tidak diendahkan? Tidak ada dalam kehidupannya walaupun sejenak untuk memikirkan kesengsaraan saudara semuslim. Adakah itu dinamakan saudara?. Penulis dengan ini ingin mengajak para pembaca agar lebih cakna dan mengetahui isu-isu yang sedang berlaku di bumi Syria. Panjatkan doa pada Ilahi agar kesengsaraan ini berakhir dengan segera, pihak yang zalim diadili sebaiknya oleh Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha 'Adil. Andai tiada kudrat yang mampu disampaikan sebagai pertolongan, sekurang-kurangnya doa sebagai tanda kasih sayang sesama saudara.

اللهمَّ انْصُرْ إخوانَنَا الْمُسْتَضْعَفِين في سوريا اللّهُمَّ انْصُرْ إخْوانَنَا الْمُجاهِدِين في سوريا




Moga Allah selamatkan Syria dan umat Islam di seluruh dunia. Janji Allah itu pasti , kemenangan Islam semakin hampir, namun dimana kita berdiri dalam spektra kemenangan ini? Adakah sekadar penonton ataupun sebagai satu sinaran warna dari warna-warna pelangi yang indah.  

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates