Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Salah Faham Terhadap PAS


Pas hanya Parti Politik

        PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak - tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperolehi sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.


       Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biy) secara berkumpulan (jamaie) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.
       Maksud firman Allah; “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang – orang beriman akan melihat amalan kamu.” – al Taubah:105

       Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya. Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.

      Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya. Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan (ulama’ al sulthah). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.

         Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.

        Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti. Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.


        Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;

1-PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.

2-PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.
3-,Dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.

4-, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.

5-, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.

6-Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.



         Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.


Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah


         Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan  tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.

          Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.

          Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.

          Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan. Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.


          Akhir kata,PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.


Dewan Pemuda Pas Malaysia

Rohingya: Prihatinkah kita?




Latar Belakang Tragedi

Secara ringkasnya, etnik Rohingya sudah lama teraniaya dan hidup dalam penderitaan. Cuma tahun ini, telah berlaku suatu krisis yang membawa kesengsaraan mereka ini ke pentas dunia di zaman yang penuh dengan kemajuan maklumat dan teknologi. Sebenarnya tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya berlaku sejak 1938 lagi apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Muslim telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968 dan 1992.

Manakala tragedi yang bermula pada awal Jun tahun 2012 ini tercetus apabila seorang wanita etnik Rakhine dirogol dan dibunuh, dan perbuatan itu didakwa dilakukan oleh beberapa lelaki daripada etnik Rohingya. Sebagai tindak balas dendam, puak Rakhine ini telah mengepung dan menyerang sebuah bas dan membelasah lantas membunuh sepuluh orang lelaki Rohingya, kerana menyangkakan mereka yang bertanggungjawab membunuh dan merogol wanita etnik Rakhine itu. Inilah taktik lazim penjahat mahu mencipta isu, iaitu isu untuk menghalalkan perbuatan haram mereka. Sama seperti Amerika yang membedil Afghanistan, kerana mendakwa Osama ben Laden berada di negara tersebut.

Selepas kejadian itu, segala kekejaman puak Rakhine bermaharajalela. Krisis ini menjadi semakin parah dan berlarutan apabila ia bertukar menjadi lebih ganas dan brutal dengan pembunuhan etnik Rohingya secara berkumpulan oleh puak Rakhine. Etnik Rakhine mengambil kesempatan ini untuk melunaskan dendam mereka terhadap bangsa Rohingya ini yang telah disimpan sejak sekian lama. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila diberitakan bagaimana pihak tentera dan polis yang rata-ratanya juga beragama Buddha turut bekerjasama dalam pembersihan etnik Rohingya ini.

Laporan daripada Amnesty International menyatakan bahawa kemungkinan ribuan umat Islam Rohingya telah disembelih oleh puak pelampau Rakhine. Pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa bagaimana pihak polis, tentera dan etnik Rakhine menembak penduduk kampung dengan begitu bersahaja tanpa rasa bersalah. Tambah menyedihkan ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malahan masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan.

Ada Apa Dengan Rohingya?

Menurut sejarah, etnik Rohingya sudah lama menetap di Burma (nama lama bagi Myanmar) yang berjiran dengan tanah Bengal ketika itu (Bangladesh belum lagi tertubuh). Mereka ini sudah lama menetap di Arakan, sehinggalah penaklukan oleh orang-orang Burma yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Chittagong, daerah di bawah kekuasaan British yang berjiran dengan Arakan. Arakan adalah wilayah yang sedang bergolak sekarang ini. Dan secara mudahnya, etnik Rohingya merujuk kepada golongan Muslim yang pernah menetap di Arakan, dan kemudian berhijrah ke Chittagong sebelum kembali semula ke Arakan.

Semasa penjajahan British di India, pihak British telah menggalakkan orang-orang Bengal, terutamanya dari Chittagong untuk berhijrah ke Arakan untuk menguruskan dan bercucuk-tanam di sana. Disebabkan British memerlukan tenaga buruh murah untuk menguruskan tanaman padi di Burma, kemasukan imigran dari Bengal ke Burma meningkat dengan mendadaknya. Untuk rekod, penghijrahan yang berlaku ini melibatkan seluruh wilayah di Burma dan tidak hanya terhad di Arakan sahaja. Akibat penghijrahan secara berjemaah ini, orang Bengal menguasai ekonomi dan sosio-politik di Burma. Hal ini telah menyemai rasa inferior dan rasisme di kalangan penduduk peribumi Burma.

Kebencian orang Burma terhadap orang-orang Rohingya bertambah parah ketika penaklukan Jepun di Asia. Orang-orang Rohingya majoritinya menyokong pakatan yang antara lainnya terdiri daripada pihak British, manakala etnik Rakhine menyokong penuh penjajahan Jepun ke atas Burma. Akibat daripada perbezaan ideologi ini, ribuan etnik Rohingya dibunuh dengan kejamnya oleh kedua-dua pihak Rakhine dan tentera Jepun. Ramai orang-orang Rohingya melarikan diri ke Chittagong.

Semasa pemerintahan junta tentera pula, nasib orang-orang Rohingya bertambah buruk. Di bawah pemerintahan kuku besi Jeneral Ne-Win, operasi tentera dilakukan berskala besar dan bersistematik terhadap golongan minoriti di Burma. Antara operasi yang paling ganas adalah Operasi Raja Naga. Untuk rekod, bukan orang-orang Rohingya di Burma sahaja yang menjadi mangsa diskriminasi ini, tetapi golongan minoriti yang lain juga seperti orang Kokang dan Cina Muslim.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, etnik Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak punya negara atau pemerintahan sendiri. Tiada negara yang mahukan mereka. Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta izin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka! Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedhaifan, penderitaan dan kesengsaraan.

Isu yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya lebih kepada proses penghapusan etnik oleh Rakhine, sama seperti mana di Bosnia dan Chechnya satu ketika dulu.

Dunia Yang Bisu, Tuli Dan Buta

Seperti yang boleh diduga, apabila sesuatu tragedi atau krisis yang melibatkan umat Islam, pastilah reaksi yang diberikan masyarakat antarabangsa lembab dan berkelajuan kura-kura Pulau Galapagos lagaknya. Yang lebih menyedihkan, reaksi dan tindak-balas daripada masyarakat Islam di seluruh dunia juga di tahap itik pulang petang. Lazimnya pemimpin Islam di setiap negara akan mengeluarkan kecaman itu dan ini, amaran itu dan ini. Ada juga beberapa pemimpin Islam yang lantang mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Jeneral Thein Sein yang seakan-akannya redha dengan tindakan ganas etnik Rakhine terhadap umat Islam Rohingya.


Tambah memalukan Bangladesh selaku jiran yang terdekat menolak dengan tegas pelarian Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di negara mereka. Malah, mereka tidak mengaku yang etnik Rohingya ini ada apa-apa pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh Al-Jazeera berkaitan isu pelarian Rohingya ini dengan bersahaja menyatakan bahawa membantu atau menyelesaikan krisis pelarian Rohingya bukan tanggungjawabnya. Sedangkan sehingga kini, Bangladesh sudah pun menampung lebih 300,000 pelarian Rohingya sedia ada.

Sudah, apa alasan yang mahu kita berikan nanti kepada Tuhan ketika menghadap-Nya di mahkamah agung Mahsyar nanti?

Entah mengapa, seolah-olahnya seluruh rakyat Myanmar yang beragama Buddha merestui upacara pembersihan etnik ini. Hal ini adalah antara kesan dendam kesumat puak Rakhine terhadap Rohingya sejak sekian lama, rentetan dasar dan polisi pihak British yang melebihkan kaum pendatang. Juga pendekatan yang diambil oleh pihak junta tentera yang menjadikan Buddha dan perkauman sebagai senjata untuk mereka terus berkuasa.

Kenyataan Jeneral Then Sein dalam menjelaskan pendirian kerajaan Myanmar terhadap isu Rohingya ini sedikit sebanyak merumuskan persepsi masyarakat awam di Myanmar terhadap umat Islam Rohingya. Ujarnya, "Kita mahu menghantar semua orang Rohingya ke mana-mana negara yang sudi mengambil mereka."

Lebih mengejutkan dan menyedihkan adalah bagaimana Aung San Suu Kyii, yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan pencinta keamanan turut diam membisu dalam isu ini. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan, apabila diasak tentang isu Rohingya dan ditanya apakah wajar mereka ini diberi taraf kerakyatan, hanya mampu untuk menyatakan, "Saya tidak bertanggungjawab." 

Pilihanraya tahun 2015 dilihat sebagai punca utama kepada kebisuan, kebutaan dan ketulian ini. Parti yang dianggotai oleh Suu Kyii amat bergantung kepada sokongan orang-orang Buddha untuk memenangi pada pilihanraya kali ini. Kemudian di sebalik kelam-kelibut wilayah Arakan yang sedang bergolak dan reaksi dunia Islam yang amat mengaibkan, tiba-tiba muncul Turki sebagai wira membela umat Islam Rohingya. Turki secara konsisten dan keras sekali mengecam kerajaan Myanmar atas layanan buruk mereka terhadap umat Islam Rohingya.

Terbaru, isteri kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan, Emine Erdoğan, bersama-sama dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoğlu, telah mengadakan lawatan kemanusiaan ke Myanmar, bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk umat Islam Rohingya. Walaupun dari segi geografinya, kedudukan Turki di Eropah seolah-olahnya tiada kena-mengena dengan umat Islam di Myanmar, hal ini jelas telah membuktikan betapa persaudaraan sesama Islam itu merentasi sempadan dan negara.

Tindakan kerajaan Turki ini dilihat amat bijak, signifikan dan menyebelahi kerajaan pimpinan Erdogan, bukan sahaja di mata umat Islam malah di mata dunia. Semenjak misi Flotilla ke Gaza dua tahun lepas, Turki sudah mula menunjukkan taringnya di pentas politik antarabangsa. Turki kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah negara lemah yang terkinja-kinja mahu menjadi ahli Kesatuan Eropah. Tetapi kini ia dilihat sebagai sebuah negara yang berotot tegap dan boleh diharap dalam membela nasib umat Islam. Dunia kini sedang memerhatikan Turki dengan begitu berhati-hati sekali.

Ya, negara-negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia malah Malaysia sendiri telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya ini. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan juga dilancarkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan. Namun tiada satu pon yang dapat menandingi aura dan kesan jangka panjang seperti yang telah dilakukan oleh Turki. Syabas Turki!

Saya kongsikan di sini beberapa tindakan yang boleh kita ambil Insya-Allah. Semuanya saya kira praktikal dan berada di dalam ruang lingkup kemampuan kita.
  • Pastikan anda sentiasa update dengan isu-isu dan perkembangan terkini. Luaskan pembacaan dan sumber rujukan anda, bukan sekadar maklumat yang dapat dibaca dari sumber tempatan. Lakukan sedikit anjakan paradigma. Lakukan carian di internet untuk mengetahui perkembangan yang terkini. Antara laman sesawang yang menyediakan hapdet terkini tentang nasib umat Islam Rohingya adalah www.rohingya.org. Percayalah, masih ramai sahabat-handai, pakcik-makcik kita di luar sana yang tidak tahu-menahu tentang nasib umat Islam Rohingya ini. Tetapi pastikan maklumat yang bakal anda kongsikan dan sebarkan adalah maklumat yang boleh dipercayai dan disokong oleh fakta dan realiti. Jangan semborono tekan butang 'Like' dan 'Share' di laman Facebook anda tanpa mengesahkan dulu fakta dan berita yang dipaparkan. Kerana ada di antara maklumat bersifat prejudis, meruntuhkan bukan membina.
  • Sumbangan ikhlas untuk umat Islam Rohingya. Pasti sudah banyak tabung-tabung khas dilancarkan untuk tujuan ini. Tetapi, di pihak anda, pastikan anda lakukan sedikit kajian tentang badan-badan kebajikan yang ingin anda salurkan sumbangan itu. Pastikan mereka adalah badan yang terpercaya dan berkredibiliti. Anda tidak mahu sumbangan anda itu digunakan untuk tujuan atau kepentingan yang lain.
  • Ramai orang Islam etnik Rohingya yang sudah menetap dan bekerja di Malaysia. Sekiranya anda berpeluang berjumpa dengan mereka, santunilah mereka. Berborak mesra dengan mereka dan tunjukkan kepada mereka, sebagai saudara seaqidah sedarah agama dengan mereka ini, anda sebenarnya cakna dan peduli dengan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang menderita. Mungkin anda boleh juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka dengan cara ini, untuk disampaikan kepada keluarga mereka di Myanmar, itupun sekiranya ada asas untuk anda benar-benar percaya kepada mereka ini.
  • Sertai protes atau demonstrasi aman yang ada bagi membantah polisi kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Then Sein.
  • Berdoa. Jangan sombong dan malas untuk titipkan doa bukan sahaja untuk umat Islam Rohingya, tetapi juga saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Somalia, Sudan, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Libya, Bahrain dan seluruh dunia. Doa adalah senjata orang-orang Mukmin. Yakinlah padaNya, Insya-Allah suatu hari nanti pasti nasib umat Islam seantero dunia akan terbela juga.
  • Dakwah dan tarbiyah. Tiada cara lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam kepada tempatnya yang hak, melainkan dengan kita sendiri bersungguh-sungguh mahu menyebarkan kebenaran dan mahu menegakkan keadilan di muka bumi ini. Hanya dengan tarbiyah sahaja kita dapat menyedarkan dan mendidik masyarakat tentang peri pentingnya pemerintahan Islam yang selayaknya.
  • Jangan sesekali tinggalkan Usrah, kerana di dalam Usrah-lah individu-individu Muslim yang akan mengembalikan semula Ustaziyatul Alam dibentuk. Hanya apabila Islam sudah tertegak di muka bumi ini penderitaan umat Islam akan berakhir!
Saya kira tujuh langkah ini sudah cukup untuk cuba kita praktikkan, bagi menunjukkan solidariti kita terhadap umat Islam Rohingya. Bukan sahaja untuk mereka, tetapi juga untuk kita umat Islam seluruh dunia. Sekurang-kurangnya kita punya hujah dan alasan di Mahsyar nanti, apabila ditanya apa yang telah kita lakukan demi meringankan penderitaan dan kesengsaraan saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik seperti kita ini.

Akademi Tarbiyah DPPM

Mengapa tahaluf siyasi menguntungkan?


Bekerjasama dengan bukan islam dalam politik aman (siasah dakwah silmiyah).

Pertama : 
BEKERJASAMA UNTUK MELINDUNGI DAKWAH DAN PENDAKWAH.

Adalah di benarkan kepada seorang pendakwah untuk meminta pertolongan demi menjaga maslahah da’awiyah dan penda’wah itu sendiri agar keselamatan diri terjamin dan kerja dakwah berterusan.
Namun, keharusan itu di syaratkan dengan beberapa perkara : 

* Orang bukan islam di yakini amanahnya untuk merialisasikan kerja-kerja da’wah
* Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut pengabaian kepada beberapa prinsip islam
* Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut kita berdiam diri dari berkata benar atau setuju dengan kebatilan
* Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu bermuka-muka dengan kafir atau memuji kekufuran mereka
* Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu penguasaan orang kafir ke atas orang islam  dengan membawa kepada kemudharatan kepada penda’wah.



Contoh keharusan bekerjasama dengan mereka dengan tujuan maslahah dakwah dan pendakwah itu sendiri:

Nabi Muhammad SAW bersama dengan Abu Talib

   Seperti yang kita semua maklum, Abu Talib tetap berlembut dengan Nabi SAW dalam apa jua keadaan. Pihak Quraisy berkali-kali meminta agar Abu Talib menasihati Nabi Muhammad agar tidak menyentuh perihal berhala mereka, tetapi Nabi tetap tegas untuk menjalankan da’wahnya. Melihat  pendirian Nabi SAW, berkata Abu Talib : "Pergilah,wahai anak saudaraku.serulah kepada orang ramai apa yang kamu suka(da’wah islam) Demi Tuhan, aku tidak akan serahkan engkau kepada sesiapa juga selama-lamanya”

Berkata Imam Ibnu Kathir : " Hikmah yang bgitu besar kepada Islam dan Rasulullah SAW di sebalik kufur Abu Talib ialah kekuatannya sebagai benteng utuh da’wah Nabi yang sentiasa mempertahankan Nabi. Seandainya Abu Talib masuk Islam, sudah pasti orang Quraisy tidak akan mempedulikan kemuliaan ,kebesaran dan penghormatan yang ada pada peribadi Abu Talib. Mereka akan menghapuskan Nabi SAW serta Abu TAlib dengan kekerasan dan cemuhan jahat mereka.

Perlindungan yang di berikan Abu Talib kepada Nabi Muhammad bukanlah  ketika di saat getir sahaja bahkan dalam segenap sudut sehinggakan Nabi menjadi terlalu sayang kepada beliau.Ini dapat di buktikan bila mana meninggalnya Abu Talib, Nabi menjadi terlalu sedih.

Jelaslah, bahawa bukan kerana hubungan darah daging sahaja, tapi kerana jasa dan pengorbanan yang di berikan oleh beliau. Sekiranya darah daging di jadikan ukuran, ini kurang tepat kerana Nabi tidak melakukan perkara yang sama pada Abu Jahal dan Abu Lahab.

Keharusan ini berpandukan beberapa SYARAT :

Syarat 1 : Hendaklah kafir itu boleh di percayai untuk merealisasikan tujuan yang di maksudkan.mungkin dengan perjanjian, perbincangan dan sebagainya.

Syarat 2 : Janganlah kerjasama itu berisiko yang boleh mengakibatkan prinsip islam  atau dasarnya tergadai atau terpaksa di kesampingkan.

Syarat 3 : Janganlah kerjasama itu terdapat unsur bermuka-muka, hipokrit dengan orang kafir.

Syarat 4 : Janganlah kerjasama itu mengakibatkan amar makruf nahi mungkar terabai.

Syarat 5 : Janganlah di sebalik kerjasama itu akan menyebabkan penguasaan orang kafir ke atas islam atau menyebabkan islam redha dengan agama mereka atau membenarkan serta mengiyakan kesyirikan yang berlaku.

Kedua :

BEKERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM SEBAGAI PEMBANTU DALAM POLITIK

Para fuqaha telah berijma’ mengenai hukum harus bekerjasama atau meminta bantuan orang kafir untuk menunjuk arah tentera muslimin dalam peperangan,menunjukkan kubu-kubu pertahanan musuh,dengan tujuan memperkasakan lagi kekuatan tentera musimin.

Berkata Ulama’ Hanafi, Maliki, Syafi’ dan Hambali : Haram ke atas kita meminta bantuan dari kafir dalam berjihad,tetapi di haruskan seumpama meruntuh kubu musuh,menggali terowong,atau mengoperasikan manjanik alat melontar batu besar seperti lastik atau sebagainya.



Ketiga : 

KERJASAMA YANG TIDAK MENGGADAIKAN PRINSIP-PRINSIP UTAMA SYARA'

Contohnya akidah dan perundangan (hudud). Contoh yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dimana Nabi SAW banyak membuat pakatan kerjasama dengan Bani-bani arab untuk menguatkan kerajaaan Madinah dalam menghadapi ancaman berterusan dari Musyrikin Quraisy.

Keempat :

MANFAAT ATAU FAEDAH YANG BOLEH DITERIMA OLEH BUKAN ISLAM 

  Pertama : Hak-hak yang wajib di berikan kepada mereka

1.      Wajib menunaikan hak mereka sebagai rakyat sepertimana muslim.
2.      Diberikan sejumlah daripada ghonimah
3.      Memelihara keamanan mereka dan melepaskan tawanan di kalangan mereka

Kedua : Hak-hak yang tidak boleh di berikan kepada bukan muslim

1.      Berperang dengan mereka menentang musuh mereka ynag bukan muslim
2.      Membekalkan senjata kepada bukan muslim
3.      Memberikan gelaran syahid kepada mereka

adaptasi kertas kerja Felo Manhal



Amanat Khas Presiden PAS : Munajat dan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya





Firman Allah :


وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّ ة
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang zalim) dengan apa-apa jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan (al-Anfal: 60)

1. Mukadimah

PAS menyertai PRU ke-13 ini bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dengan matlamat untuk membentuk kerajaan yang dapat menunaikan amanah dengan baik berpandukan petunjuk Allah, dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN), seterusnya mendirikan sebuah pemerintahan yang adil dan mendapat keredhaan Allah s.w.t., insyaAllah. Sudah tiba masanya BN diundurkan , kerana tempuh masa terlalu panjang sehingga terdedah banyak kesilapan memalukan. Kalau dibiarkan berterusan menambahkan lagi perkara-perkara yang membebankan rakyat dan membanyakkan dosa-dosa pemimpinnya.

Sejak mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk merealisasikan cita-cita murni tersebut, justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu.

Dalam menghadapi PRU ke-13 seluruh ahli-ahli PAS perlu bersedia dari segi rohani dan jasmani, dan juga dari segi dalaman organisasi dan luaran, kerana pertembungan dalam PRU kali ini mungkin yang paling sengit akan kita hadapi.

Marilah kita mengambil iktibar dari peringatan Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Farsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:


فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة
مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من
المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر
المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم،
ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri , lebih dari maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka. Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita.

2. Kandungan
2.1 Allah menjanjikan kemenangan kepada para pendukung perjuangan Islam sebagaimana Firman Allah s.w.t.:

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjihad menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di-dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (al-Saff: 10 – 13)

Allah s.w.t. akan mengurniakan kemenangan kepada penolong-penolongNya dalam dua bentuk, iaitu kemenangan yang besar (الفو الغ يِم ) di akhirat dan kemenangan yang hampir (فت قريب ) di dunia.

Kemenangan akan diperolehi dengan bantuan Allah s.w.t. (نصر من الله ) setelah kita mempersiapkan ahli-ahli parti yang beriman dan berakhlak , komited, pimpinan-pimpinan parti yang berilmu, jentera-jentera parti yang tersusun dan strategi-strategi parti yang tepat.

2.2 Menegaskan kembali usaha PAS untuk membangunkan Negara Berkebajikan yang akan memberi keadilan kepada semua manusia dan alam sejagat.

Tiada percanggahan antara usaha membangunkan Negara Berkebajikan dengan dasar perjuangan PAS sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS Perkara 5(1):

“Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.

Memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam yang dinyatakan oleh Firman Allah :

104. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya.

PAS sedia berdailog dengan mana-mana pihak kalangan kumpulan Islam (NGO) yang membuat tuduhan bahawa PAS telah lari dari perjuangan, untuk menerangkan pendirian PAS yang sentiasa beristiqamah.

Membangunkan sebuah Negara Berkebajikan adalah iltizam PAS sejak penubuhannya untuk menyampaikan rahmat (kasih sayang) Allah s.w.t. bukan sahaja kepada manusia, malah kepada seluruh alam sejagat.

PAS menyeru kepada semua pihak memahami takrifan Negara Berkebajikan sebagai yang dikemukakan:
“Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (العدل والإحسان ) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (فاستبقوا الخيرات ) dan saling bekerjasama (التعاون ) ke arah kejayaan (الفلاح ) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat.”

Allah membuat perbandingan dengan firmannya :

200. Maka di antara manusia ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201. Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

Model Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS telah membimbangkan UMNO dan BN, kerana sejak 54 tahun yang lalu melakukan diskriminasi bukan sahaja terhadap kaum-kaum lain, tetapi juga terhadap sesama kaum Melayu dan Bumiputera.

 Model Negara Berkebajikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah ini, diyakini akan memberi keadilan kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama termasuklah kepada alam sekitar.

2.3 PAS telah bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

UMNO sebagai parti yang menjadi teras PERIKATAN dan BN yang telah memerintah negara sejak selepas kemerdekaan semakin terbukti gagal membawa keadilan dan perpaduan yang sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dasar perjuangan sempit UMNO yang berteraskan kebangsaan Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan UMNO bukan sahaja tidak berupaya mengangkat martabat kaum Melayu, bahkan gagal membangunkan peradaban Islam di Malaysia. Bahkan mencalarkan imej Islam yang murni dan mengancam perpaduan rakyat yang berteraskan adil kepada semua .

Dengan semangat kebangsaan Melayu tersebut, UMNO telah membelakangi al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya menjadi teras utama politik Islam. Hukum-hukum Allah dan nilai-nilai peradaban Islam dipinggirkan dalam pemerintahan negara.

Apabila Islam tidak menjadi dasar politik dan pemerintahan, martabat Melayu juga tidak dapat dipertahankan.
UMNO juga bertanggungjawab

- Menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan tahun 1983 dan 1993 yang menghakis peranan Raja-raja Melayu sebagai kuasa semak-imbang (check and balance) kepada Legislatif dan Eksekutif.
- Meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi
- Merampas tanah-tanah orang Melayu sehingga Tanah Rizab Melayu berkurangan daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 selepas merdeka, menyusut hampir separuh kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995.
- Menggadai tanah Felda Plantation seluas 360,000 yang juga termasuk tanah rezab Melayu untuk dipajakkan dalam proses penyenaraian FGVH sehingga membolehkan pemilikan oleh warga asing.
- Merosakkan sistem Fedralisme dengan mendiskriminasikan kerajaan-kerajaan negeri Melayu seperti Kelantan dan Kedah , antaranya dengan menafikan hak kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu terhadap Royalti Petroleum, serta cuai terhadap Sabah dan Serawak.

Pemerintahan UMNO juga gagal memelihara jatidiri masyarakat Melayu sehingga berlaku keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan. Salah satu petunjuknya, kadar kelahiran anak luar nikah meningkat setiap tahun. Pada tahun 2009, seramai 17,703 anak luar nikah telah didaftarkan.

PAS benar-benar bersedia untuk memimpin perpaduan ummah berdasarkan anjuran al-Quran dan al-Sunnah.

2.4 PR juga telah bersedia untuk menggantikan BN untuk memimpin Malaysia.

Negara Malaysia di ambang keruntuhan apabila tunjang-tunjang utama politik negara semakin runtuh dengan:

   - Terhakisnya semangat federalisme
   - Kuasa yang terlalu besar kepada Perdana Menteri selepas hakisan kuasa Raja-raja Melayu.
   - Tidak menghayatai sistem pemisahan kuasa , sehingga Institusi Kehakiman tidak lagi berwibawa dan hilang keyakinan .
   - Agensi-agensi penting untuk keadilan dan keamanan seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan lain-lain dipaksa tunduk kepada kuasa eksekutif Perdana Menteri.
   - Media massa yang dicengkam oleh Kerajaan.
   - Pilihanraya yang tidak lagi bersih sehingga kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah begitu besar.
   - Ketika orang lain mengambil contuh daripada Islam dengan memelihara hak rakyat , BN yang berketuakan Umno menipu dan mrasuah rakyat untuk mengekal kuasa dengan apa sahaja .

 Masa depan ekonomi Negara juga semakin suram.
   - Hutang Negara semakin meningkat sehingga berada di paras RM 430 biilion melebihi 53% KDNK Negara.
   - Hutang isu rumah juga semakin meningkat sehingga mencecah RM 577 billion, iaitu 77% dari KDNK, merupakan yang tertinggi di Asia.
   - Kos sara hidup rakyat juga semakin tinggi.
   - Jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. 40% isi rumah berpendapatan RM 1500 ke bawah, manakala 60% isi rumah berpendapatan RM 3000 ke bawah.

Amalan rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi sehingga berlaku pembaziran dan ketirisan. Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah semakin merosot kepada tangga ke-60 tahun 2011 berbanding tangga ke-56 tahun 2010.

Dasar dan polisi yang kerajaan juga tidak dikaji sedalam-dalamnya sehingga berlaku flip-flop dalam membuat keputusan seperti keputusan kerajaan berkaitan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan yang terbaru isu pembelian saham MAS oleh Air Asia.

Begitulah kehancuran boleh berlaku apabila amanah diberikan kepada mereka yang bukan ahlinya.
 فإذا ضيعت الأمانة فانت رِ الساعة

2.5 Roadmap ke Putrajaya

PAS menyertai PRU ke-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan. Sehubungan dengan itu, PAS dan PR mesti memperkukuhkan penguasaan kerusi kita di Semenanjung Malaysia di samping melipatgandakan penguasaan di Sabah dan Sarawak.

PR perlu memenangi sehingga sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen dari 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. Untuk mencapai jumlah tersebut PAS perlu:

   - Mengekalkan semua kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-12 2008
   - Menambah lebih banyak kerusi di Terengganu, Perak dan Selangor berbanding PRU ke-12 2008.
   - Memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk mempertahankan kemenangan di negeri-negeri yang sedia di perintah oleh PR iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk memenangi semula negeri Perak dan Terengganu di samping berusaha menawan negeri Perlis.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk melemahkan penguasaan UMNO dan BN di kubu mereka, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.

PAS juga mestilah bersedia menerima dan mengalu-alukan penyertaan golongan al-mala’ yang ingin menegakkan Islam bersama PAS, antaranya seperti golongan penjawat awam, kelompok budayawan, artis dalam berbagai bidang, pemimpin masyarakat dan pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

PAS mesti memberi tumpuan untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga menambah secara purata 3 - 4 % dengan langkah-langkah berikut:
   - Meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin Negara dan akan martabat martabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.
   - Menyedarkan masyarakat Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti isu FELDA, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang terpinggir dan salah urus wang zakat.
   - Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas pertengahan sebagai agen perubah penting kepada pengundi-pengundi Melayu luar Bandar. Kesempatan bulan Ramadan dan Eidul Fitri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan tersebut.
  - Mendekati golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.

PAS melalui Dewan Pemuda perlu memberi tumpuan yang besar kepada pengundi-pengundi Muda yang sebahagian besar mereka berada di bandar-bandar. 

PAS melalui Dewan Muslimat perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak KEMAS yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita.

PAS melalui Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa PR bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.

PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan “PAS for All”.

Semua ahli-ahli PAS mesti mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera, polis dan RELA di samping penyokong-penyokong UMNO dengan akhlak yang terpuji supaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS. Sekiranya PAS dan PR diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala membalas dendam terhadap mana-mana pihak.

2.6 Persiapan Ahli-ahli PAS

Firman Allah:


يَٰٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُو ا ٱصۡبِرُو ا وَصَابِرُو ا وَرَابِطُو ا وَٱتَّقُو ا ٱللهَّ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan melaksanakan tugas masing-masing) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Ali Imran: 200)

Berdasarkan ayat di atas seluruh ahli PAS perlu mempersiapkan diri dengan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi PRU ke-13 yang merupakan pertembungan yang paling sengit.

Para petugas PAS perlu mempertingkatkan akhlak kita dalam menghadapi pertembungan sengit ini walaupun menghadapi provokasi yang melampau daripada pihak lawan.

Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera parti daripada peringkat pusat sehingga ke peringkat cawangan dengan mengelakkan khilaf yang tidak perlu dan mengutama semangat shura dalam membuat keputusan di setiap peringkat.

Mempereratkan hubungan dengan Allah s.w.t. dengan terus bermunajat dan bertawakkal kepadaNya bagi memenuhi ciri-ciri golongan yang mendapat pertolongan Allah.

3. Penutup

Saya menyeru semua ahli-ahli PAS menjadikan gerakkerja dalam PRU ke-13 sebagai sebahagian dari jihad dan ibadah dengan membetulkan niat kita , melaksanakan tugas dengan Istiqamah dan Iltizam , semata-mata mencapai keredhaan Allah.

 الله أكبر ولله الحمد

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates