Definisi Politik Islam
Politik dalam bahasa Yunani disebut politique. Dalam bahasa Arab pula disebut siasah. Menurut Kamus Dewan, politik membawa
maksud ilmu pengetahuan berkenaan dengan cara pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan.
Subhi al-Soleh mendefinisikan politik
seperti berikut:
a) Mentadbir dan mengelokkan sesuatu
urusan yang dilaksanakan.
b) Memperbaiki atau meningkatkan martabat
makhluk dengan memimpin mereka ke jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.
c) Seni pemerintahan dan pentadbiran
negara yang melibatkan aktiviti-aktiviti dalaman dan polisi luar negara.
d) Mentadbir urusan kehidupan berasaskan
keadilan dan jalan yang lurus.
Firman Allah SWT:
الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة
وآتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر ولله عاقبة الأمور ( الحج:41)
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang
kami berikan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi, mereka mendirikan
solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan, melarang kemungkaran, dan
kepada Allah mereka menyerahkan penghujung segala usaha.” (Al-Haj : 41)
Perkataan asal siasah digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya:
كانت بنوا إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما
هلك نبي خلفه نبي وانه لا نبي بعدي انه سيكون خلفاء فيكثرون
Menelusuri Sirah Menyingkap Sejarah Politik
Islam
Kota
yang bercahaya, atau dalam bahasa Arabnya Madinah al-Munawwarah adalah negara
Islam pertama di dunia yang terbina hasil kesatuan masyarakat Islam berbilang
kaum, agama dan bangsa. Kitab suci al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan utama
dalam pemerintahan. Sebulat suara, Rasulullah SAW dilantik menjadi ketua
negara. Titik permulaan hijrah dan pembinaan negara Islam menjadi tanda aras
kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Perkara
ini tidak dapat dicapai, melainkan dengan kecerdasan dan kecekapan Rasulullah
SAW sebagai pemerintah yang dibimbing Allah SWT.
Strategi politik Nabi SAW dan
prinsip-prinsip yang berlandaskan syariat menjadi panduan politik Islam
sehingga sekarang. Walaupun zaman
berubah, prinsip dan nilai Islam tetap relevan untuk diamalkan. Beberapa prinsip
penting yang digariskan ulama’ berkenaan politik Islam, antaranya:
a) Konsep musyawwarah
b) Keadilan sosioekonomi
c) Persamaan
d) Kebebasan
e) Hak menghisab
Sistem Syura, Tonggak Undang-Undang
Contoh ikutan terbaik dalam
pengamalan syura adalah Rasulullah SAW sendiri. Khulafa’ ar-Rasyidin juga
mengikut jejak langkah baginda. Rasulullah SAW merupakan insan yang paling
banyak bermesyuarat begitu juga dengan para khulafa’nya.
“Nabi Muhammad SAW bermesyuarat dan para pemimpin selepas
baginda juga sering bermesyuarat dengan alim ulama yang beramanah.” (Sahih
al-Bukhari)
Majlis syura pula dianggotai oleh sahabat-sahabat yang telah
dipilih baginda sendiri. Kaedah ini juga
dipraktikkan di pelbagai bidang bukan sahaja politik tetapi juga di sektor ekonomi.
Berikut merupakan asas-asas syura:
a) Pemilihan
ketua negara dan orang-orang yang akan menjawat tugas utama dalam pentadbiran
ummah.
b) Penentuan jalan dan cara perlaksanaan
undang-undang yang telah dimaktubkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
c c) Penentuan perkara-perkara baru yang timbul di
kalangan ummah melalui proses ijtihad.
Peristiwa Perang Ahzab atau lebih
dikenali sebagai Perang Khandak adalah hasil musyawarah Rasulullah SAW bersama para sahabat. Cadangan yang
bernas untuk menggali parit datangnya dari Salman al-Farisi berdasarkan
pengamalan kaumnya. Walaupun orang Arab tidak pernah menggali parit sebagai
strategi perang, Rasulullah SAW tetap menyambut baik cadangan Salman. Musyawarah yang diberkati akhirnya
membawa kemenangan kepada umat Islam.
Keadilan Sosioekonomi Teras Keamanan
Keadilan
sosial dijamin oleh sistem sosial dan sistem ekonomi Islam. Keadilan di dalam
bidang sosioekonomi tidak mungkin terlaksana tanpa wujudnya kuasa politik yang
melindungi dan mengembangkannya.
Rasulullah SAW sendiri menjadi agen
pendamaian bagi menyelesaikan masalah sosial di Madinah. Sebaik sahaja
Rasulullah berhijrah ke Madinah, kaum A’us dan Khajraj disatukan dan digelar
kaum Ansar. Dua kaum yang dahulunya bertelagah, kini mampu berdamai atas dasar
iman dan takwa kepada Allah SWT. Kemudian, kaum Ansar dipersaudarakan dengan
kaum Muhajirin. Ikatan persaudaraan ini menjadi teras kekuatan dan keamanan
negara.
Menyentuh bab ekonomi, masyarakat
Madinah bebas menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua sekaligus menghapuskan
monopoli ekonomi yang selama ini dikuasai golongan Yahudi. Peristiwa
pemboikotan ekonomi yang dikenakan kepada Bani Hashim oleh Quraisy, menjadi
sebab perihal ekonomi juga dimasukkan di dalam Piagam Madinah. Tindakan
ini bagi menyediakan Madinah sebagai
pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab dan kawasan sekitarnya.
Persamaan Hak dan Tanggunjawab
Persamaan di sini terdiri daripada
persamaan dalam mendapat dan menuntut hak, persamaan dalam memikul
tanggungjawab menurut peringkat yang ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan
dan persamaan berada di bawah taklukan kekuasaan undang-undang.
Prinsip dapat dilihat melalui
penggubalan Piagam Madinah sejurus pembinaan negara Madinah. Peranan piagam ini
amat penting dalam menyatukan masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan bangsa
sekaligus menjadi tanda komitmen yang utuh dari semua pihak untuk menjaga
keamanan negara.
Semua penduduk Madinah bertangungjawab
memelihara keamanan dan keselamatan negara sekiranya ada ancaman daripada
musuh. Golongan Yahudi juga wajib turut serta dalam peperangan-peperangan
mempertahankan negara dan perlu membiayai peperangan sekiranya ia berlaku. Mereka
tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pakatan luar terutamanya kaum Quraisy. Tidak
dapat tidak, kewujudan Islam sebagai agama rasmi Madinah dan Rasulullah SAW sebagai
ketua negara diakui oleh golongan Yahudi.
Kebebasan Berlandaskan Makruf dan Kebajikan
Kebebasan yang dipelihara oleh sistem
politik Islam ialah kebebasan yang berteraskan kepada makruf dan kebajikan.
Menegakkan prinsip kebebasan yang sebenar adalah di antara tujuan terpenting
bagi sistem politik dan pemerintahan Islam serta asas bagi undang-undang
perlembagaan negara Islam.
Masyarakat Madinah bebas untuk
mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing tanpa sebarang sekatan dan
gangguan. Hal ini telah termaktub di dalam Piagam Madinah dan fasal ini
membolehkan umat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam secara terbuka tanpa ada sebarang
kebimbangan serta membuka peluang masyarakat Islam dan bukan Islam untuk berinteraksi
dalam keadaan harmoni kerana hak dan keselamatan setiap penduduk di Madinah adalah terjamin.
Hak Rakyat Menghisab Pimpinan
Hak rakyat yang dimaksudkan adalah
autoriti rakyat untuk menghisab pihak pemerintah dan mendapat penjelasan
terhadap tindak tanduknya.
Prinsip ini berdasarkan kepada
kewajiban pihak pemerintah untuk melakukan musyawarah
dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan dan pentadbiran negara dan ummah.
Hak rakyat untuk disyurakan adalah bererti kewajipan setiap anggota di dalam
masyarakat untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran.
Prinsip ini berdasarkan kepada firman
Allah yang mafhumnya:
"Dan apabila ia berpaling
(daripada kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan
merosak tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan."
(Al-Baqarah: 205)
Menyingkap sirah Rasulullah SAW, konsep
syura diamalkan oleh baginda dalam setiap urusan pemerintahan. Baginda juga
secara terbuka menerima teguran para sahabat, antaranya teguran al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan
kubu terbaik dalam peristiwa perang Badar, begitu juga teguran Suad dalam kes
ditolak dengan busar oleh Rasulullah SAW.
Delegasi Keamanan, Islam Mula Dikenali
Rasulullah SAW menghantar para
sahabat bersama warkah keamanan bagi memaklumkan kewujudan kerajaan Islam
kepada empayar-empayar besar ketika itu. Sahabat baginda SAW dihantar ke
Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi. Pelbagai reaksi pimpinan diterima, ada
yang menerima, ada yang mendiamkan diri dan ada yang terus menolak tanpa
mengetahui isi surat baginda SAW.
Tindakan ini merupakan langkah
pertama namun sangat signifikan sebagai makluman kepada empayar-empayar besar
sekaligus menyampaikan dakwah Islam kepada kerajaan yang tidak menyembah Allah SWT,
Tuhan sekalian alam.
Selain itu juga, baginda menghantar
wakilnya ke kawasan luar Madinah menjadi gabenor di kawasan tersebut, contohnya
pada tahun 10 hijrah, baginda telah menghantar gabenor ke Yaman.
Prinsip Politik Islam Malar Segar
Prinsip-prinsip politik Islam yang
digariskan ulamak adalah pengamalan Rasullah SAW dalam mengurus dan mentadbir
kerajaan Madinah. Politik Islam tidak hanya tertumpu kepada hal ehwal orang
Islam namun merangkumi kesemua aspek secara menyeluruh. Aspek sosioekonomi,
pertahanan negara, hak rakyat tanpa
mengira bangsa dan kaum. Dua tonggak undang-undang negara Madinah adalah konsep
syura dan Piagam Madinah.
Zaman
moden semestinya berbeza dengan zaman lampau, namun begitu prinsip politik
Islam masih malar segar tidak luput ditelan zaman. Marilah kita bersama-sama
menghayati nilai dan prinsip politik Islam sekaligus mengamalkannya dalam
kehidupan. Takdir itu rahsia Allah, seandainya kita ditakdirkan menjadi
pemimpin negara pada masa hadapan, ikutilah jejak langkah Rasulullah SAW kerana
baginda adalah ikutan terbaik dalam segenap aspek kehidupan.
0 comments:
Post a Comment