Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Derita Dalam Dakwah~




Ketika menusia berada dalam jurang kesesatan yang sangat jauh, ketika itulah pula Nabi Ibrahim A.S diutus oleh Allah Taala, Tuhan sekalian alam. Tugas utama Baginda Ibrahim adalah mengajak kaumnya kepada kebenaran, Baginda menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Baginda mengajak kaum mentauhidkan Allah,
tetapi kaumnya menolak ajakan Baginda yang didakwa disampaikan dengan cara seruan yang sangat keras, tidak boleh diterima. Bahkan mereka melemparkan Nabi Ibrahim A.S ke ke dalam unggun api yang besar untuk membinasakannya. Setelah kenabian Nabi Ibrahim A.S berakhir, umat semakin lama semakin bertambah menyimpang dari jalan yang lurus. Mereka kembali mengagungkan dan menyembah patung-patung, serta mereka lebih condong kepada kehidupan duniawi dan segala sesuatu yagn bersifat materialistik.

Ketika manusia sedang berada dalam puncak kesesatan yagn jauh, maka di saat itulah Allah Taala mengutus Nabi Musa A.S di Mesir. Saat itu jiwa penduduk Mesir telah membatu, bahkan perasaan lebih keras dari batu. Nabi Musa A.S berusaha mengajak mereka ke jalan yang lurus. Nabi Musa A.S menegakkan tugas suci seorang Rasul, amar ma'ruf nahi mungkar. Beliau dan Nabi Harun A.S, saudara Baginda yang turut bersamanya mengajak manusia ke jalan yang lurus dengan susah payah dan penuh dengan tentangan serta penderitaan. Kedua-dua utusan Allah itu, terus bersabar saat menyampaikan risalah kenabian yang dibebankan di bahu-bahu mereka.

Tugas amar ma'ruf nahi mungkar bukanlah perkara yagn mudah. Tidak sedikit Para Nabi dan Rasul yang terbunuh, ketika mengajak kaumnya menurut manhaj dakwah itu. Tubuh Nabi Zakaria A.S pernah diancam dan dibelah menjadi dua menggunakan gergaji besi, kerana menanggung risalah yang mesti disampaikan. Demikian pula halnya dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa A.S, kedua-dua jiwa manusia mulia ini diancam bunuh, ketika mengajak kaum-kaumnya menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar.

Meskipun demikian, tentangan yang dihadapi Nabi Muhammad S.A.W dari kaum Baginda sendiri lebih berat dan dahsyat, sehingga Baginda S.A.W pernah bersabda kepada Aisyah R.A (maksudnya), "Aku telah menerima tentangan dan ancaman dari kaummu dengan sangat keras" (Sahih Buhkhari)

Sikap kecewa akibat permusuhan yang mesti dihadapi oleh Para Nabi dan Rasul itu juga harus dihadapi oleh para da'ie yang mengajak umat masing-masing ke jalan Allah Taala. Pendakwah yang menyangka bahawa seruannya hari berjaya merupakan pendakwah yang tidak menepati sunnah-sunnah yang pernah dilalui oleh masyayeikh para pendakwah, iaitu Para Nabi dan Rasul.

Tugas dakwah sebenarnya berat dan mencabar. Pendakwah yang melalui denai-denai perjuangan yang diwarisi oleh Para Nabi dan Rasul tentunya juga akan mengungkapkan perkataan seumpama ini, "Selama lapan puluh tahun lebih usaha seruan dakwahku, belum pernah aku merasakan manisnya dunia. Sebab aku menghabiskan usiaku di medan peperangan dan penjara, baik di dalam mahupun di luar negeri. Tidak ada satu penderitaan pun berupa seksaan yagn belum pernah aku alami. Bahkan aku pernah diperlakukan sebagai penjahat perang di dalam negeriku sendiri. Aku juga pernah dibuang di pelbagai negara sebagai pembelot, dan aku pernah dilarang bergaul dengan orang lain (diasingkan) selama berbulan-bulan di dalam penjara khusus di negeriku sendiri. Aku pernah diracun berulangkali, dan dihinakan dengan pelbagai hinaan yang kejian. Sampai muncul satu waktu aku lebih banyak berharap kematian daripada hidup yang terus-menerus terseksa. Andaikata agamaku tidak melarangku melakukan bunuh diri, pasti aku sudah membunuh diriku sendiri. Sebab, kematian bagiku pada waktu itu, lebih aku sukai daripada kehidupan yang penuh dengan seksaan dan penderitaan".

Ungkapan yang tergambar jelas menunjukkan suatu bentuk keluhan dan kekecewaan perasaan yang keluar dari seorang yang jiwanya hampa, terkilan dan kecewa disebabkan oleh tentangan masyarakat sekililing ketika dia mengajak mereka menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Begitulah juga lebih beratnya tugas dakwah yang dijalankan Para Nabi dan Rasul, sejak Nabi Adam A.S sampai kepada Rasulullah S.A.W. Tugas menegakkan dakwah, dan amar ma'ruf nahi mungkar sangat berat, dan memerlukan jiwa-jiwa yang sangat ikhlas dan sabar. Sanggup menanggung beban yang amat berat.


Perlu diketahui bahawa, sesiapa sahaja yang merelakan dirinya untuk mengembangkan tugas suci ini, hendaklah dia sentiasa menjaga diri untuk tetap bersikap istiqomah (konsisten). Sebab tugas suci ini memerlukan peribadi-peribadi yang teguh dan istiqomah dalam menjalankan tugasnya. Bukan orang-orang yang mencari kehidupan dunia, menukar ayat dengan kehidupan dunia, jawatan dan harta yang sangat sedikit itu di sisi Allah Taala. Dengan kata lain, setiap Mukmin sebenarnya mendapatkan tugas untuk memenuhi kewajiban yang utama ini, menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, agar keimanan di sanubari masing-masing terpelihara. Ini kerana, kaitan amalan yang dimaksudkan dengan keimanan seorang hamba sangatlah erat. Setiap individu atau pun kelompok tidak akan pernah kekal kesetiaannya terhadap perintah-perintah agama, kecuali jika ia bersedia menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar.

Sesungguhnya rahsia keberadaan seorang Mukmin dan syarat kekalnya ia sebagai seorang Mukmin adalah menjalankan perintah untuk menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran. Seorang Mukmin tidak boleh mendiamkan kejahatan yang nyata terjadi. Seorang Mukmin juga tidak seharusnya menilai kehidupan peribadinya terlebih dahulu berbanding dari kematian atau kerosakan umatnya.

Setiap Mukmin harus menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar seperti yang pernah dilakukan oleh Para Sahabat, dan mereka menganggap tugas amar ma'ruf nahi mungkar menjadi tugas yang sangat mulia. Sebab itulah setiap Sahabat Nabi tidak pernah dalam hidup mereka berhenti sesaat pun untuk menengakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Setiap Mukmin hendaknya selalu menyandarkan dirinya kepada Allah Taala dalam menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, serta memohon perlindungan kepada Allah Taala, saat menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar di tengah-tengah umat.

Hendaknya setiap Mukmin sentiasa mengorbankan segala apa yang menjadi miliknya untuk menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Sebab, amalan ini membentuk kehidupan tersendiri bagi kualiti diri seorang Mukmin. Setiap Mukmin yang menjadikan iman dan dakwah sebagai sumber amalan di dalam hidupnya, maka ia termasuk seorang yang menjaga lima perkara berikut : "Agama, akal, keturunan, harta dan nyawa".

Di zaman kini, untaian kata para pendakwah tidak ada lagi "atsar-nya" (kesannya) kepada manusia, ibaratnya seperti membuang garam di tengah laut. Di kaca-kaca media, di tengah-tengah majlis ta'alim, dan pelbagai forum, kata-kata pendakwah seperti tiada bekasnya. Sia-sia. Seperti suara di tengah padang pasir. Ini disebabkan para pendakwah seumpama itu memiliki objektif peribadi dan kepentingan duniawi. Mereka bukan orang-orang yang ikhlas, tetapi para pengejar dunia dan menjadikan dunia tambatan kehidupan mereka. Mereka menggunakan agama sebagai kuda "tunggangan" untuk mendapatkan dunia.

Tidak hairan umat semakin jauh dari hidayah agama (Islam). Sementara itu, kesesatan, kederhakaan, kemaksiatan, serta pelbagai ragam dosa terus bertambah. Kerana pendakwah bukan terdiri dari orang-orang yang ingin menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, tidak ke kiri mahupun ke kanan (tiada pendirian yang teguh menegakkan kebenaran), tetapi berdiri di tengah-tengah manusia demi menegakkan mahligai bagi dirinya sendiri. Wallahu'alam. - Oleh Fathullah Gulen

tarbawi.net

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates